Justeru kerajaan yakin bahawa eksport perkayuan dan produk kayu negara akan terus meningkat tahun ini.

Persoalannya, bagaimana kelestarian hutan tetap dipelihara walaupun industri perkayuan negara rancak membangun sedangkan kadar penggunaan balak yang tinggi di negara ini?

Untuk itu, Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) memperkenalkan Program Pengesahan Persijilan Hutan (PEFC) yang merupakan program persijilan hutan terbesar iaitu sekitar 200 juta hektar dan merupakan skim persijilan kayu balak tropika pertama di rantau Asia Pasifik.

Tujuannya untuk memastikan konservasi sumber hutan sentiasa terjamin dan diuruskan secara mampan dan berkekalan untuk menghasilkan sumber hutan yang produktif serta mengurangkan kerosakan terhadap dirian yang akan datang.

Itu termasuk pokok yang ditebang perlu ditanam semula serta hanya pokok yang benar-benar matang sahaja dibenarkan untuk pembalakan.

Seterusnya mengurangkan kos kerja-kerja rehabilitasi hutan dan terakhir memastikan kestabilan serta kualiti alam sekitar yang lebih baik.

Menyedari kepentingan sumber hutan untuk generasi akan datang, sebuah syarikat perabot tempatan, One Tech (M) Sdn. Bhd (One Tech) memperkenalkan satu kelainan daripada kebiasaan berbanding kilang lain iaitu menghasilkan produk menggunakan material dan proses yang lebih mesra alam menggunakan kayu daripada sumber lestari

Sejak mengambil alih perniagaan keluarga, Pengarahnya Harith Ridzuan, 33, berkata, masalah mencari sumber kayu yang diperoleh untuk menghasilkan pelbagai perabot di kilangnya sentiasa bermain di fikiran.

Beliau sentiasa tertanya-tanya sama ada kayu yang diterima adalah hasil daripada pembalakan yang sah atau haram. Bukan itu sahaja, anak sulung daripada 10 adik-beradik itu begitu bimbang akan ancaman terhadap hutan di negara ini jika tidak diurus dengan baik.

Justeru pada 2013, beliau membuat perubahan drastik dengan menggalakkan One Tech terlibat dengan penghasilan perabot hijau menggunakan material dan proses secara mesra alam serta produk terpakai.

Ini antaranya menggunakan pokok getah yang lama akan ditebang dan dibakar, tetapi tidak bagi Harith yang menggunakannya untuk membuat perabot.

Bahkan, beliau dalam masa sama memasang harapan untuk mengurangkan sehingga sifar sisa kayu.

“Sehingga kini, saya berjaya mengurangkan sehingga lima peratus sisa berbanding 30 peratus sebelum ini. Sisa-sisa bahan tersebut akan dikitar semula untuk dijadikan produk yang berguna.

“Selain itu bekalan kayu baharu yang digunakan adalah daripada hutan terjaga dan bukannya secara pembalakan haram. Kami menerima material kitar semula bagi menghasilkan perabot atau produk lain,” katanya.

Beliau memberitahu, menerusi persijilan PEFC membolehkan syarikatnya yang mula beroperasi sejak Mac 1993 meluaskan pasaran ke seluruh dunia serta memasuki pasaran sensitif yang menekankan penggunaan produk lestari.

One Tech yang merupakan syarikat pertama menerima sijil PEFC melihat peluang cerah bagi syarikat tersebut memasuki pasaran negara-negara di Eropah yang amat menekan produk mesra alam.

“Buat masa ini, produk syarikat kami berjaya memasuki pasaran Rusia, Australia, Mexico dan Korea.

“Tujuan asal penubuhan syarikat ini memfokuskan penghasilan perabot seperti kerusi dan meja untuk sekolah-sekolah dan maktab sebelum terlibat dalam hiasan dalaman, perkakasan dapur serta menghasilkan perabot dan produk untuk kegunaan harian. Dalam masa sama turut membekalkan bahan mentah mesra alam.

“Dalam usia 25 tahun, One Tech berjaya menghasilkan beberapa jenama yang mula dikenali di serata dunia seperti Dapo, Harith Green Carpenter, Jord Eco Interiors, Meubelism dan Nokta,” ujarnya.

Tambah beliau, One Tech kerap menyertai dengan pelbagai pameran sama ada di dalam atau luar negara bagi mempromosikan produk keluaran syarikatnya.

Walaupun mengakui harga hasil perabot atau produk mesra alam agak tinggi di pasaran namun kesannya terhadap kelestarian hutan tidak boleh digambarkan dengan wang ringgit.

“Sekiranya lebih banyak syarikat menghasilkan produk daripada sumber hutan yang diuruskan secara mampan serta semakin ramai mempromosi perabot mesra alam, saya yakin industri ini akan terus mendapat permintaan tinggi sekali gus menambah pendapatan pengusaha kilang atau kedai perabot.

“Ini kerana pertumbuhan pasaran yang melibatkan kayu mencecah sebanyak RM23.3 bilion. Ini bermakna pasaran amat besar jika dilaksanakan dengan baik,” jelasnya.