Apatah lagi sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) disambut setiap tahun yang bertujuan memberi penekanan terhadap kesedaran penjagaan alam sekitar.

Namun yang demikian siapakah yang perlu disasarkan supaya usaha peningkatan kesedaran itu memberi impak?

Justeru sasaran pendidikan dan kesedaran perlu ditujukan kepada golongan muda kerana mereka masih boleh dibentuk dan diberi bimbingan mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar.

Alam sekitar yang dimaksudkan mungkin ekosistem hutan, laut, sungai malah padang pasir sekali pun.

Golongan muda terutama murid seharusnya diberi pendedahan awal berkaitan kepentingan ekosistem hutan terhadap kehidupan manusia dalam usaha meningkatkan kesedaran mereka terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan.

Sebab itu apabila sekumpulan 25 murid program pendidikan khas integrasi (PPKI) dari lima buah sekolah sekitar daerah Sepang dibawa masuk ke Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) di Puchong baru-baru ini, inisitiaf yang digerakkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) wajar diberi pujian.

Ini kerana sejak pada peringkat awal lagi, pelajar mula didedahkan dengan persekitaran hutan yang boleh mencetuskan kesedaran dalam kalangan mereka betapa pentingnya ekosistem tersebut dipulihara.

Berkongsi pandangan mengenai inisiatif tersebut, Dekan Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohamed Zakaria Hussin berkata, Program Pendidikan Alam Semula Jadi (PPAS) yang dilaksanakan oleh Fakulti Perhutanan itu sangat penting dalam memberi didikan kepada murid sekolah tentang kepentingan ekosistem hutan.

Katanya, ia penting bagi memastikan kadar kemusnahan kawasan hutan yang berlaku secara berleluasa pada masa kini dapat dihentikan.

“Menerusi program seperti itu, ia juga merupakan satu peluang yang disediakan kepada murid khususnya mereka yang berada di dalam kelas PPKI untuk merasai pengalaman berada di dalam hutan untuk tempoh-tempoh tertentu.

“Kaedah pembelajaran di luar bilik darjah ini lebih berkesan bagi meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu perkara, sekali gus membolehkan amalan penjagaan alam sekitar dan hutan dapat diamalkan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, fakulti berkenaan akan terus menganjurkan program seperti itu dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih ramai murid sekolah khususnya murid PPKI merasai pengalaman tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sepang, Zalifah Reduan berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan oleh Fakulti Perhutanan UPM dalam membangunkan modul pendidikan alam semula jadi seperti yang dirancang.

Malah katanya, PPD Sepang juga sangat menyokong pelaksanaan program di luar bilik darjah jika ia dapat membantu meningkatkan pemahaman murid-murid mengenai sesuatu topik pembelajaran.

Walau bagaimanapun katanya, aspek keselamatan murid haruslah menjadi keutamaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

PPAS merupakan aktiviti pendidikan mengenai hutan dan alam semula jadi yang dilaksanakan oleh fakulti berkenaan sejak tahun lalu.

Ia dijalankan bagi memberi pendedahan kepada murid-murid PPKI kepada alam semula jadi dan kepelbagaian sumber hutan, di samping membantu meningkatkan keyakinan diri mereka ketika meneroka kawasan hutan.

Ia juga dilaksanakan sebagai satu bentuk terapi terhadap peserta yang merupakan pelajar kelainan upaya menerusi pembelajaran di luar bilik darjah.

Pendidikan alam sekitar perlu daripada awal

Menghurai lebih lanjut mengenai program tersebut, Pengarah Program, Dr. Norzanaliza Saadon berkata, PPAS dilaksanakan bagi mewujudkan jaringan dalam kalangan sekolah-sekolah yang aktif dengan program pendidikan alam sekitar.

Katanya, program yang telah masuk tahun kedua penganjurannya itu dikhaskan kepada penyertaan oleh murid-murid PPKI sebagai usaha mendekatkan mereka dengan alam semula jadi.

“Kita memang tahu bahawa golongan ibu bapa agak sukar untuk memberi kebenaran kepada anak-anak mereka yang tergolong dalam kalangan murid PPKI untuk melibatkan diri dengan aktiviti luar bilik darjah terutama untuk masuk ke kawasan hutan atau sungai disebabkan oleh faktor keselamatan.

“Jadi, menerusi program yang dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan UPM ini, kita meyakinkan mereka bahawa ia akan dilaksanakan dalam keadaan yang sangat terkawal terutama daripada aspek keselamatan.

“Malah, kita juga telah melakukan lawatan ke sekolah-sekolah bagi memberi penerangan kepada ibu bapa dan guru-guru mengenai kepentingan pembelajaran di luar bilik darjah kepada golongan pelajar PPKI kerana mereka tidak boleh dikongkong dengan hanya pendidikan di dalam kelas sahaja,” katanya yang juga merupakan pensyarah di fakulti berkenaan.

Jelas Norzanaliza lagi, sepanjang kira-kira lima jam program tersebut berlangsung, kesemua peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan kecil dengan setiap kumpulan akan di bawa ke stesen berbeza bagi tujuan pembelajaran.

Katanya, antara stesen yang diwujudkan termasuklah pembelajaran mengenai biji benih, daun, saiz pokok, persaingan kehidupan hutan, haiwan liar, kulat dan aktiviti di sungai.

“Di setiap stesen, peserta akan diberi penerangan mengenai fungsi dan peranan setiap topik yang telah ditetapkan.

“Sebagai contoh, di stesen biji benih, peserta akan diterangkan mengenai apa itu biji benih dan fungsinya terhadap ekosistem hutan iaitu memastikan pokok-pokok baharu akan terus tumbuh bagi menggantikan pokok tua yang telah mati atau reput.

“Begitu juga di stesen haiwan liar di mana murid-murid akan didedahkan dengan peranan haiwan seperti burung dan kelawar sebagai agen penyebar biji benih dan sebagainya,” katanya.

Selain mempelajari ilmu berkaitan alam semula jadi di lapangan, murid-murid juga akan diajar mengenai teknik berkomunikasi yang berkesan selain mewujudkan sikap bekerjasama di dalam kumpulan.

Seorang lagi pensyarah dari fakulti sama, Dr. Evelyn Lim Ai Lim pula memberitahu, antara lain matlamat penganjuran program PSAS itu ialah sebagai platform kepada UPM untuk membangunkan modul pendidikan alam semula jadi kepada murid-murid PPKI dalam kategori masalah pembelajaran.

“Kita mengharapkan agar modul tersebut dapat dijadikan panduan bagi UPM untuk menganjurkan program PPAS pada skala yang lebih besar pada masa akan datang selain boleh juga digunakan oleh mana-mana pihak sekolah di seluruh negara untuk menjalankan program di luar bilik darjah terhadap murid-murid PPKI,” katanya.

Sementara itu seorang perserta Nurul Zaitun Mohd. Zahari, 15, sudah bersiap siap untuk menyertai rakan sekolahnya yang lain bagi menyertai Program Pendidikan Alam Semula Jadi (PPAS) yang diadakan di kawasan Hutan Simpan Ayer Hitam di Puchong, Selangor.

“Sebelum ini saya belum pernah masuk ke kawasan hutan kecuali berkelah bersama keluarga.

“Sebab itulah saya sangat seronok apabila diberi peluang masuk ke dalam hutan simpan di sini. Selain dapat mempelajari pelbagai perkara mengenai hutan, saya dan rakan-rakan lain juga dapat menikmati suasana tenang berada di dalamnya,” katanya.

Jelasnya, walaupun hanya berkesempatan berada di kawasan hutan itu selama beberapa jam sahaja, namun ia sudah cukup untuk menimbulkan rasa cinta dan sayang terhadap hutan di dalam dirinya.

Perkara itu diakui seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi, Kamarudin Mustafa, 32, yang mengiringi lima murid sekolah itu untuk menyertai program berkenaan.

Menurut beliau, walaupun program tersebut hanya berlangsung separuh hari sahaja, namun pengisian program yang telah disusun oleh pihak UPM telah banyak membantu peserta untuk meningkatkan pengetahuan mereka mengenai ekosistem hutan.

“Kesemua peserta merupakan murid berkeperluan khas dan ramai antara mereka yang tidak pernah masuk ke dalam hutan.

“Oleh itu, program PPAS sangat berkesan dalam meningkatkan pemahaman mereka terhadap kepentingan hutan di dalam kehidupan kita seharian,” katanya.