Dianggarkan bahawa 17.7 juta orang mati akibat CVD pada tahun 2015, yang mewakili 31 peratus daripada semua kematian global, dan 52,560 atau 36 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia.

Senario ini memerlukan sesuatu dilakukan bagi mengurangkan beban kos yang perlu disediakan bagi merawat pesakit atau dengan kata lain, perlunya langkah awal sebagai pencegahan serangan jantung.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyahut cabaran tersebut apabila usaha dua tahun mereka berjaya menghasilkan peranti myThrob yang boleh dimanfaatkan sebagai alat pemeriksaan dan pemantauan penyakit jantung pintar.

Menurut ketua penyelidiknya Dr. Hau Yuan Wen dari Fakulti Bioproses dan Kejuruteraan Perubatan (FBME) UTM, penyakit jantung kekal sebagai pembunuh utama bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Katanya, selama 15 tahun yang lalu iaitu sejak tahun 2000, penyakit kardiovaskular adalah pembunuh senyap tertinggi. Sebenarnya, kebanyakan orang tidak tahu bahawa mereka mempunyai penyakit jantung sebenarnya.

“Oleh kerana kadar kematian jantung yang tinggi di Malaysia, pendekatan praktikal untuk meningkatkan perkhidmatan penjagaan jantung di Malaysia dituntut.

“Walau bagaimanapun, pengurusan risiko penyakit kardiovaskular sentiasa diabaikan sehinggalah peristiwa jantung berlaku disebabkan tempoh asimtomatik yang panjang,’’ ujarnya.

Di samping itu, disebabkan jumlah pakar kardiologi dan hospital pakar tidak mencukupi terutamanya di negeri-negeri membangun atau kawasan luar bandar, seperti pantai timur Semenanjung Malaysia, (Kelantan dan Terengganu) serta Sabah dan Sarawak, komuniti perlu menderita dari perjalanan jarak jauh dan beratur panjang di hospital pakar untuk pemeriksaan jantung. Pada masa yang sama, terdapat juga banyak kelemahan peranti pemantauan jantung yang sedia ada di pasaran, seperti peranti yang terlalu berat, kekurangan algoritma pengkelasan yang canggih, tidak menyokong pengkelasan diri, ketepatan yang rendah, dan lain-lain yang mungkin tidak sesuai untuk digunakan oleh pengguna rumah.

Katanya, myThrob sesuai dipakai untuk pemantauan di rumah, seperti alat pengukur tekanan darah yang biasa digunakan di rumah sekarang.

Beliau berkata, penyelidikan membangunkan peranti myThrob bermula pada tahun 2013 bermula dengan fasa pertama berkaitan kajian algoritma.

Katanya, ia bertujuan mengkaji algoritma asli yang dapat mengesan denyutan jantung tidak normal yang mengancam nyawa sebagai petunjuk yang kuat atau prekursor kepada beberapa penyakit jantung yang serius dengan ketepatan yang tinggi.

“Pada tahun 2016, kami berjaya mencipta prototaip myThrob iaitu pembuktian konsep dengan reka bentuk pemprosesan yang pantas untuk memproses analisis ECG secara masa nyata (real-time).

“Sejak berjaya dihasilkan hingga 2018, kami telah berjaya menghasilkan prototaip demonstrasi makmal dengan penambahbaikan algoritma yang berterusan dari semasa ke semasa, supaya ia dapat mengesan lagi banyak pelbagai jenis aritmia yang mengancam nyawa dengan ketepatan yang lebih tinggi, seperti takikardia ventrikel iaitu aritmia yang mengancam nyawa yang boleh membawa kepada fibrilasi ventrikel, fibrilasi atrium yang berkemungkinan besar akan membawa kepada strok, dan lain-lain, ujarnya.

Beliau berkata, oleh kerana penciptaan peranti dan instrumen perubatan adalah tugas yang kompleks dan sangat mencabar, tambahan pula bidang kejuruteraan bioperubatan melibatkan pengetahuan dan kemahiran berbilang disiplin, pasukan penyelidikan tersebut terdiri daripada pakar pelbagai bidang yang berbeza untuk memastikan mereka dapat memimpin projek ini ke arah yang berjaya.

Beliau sendiri merupakan pakar bidang kejuruteraan elektronik dan komputer yang bertanggungjawab untuk pengurusan keseluruhan projek penyelidikan, serta penyelidikan algoritma dan reka bentuk peranti myThrob bersama Dr. Mohd. Afzan Othman dan Dr. Mohd Najeb Jamaludin daripada latar belakang kejuruteraan bioperubatan.

Kepakaran lain termasuklah latar belakang klinikal iaitu Prof. Madya Dr. Sazzli Shahlan dan Dr. Lim Chiao Wen, sebagai pakar kardiologi dari UiTM Medical Specialist Centre dan Datuk Dr. Aizai dan Dr. Tan Lay Koon, sebagai pakar kardiologi dari Institut Jantung Malaysia (IJN)

Dr. Rania Hussesin Ahmed Al Ashwal pula merupakan doktor perubatan dari UTM FBME manakala Mohd. Shafullah Serdari merupakan ketua teknologis kardiovaskular dari Intitut Jantung Negara (IJN).

Katanya, kesemuanya memainkan peranan yang sangat penting dalam kajian penyelidikan tersebut dengan perkongsian pengetahuan klinikal dan kejuruteraan bioperubatan yang amat berharga, terutamanya topik yang berkaitan dengan analisis ECG, diagnosis dan rawatan kepada pesakit jantung daripada perspektif yang berbeza, serta teknologi terkini peranti perubatan ECG.

Selain itu, UiTM Medical Specialist Centre juga membekalkan data ECG untuk pengesahan dan pengujian peranti myThrob, manakala IJN menyediakan peluang latihan kepada ahli penyelidik untuk penerokaan teknologi peranti ECG yang berlainan serta perisian analisis.