Salah satunya yang dikenali sebagai Permaisuri Buah iaitu manggis atau nama saintifiknya Garcinia mangostana L. merupakan antara buah tropika yang sangat terkenal kerana isinya yang manis serta berjus.

Selain daripada rasanya yang sedap, manggis juga mempunyai banyak kebaikan misalnya ekstrak daripada kulit manggis yang banyak digunakan dalam kosmetik dan ubat-ubatan tradisional.

Kaya dengan kandungan antioksida, antibakteria, antiflamasi, bahkan berpotensi sebagai ubat antikanser, manggis sememangnya sejenis buah yang sangat istimewa.

Keunikan manggis juga dapat dilihat dari segi penghasilan anak pokok apabila Felo Penyelidik Utama, Institut Biologi Sistem (Inbiosis), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Normah Mohd. Noor menjalankan kajian kultur tisu keatas buah istimewa ini.

Menurut Dr. Normah, buah manggis tergolong dalam buah-buahan bermusim, maka proses untuk mendapatkan anak pokok manggis agak sukar, ditambah lagi dengan kadar produktivitinya yang sederhana.

“Kultur tisu merupakan kaedah atau cara untuk menghasilkan tumbuhan bermutu tinggi dengan lebih efektif dan berkesan.

“Cara ini mampu menghasilkan anak pokok yang lengkap bermula dengan sebahagian kecil tisu tumbuhan misalnya daun, biji benih atau hujung pucuk yang dikulturkan atas medium secara steril ataupun aseptik untuk tumbesaran menjadi anak pokok,” katanya ketika ditemui di UKM, Bangi, baru-baru ini.

Selain dari aspek perambatan, kaedah pemuliharaan juga dibangunkan untuk tumbuhan buah buahan tropika. Kebanyakan tumbuhan tropika ini berbiji benih rekalsitran yang bermaksud sukar disimpan untuk jangka masa lama kerana biji benih ini tidak dapat hidup jika dikeringkan dan didedahkan kepada suhu sejuk yang menimbulkan masalah pemuliharaan tumbuhan-tumbuhan ini.

Jadi, dengan adanya pelbagai kepakaran di Inbiosis, beliau dan kumpulan penyelidiknya juga cuba untuk memahami biji benih tumbuhan buah-buahan tropika itu melalui pendekatan-pendekatan terkini yang termasuk dalam kategori omics iaitu perlu melihat dari aspek molekul tentang genetik, protein dan bahan-bahan metabolit dalam perkembangan dan percambahan biji benih rekalsitran ini.

“Secara tidak langsung, projek yang dijalankan berkembang dengan lebih mendalam melalui pendekatan biologi sistem,” katanya.

Menurut Dr. Normah lagi, biologi sistem merupakan pendekatan yang mengintegrasikan pelbagai disiplin sains yang mengkaji atau memahami sesuatu proses biologi.

Sejajar dengan peranan Inbiosis, penyelidikan yang dilakukan adalah berfokuskan kepada bidang untuk mengeksplorasi molekul biodiversiti dan kemampuan tropika untuk penemuan gen dan molekul-molekul semulajadi baharu.

“Selain itu, ia juga memfokuskan kepada aplikasi teknologi terkini bagi pembaikan tanaman dan penghasilan molekul baharu.

“Penyelidikan yang dilakukan kini di Inbiosis keseluruhannya adalah ke atas tumbuhan terpilih dan sistem mikrob meneroka gen-gen serta rangkaian gen yang terlibat di dalam sintesis dan penghasilan metabolit sekunder,” ujarnya.

Jadikan cabaran sebagai pendorong untuk lebih berjaya

Tidak dinafikan, untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, pelbagai cabaran dan rintangan harus ditempuhi. Begitu juga Mohd. Amin Zakariya apabila dia terpaksa berkorban masa selain meredah hujan dan panas demi memenuhi cita-citanya.

“Apabila bergelar petani, kita perlu menjadi lebih peka kerana tanaman akan membuahkan hasil tidak mengira waktu. Jadi, banyak masa akan dihabiskan di ladang atau kebun berbanding di rumah sehingga menyebabkan masa bersama keluarga kurang.

“Bukan itu sahaja, untuk mengekalkan kualiti tanaman, antara yang menjadi cabaran ialah faktor cuaca dan musuh tanaman,” katanya.

Kongsinya lagi, demi mengekalkan momentum dalam apa jua yang dilakukan, setiap orang perlu meletakkan matlamat jangka masa panjang dan pendek.

Sebagaimana Mohd. Amin yang menetapkan matlamat untuk mendapatkan Persijilan Skim Organik Malaysia (MyOrganik) dalam perniagaannya.

Bukan itu sahaja, matlamat yang murni juga menjadi sebab perniagaan seseorang itu berjaya apabila dia ingin mewujudkan peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat melalui khidmat pengumpulan dan pengedaran produk tani.

“Saya juga mahu menghasil, memproses dan memasarkan produk hiliran berasaskan buah-buahan tropika untuk pasaran tempatan, dan secara tidak langsung mengeksport buah-buahan tropika ke pasaran luar.

“Kemudian, saya juga telah menetapkan matlamat untuk memperkenal daerah ke peringkat global sebagai hub dan hiliran pertanian selain mewujudkan program pelancongan tani di ladang buah-buahan tropika sebagai alternatif pendapatan,” jelasnya.

Jelas usahawan muda ini lagi, dia juga telah mula menghasilkan produk berasaskan buah manggis dalam bidang kecantikan dan farmasi untuk dipasarkan ke Jepun.

Walau bagaimanapun, menurutnya, bekalan bahan mentah agak terhad.

Justeru semua pihak yang terlibat seperti petani, jabatan serta agensi mahupun universiti untuk sama-sama bekerjasama menjalankan kajian serta mencari alternatif untuk meningkatkan bekalan bahan mentah di negara ini supaya tidak lagi perlu bergantung kepada hasil import negara luar.

Pasarkan buah manggis hingga ke London

Meletakkan misi dan visi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan memaksimumkan hasil pengeluaran, selain menanam serta mengganti semula pokok dengan varieti yang berkualiti tinggi, usahawan muda ini boleh dikatakan sebagai peneraju utama dalam bidang pertanian buah-buahan tropika di Kampung Simpang Tiga Gajah Puteh, Kedah.

Mohd. Amin Zakariya, 31, seorang usahawan pertanian sepenuh masa mengusahakan tanaman seperti manggis, durian, dokong, longan, jambu kristal dan pulasan selain turut mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan kontan di kawasan seluas lima hektar.

Mula melibatkan diri dalam bidang pertanian pada tahun 2003, pelbagai pencapaian telah diperoleh Mohd. Amin atas usaha dan penat lelahnya selama 13 tahun berkecimpung dalam bidang ini.

Paling membanggakan apabila tanaman buah manggis yang diusahakannya telah berjaya menembusi pasaran di London walaupun dalam skala yang kecil.

Menurut Mohd. Amin, selain itu, ladang buah-buahan miliknya juga sering menerima kunjungan dan lawatan daripada jabatan serta agensi, malah turut dijadikan sebagai ladang contoh buat pekebun dan petani yang lain.

“Terkini, kami turut berada bawah Projek Berimpak Tinggi (HIP) iaitu menerusi program ladang kontrak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Saya juga telah berjaya melayakkan diri untuk menjadi peserta Agropreneur Muda MoA bawah kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga dalam proses mendapatkan pensijilan MyGAP bagi persampelan residu dan audit,” katanya ketika ditemui di Kedah baru-baru ini.

Menurutnya, untuk mencapai kejayaan seperti ini, selain daripada usaha yang berterusan dan sifat tidak mudah jemu, strategi pemasaran juga turut memainkan peranan penting agar misi dan visinya dapat dicapai.

Jelasnya, antara strategi pemasaran yang dilaksanakan adalah dengan mengadakan jualan secara kerjasama menerusi syarikat atau kilang pemprosesan tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, kami turut memperkenal penggunaan teknologi bagi meningkatkan daya saing industri buah-buahan.

“Dalam masa yang sama, untuk menjadi petani yang berjaya, kita juga perlu mewujudkan serta mengamalkan kaedah penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama agensi dan jabatan yang sedia ada,” katanya.