Sekiranya sesebuah bandar dirancang, dibangunkan dan diuruskan dengan baik dan lestari ia mampu menghadapi cabaran yang dihadapi oleh planet bumi hari ini.

Dalam memastikan pembangunan yang lestari, pengetahunan asas sains dan pemikiran secara saintifik penduduk bandar sangat penting. Seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (Sustainable Development Goals 2030), forum yang bertemakan Melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu ini sangat mencabar sebuah negara yang cepat membangun seperti Malaysia. Semua rakyat Malaysia boleh memberikan pandangan tentang kelestarian bandar di Malaysia melalui forum ini.

Agenda Baharu Bandar ini telah diterima dalam Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu Tentang Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari-(Habitat III) di Quito, ibu negara Ecuador pada 20 Oktober 2016.

Majlis prapelancaran penganjuran WUF9 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 April tahun lepas.

Penganjuran WUF9 kali ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam pembangunan bandar yang lestari dan sejahtera. Malaysia perlu melihat masa hadapan bandar yang lebih baik dengan mengambil kira kesejahteraan penduduk bandar dari segi kemiskinan bandar, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan serta keselesaan dan kebersihan.

Antara perancangan pembangunan bandar adalah jalan raya, sistem saliran dan bangunan. Oleh kerana Malaysia sebuah negara tropika yang sudah pasti menerima hujan yang banyak. Perkara berkaitan hujan seperti banjir kilat, banjir lumpur dan tanah runtuh perlu diberikan perhatian. Menurut laporan weather and climate.com, pada tahun 2016 terdapat 195 hari hujan di Kuala Lumpur dan kebanyakannya pada bulan Mac, April, Mei, September, Oktober, November dan Disember. Bulan November merupakan bulan yang paling banyak hujan manakala hujan paling kurang pada bulan Julai. Malaysia yang beriklim tropika menunjukkan purata suhu antara 20 hingga 30 darjah Celcius, dan hujan antara bulan November hingga Februari dengan purata hujan 2500 milimeter (mm) bagi Semenanjung dan 5,080 mm di Sabah dan Sarawak. Maklumat seperti ini sangat penting dalam perancangan pembangunan bandaraya Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain bagi mengurangkan kes banjir kilat, kerosakan harta benda, kemalangan jiwa, wabak penyakit dan pencemaran.

Persediaan menghadapi perubahan cuaca yang sedang berlaku akibat daripada aktiviti manusia perlu dirancang dengan teliti. Pengalaman taufan Ketsana di Filipina dengan hujan sebanyak 455 mm sebulan pada 26 September 2009 yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh mengorbankan ramai manusia dan kerugian besar perlu diambil pengajaran.

Pengalaman banjir yang melumpuhkan Pulau Pinang pada November tahun lalu dan kejadian banjir kilat dan lumpur di Cameron Highlands yang berulang-ulang juga perlu diberikan perhatian.

Kejadian bencana yang dialami di peringkat antarabangsa dan tempatan mengajar kita untuk bekerjasama merancang secara saintifik dan mempunyai kepakaran yang khusus dalam perancangan bandar, alam sekitar, pertanian, perindustrian dan penempatan manusia.

Salah satu pendekatan yang diuar-uarkan sekian lama ialah bandar raya yang hijau yang memberikan perhatian kepada persekitaran yang sihat menerusi penambahbaikan kualiti udara, air dan tanah.

Pencemaran sungai dan persekitaran akuatik secara amnya, kemusnahan bangunan lama dan yang tidak selamat, kenderaan yang membahayakan pejalan kaki, pencemaran udara, kekurangan kawasan hijau dan taman untuk kanak-kanak bermain serta kawasan orang tua berehat, kemiskinan bandar yang memberikan kesan kepada keselamatan sosial penduduk bandar dan banyak lagi selalu dibincangkan secara berasingan atau bersepadu.

Kebanyakan bandar di Asia membangun dengan cepat berbanding dengan kawasan bandar lain di dunia. Menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) menjelang 2022 lebih ramai orang tinggal dalam bandar berbanding luar bandar.

Proses pembandaran melibatkan kos, bising, dan kesesakan. Kehidupan di bandar memerlukan kos kehidupan yang tinggi untuk tempat tinggal, membesarkan anak-anak dan penjagaan kesihatan. Tekanan pendapatan dan kadar jenayah juga akan bertambah selari dengan pembangunan perbandaran. Ini akan menimbulkan tekanan psikologi kepada penduduk bandar.

Kebanyakan negara-negara rantau Asia sudah pun menghadapi cabaran berkaitan alam sekitar seperti kandungan karbon monoksida yang tinggi di udara, kesesakan lalu lintas, keperluan air bersih dan pencemaran air serta kejadian banjir kilat.

Perkhidmatan asas seperti air dan pengurusan sisa pepejal tidak mencapai standard yang ditetapkan selalu dibincangkan. Menurut ADB lagi, kira-kira 120,000 orang berhijrah ke bandar setiap hari dan memberikan tekanan kepada ruang dan ekonomi dengan bertambahnya ramai penduduk bandar yang miskin.

Dilaporkan bahawa 520 juta orang hidup di bandar tidak mempunyai kemudahan air bersih dan elektrik. Bilangan ini akan terus bertambah dari masa ke semasa sekiranya tidak dirancang dengan betul. Pembangunan bandar-bandar baharu mestilah mengambil kira konsep baharu yang mementingkan keperluan masyarakat abad ke-21.