Namun, di sebalik kecantikan dan keindahan itu tidak dinafikan bunga orkid juga mempunyai kekurangan yang memerlukan penjagaan yang rapi serta tidak tahan panas dan lasak.

Oleh itu, tidak hairanlah jika segelintir peminat orkid terpaksa melupakan niat untuk memiliki flora itu kerana bimbang tidak mampu memeliharanya dengan baik, sekali gus tidak berbunga mekar.

Masalah tersebut menjadi pendorong kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mengorak langkah menghasilkan varieti orkid yang lebih tahan panas dan lebih lasak, sekali gus dapat mengurangkan komitmen penjagaan terhadap penggemar orkid landskap.

Bermula empat tahun lepas, MARDI telah menjalankan kajian pembaikbakaan ke atas tiga orkid Arundina graminifolia dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Vietnam dan India dengan nilai RM60,000.

Susulan itu, dua orkid baharu berjaya dihasilkan iaitu orkid Arundina suria dan Arundina mentari yang mempunyai kriteria tahan lasak, tahan panas, berbunga sepanjang masa dan sesuai dijadikan tanaman landskap.

Arundina suria ialah kacukan antara Arundina graminifolia berasal dari Vietnam dan India, manakala Arundina mentari ialah kacukan Malaysia dan Vietnam.

Penyelidik Pembaikbakaan Orkid Landskap MARDI, Wan Rozita Wan Engah menjelaskan, ketiga-tiga spesies itu dipilih kerana masing-masing mempunyai kriteria tersendiri yang mampu menghasilkan orkid tahan lasak sekiranya dikacukkan.

Katanya, kedua-dua hasil hibrid yang turut digelar ‘mesra matahari’ itu mempunyai kriteria yang lebih kurang sama dan tidak jauh perbezaannya.

“Kedua-duanya adalah pokok jenis semiminiatur yang tumbuh sehingga 60 sentimeter (cm) tinggi, tumbuh subur di bawah cahaya matahari penuh, bibir kerinting berbunga ungu gelap dan kuning keemasan pada bahagian tengah serta disyorkan sebagai tanaman landskap kerana kriterianya yang rajin berbunga dan tumbuh dengan baik.

“Yang membezakannya hanyalah warna iaitu suria berwarna putih merah jambu, manakala mentari berwarna merah jambu,” katanya ketika ditemui di Taman Orkid MARDI, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Rozita berkata, proses penghasilan dua orkid ini mengambil masa yang lebih singkat daripada biasa iaitu hanya empat tahun berbanding orkid lain yang mengambil masa kira-kira tujuh hingga 10 tahun.

Menurutnya, proses pertama kacukan mengambil masa selama tujuh minggu sebelum dituai dan kapsul benih yang matang disemai ke makmal selama lapan minggu untuk proses percambahan.

Setelah bercambah, anak benih kemudiannya dijaga dalam keadaan kultur selama setahun sebelum dipindahkan ke nurseri bagi penilaian seterusnya.

Kemudian, katanya, setelah anak benih ditanam selama setahun pada peringkat nurseri, ia dipindahkan ke lapangan terbuka bagi proses ujian ketahanan terhadap cahaya matahari, ketahanan pokok dan kekerapan mengeluarkan bunga.

Pemuliharaan janaplasma orkid liar

DALAM meniti arus pemodenan dan pembandaran di negara ini, tanpa sedar manusia telah ‘melombong’ dan memusnahkan kebanyakan sumber alam sehingga menjejaskan keharmonian ekosistem semula jadi yang telah wujud sejak sekian lama.

Pencerobohan hutan simpan, perburuan sumber alam secara haram serta pembangunan telah banyak membawa kepada kemerosotan khazanah alam yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

Tidak terkecuali, bunga orkid turut berada dalam senarai spesies yang makin terancam akibat gangguan habitat dan juga kutipan secara haram untuk tujuan pengkomersialan.

Mempunyai nilai yang semakin tinggi, ditambah dengan variasi bentuk serta warna yang menarik dan unik, menjadikan spesies orkid liar kini menjadi buruan sesetengah pihak untuk menjana keuntungan.

Sehubungan itu, MARDI sentiasa giat menjalankan projek pemuliharaan janaplasma spesies orkid liar sejak tahun 1979 dalam usaha memastikan kelestarian entiti yang diancam kepupusan itu.

Projek pemuliharaan janaplasma ini melibatkan aktiviti pengumpulan spesies orkid liar dari hutan di seluruh negara dan dibawa ke MARDI untuk dilindungi dan dipulihara daripada ancaman yang boleh memusnahkan.

Menurut Wan Rozita Wan Engah, sehingga kini MARDI mengumpulkan orkid liar terdiri daripada 70 genera, 350 spesies dan 3,000 aksesi.

Orkid liar dan orkid komersial digunakan oleh MARDI dalam kajian penghibridan untuk menghasilkan varieti baharu untuk dikomersialkan.

“Selepas mendapatkan hibrid baru yang terbaik, proses kultur tisu dijalankan bagi mendapatkan pokok yang seragam dan banyak,” ujarnya.

Katanya, selain menghasilkan varieti baharu, pihaknya juga bekerja keras untuk mengumpulkan sebanyak mungkin orkid-orkid liar di hutan untuk dilindungi daripada kepupusan.

Selain itu, MARDI juga telah membangunkan struktur pelindung hujan (SPH) yang mempunyai persekitaran seakan-akan di dalam hutan supaya spesies yang dikumpul dapat dipelihara dengan baik.

Penjagaan mudah

Kini, penggemar bunga orkid tidak perlu bimbang lagi untuk memiliki bunga kesukaan mereka ini kerana ia tidak memerlukan penjagaan yang rapi dan lebih mudah.

Selain itu, menurut Wan Rozita Wan Engah, ia turut menjimatkan kos penyelenggaran kepada si pemilik kerana ia hanya menggunakan media seperti tanah campuran dan baja biasa serta mudah dibiak.

“Orkid mentari dan suria adalah sejenis orkid yang tahan panas, berbunga sepanjang masa serta boleh ditanam semula di dalam pasu atau di atas tanah.

“Setakat ini masih belum ada orkid yang tahan lasak di pasaran dan kebanyakan diimport untuk memenuhi permintaan pelanggan tetapi tidak sesuai dengan cuaca di negara ini,” ujarnya.

Menurut Wan Rozita, bunga orkid ini bersifat lebih komersial dan mampu dimiliki semua orang kerana ia mudah dijaga, mengurangkan kos penyelenggaraan selain mampu menceriakan apa sahaja halaman yang ‘dihuninya’.

Dengan ciri-cirinya yang lebih istimewa itu sudah semestinya ia telah menarik perhatian banyak pihak untuk memilikinya sebagai penyeri halaman mereka.

Sejak dilancarkan pada awal Disember tahun lepas, orkid ini telah berjaya mendapat perhatian daripada beberapa pemaju perumahan dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) selain peminat bunga.

“Orkid sememangnya mendapat permintaan tinggi ketika ini di pasaran, jadi bila kita hasilkan yang lebih efisien dan mudah dijaga, pastinya ia menarik perhatian orang ramai.

“Sekarang MARDI sedang giat memperbanyak anak benih bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya.