Perniagaan yang mula beroperasi pada 2012 itu, kini semakin berkembang maju sehingga memiliki 45 francaisi di seluruh negara dengan keuntungan jualan terkini mencecah lebih RM500,000 setahun.

Menurut Nor Waheeda, perniagaan menjual aiskrim itu dijalankan bersama suaminya, Borhan Din, lima tahun lalu kerana mereka mahu mengubah kehidupan keluarga ke arah yang lebih baik dan keluar dari zon selesa.

Idea untuk menjadikan aiskrim sebagai produk jualan timbul apabila suami isteri itu melihat kurangnya bumiputera yang terlibat dalam perniagaan berasaskan aiskrim.

“Selain isu gelatin yang tidak halal digunakan, kebanyakan produk aiskrim dalam pasaran tempatan, kami merasakan ini adalah satu tanggung jawab sebagai Muslim untuk menyedarkan masyarakat tentang isu ini.

“Oleh itu, kami mengeluarkan produk aiskrim halal dengan jenama Eyda Ice Cream menggunakan resipi sendiri sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di Selayang, Selangor baru-baru ini.

Berkongsi cerita dengan lebih lanjut, Nor Waheeda berkata, aiskrim yang dipasarkannya mendapat permintaan tinggi khususnya ketika memenuhi tempahan majlis korporat, kenduri kahwin dan juga jualan di pasar malam.

“Perniagaan yang diusahakan semakin berkembang dan kami berjaya melahirkan seramai 10 usahawan francaisi pada ketika itu.

“Lama-kelamaan, francaisi kami bertambah dan lebih mengujakan.

Pada tahun lalu, syarikat kami iaitu Weeda Rich Enterprise mengorak lagi langkah ke hadapan menerusi perniagaan trak makanan (food truck) yang menjadi trend pada masa kini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, konsep francais yang digunakan turut menjadi sebab mengapa ramai usahawan berminat menyertai perniagaan itu, selain mereka berpeluang untuk mendapat keuntungan 50 peratus.

“Sepanjang menjalankan perniagaan ini, kami melakukan banyak penyelidikan bermula dari resepi menghasilkan produk, kaedah pemasaran sehingga pengurusan francaisi.

“Bagi memantapkan lagi perniagaan, kami juga mengambil pelbagai kursus dari agensi-agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah ais krim keluaran syarikatnya cukup istimewa kerana ia lebih gebu dan lembut serta mampu bertahan sehingga lapan jam tanpa menggunakan bekalan elektrik.

Kini, produknya semakin bertambah dengan pelbagai jenis dan perisa aiskrim selain turut menambah beberapa produk lain seperti waffle.

Namun begitu, walaupun aiskrim keluaran syarikatnya mendapat permintaan tinggi, ia tetap menjadi satu cabaran kepada usahawan ini.

“Aiskrim merupakan satu produk bermusim, jadi apabila tiba cuti sekolah dan musim perkahwinan, kami terpaksa menutup permohonan mereka yang ingin menjadi francaisi disebabkan kekurangan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan sedia ada.

“Oleh itu, nasihat saya kepada mereka yang ingin melibatkan diri dalam perniagaan, apa yang penting adalah ilmu dan mentor. Jika mahu mewujudkan perniagaan baharu, kita perlu jadi kreatif dan tidak mudah terikut dengan trend perniagaan semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, baru-baru ini juga, syarikat Weeda Rich Enterprise berjaya mendapat pembiayaan mikro MyAgrosis bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersama-sama 11 usahawan lain.

“Dengan ilmu yang diberikan oleh agensi terlibat, khususnya FAMA yang memberikan bantuan kewangan MyAgrosis ini, kami berharap dapat menambah lebih banyak mesin memproses ais krim.

“Ini sekali gus dapat membantu melahirkan lebih ramai usahawan menerusi konsep perniagaan francaisi dan dalam masa yang sama memperluas pasaran produk aiskrim halal sehingga ke peringkat global,” katanya.

Pembiayaan Mikro MyAgrosis Agropreneur Muda

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meneruskan usaha mentransformasi sektor pertanian ke arah modenisasi bagi menjamin bekalan makanan dan bahan mentah serta menjana pendapatan lebih tinggi dalam kalangan petani dan pekebun kecil.

Mekanisme tersebut menggalakkan lebih ramai penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian.

Namun kebanyakan golongan muda masih belum mampu untuk bersaing dan masalah utama yang dihadapi adalah modal untuk memulakan serta meneruskan perniagaan dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

Sehubungan itu, FAMA bersama Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS) secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) mewujudkan Program Pembiayaan Mikro MyAgrosis Agropreneur Muda.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, skop pembiayaan MyAgrosis merangkumi sektor pertanian dan industri asas tani seperti pengeluaran, tanaman, 
ternakan, perikanan dan pemasaran.

Katanya, pembiayaan adalah dalam bentuk kemudahan dan peralatan serta modal pusingan perniagaan.

“Antara skop pembiayaan adalah meliputi pembiayaan secara penjaman tanpa faedah kepada peminjam Agropreneur Muda dan usahawan sama ada siswazah atau bukan siswazah berumur antara 18 hingga 55 tahun yang telah menjalankan perniagaan serta berdaftar dengan jabatan atau agensi bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kemudian, antara intensif yang ditawarkan pula adalah perkhidmatan sokongan dan bimbingan yang berterusan dari jabatan atau agensi yang berkaitan dengan projek yang diusahakan,” katanya.