Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MyBIS pangkalan data biodiversiti

1.476869 7

Malaysia antara negara di dunia yang tersenarai sebagai memiliki kekayaan khazanah alam semula jadi kerana litupan hutan yang masih luas.

Sebagai sebuah negara yang tersenarai dalam antara 12 negara di dunia yang mempunyai kepelbagaian biologi, maka sewajarnya kekayaan tersebut dijaga dan dipulihara untuk diwarisi kepada generasi akan datang.

Kekayaan tersebut tentulah tidak dapat dinilai dengan wang ringgit tetapi adakah kita menghargainya?.

Aset semula jadi ini terletak bawah tanggungawab Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan satu daripada agensinya yang terbabit dalam penjagaan hutan adalah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Malaysia adalah ahli Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD).

Justeru, setiap ahli di bawah konvensyen tersebut perlu menubuhkan satu mekanisme penyebaran maklumat atau Clearing House Mechanism kebangsaan serta laman web CHM untuk menyediakan perkhidmatan penyebaran atau perkongsian maklumat biodiversiti.

Pada tahun 2014, MyCHM telah disusun semula dan dijenamakan kepada MyBIS.

Penubuhannya bertujuan memudahkan pelaksanaan strategi dan pelan tindakan biodiversiti negara. Bagi Malaysia, laman sesawang ini kini dikenali sebagai Malaysia Biodiversiti Information System (MyBIS) dan boleh diakses melalui www.mybis.gov.my.

Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod sejak penubuhannya, MyCHM telah menyediakan data flora dan fauna Malaysia dengan gambar-gambar berserta surat berita dalam laman sesawang.

“Laman sesawang ini juga menyediakan pautan kepada pelbagai perjanjian berkaitan dengan biodiversiti Malaysia dan laman lain yang mengandungi maklumat berkenaan bidang tersebut,’’ ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar mengumumkan penubuhan laman sesawang berkenaan di Kepong baru-baru ini yang turut dihadiri Ketua Projek MyBIS, Hamidah Mamat dan pegawai penyelidiknya, Ajla Rafidah Baharom.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, objektif utama pembangunan MyBIS adalah sebagai pusat repositori untuk maklumat biodiversiti di negara ini.

Katanya, MyBIS menyediakan platform untuk pengumpulan data berkaitan biodiversiti termasuk maklumat spesies, gambar, rujukan, surat berita dan penerbitan dari pelbagai agensi dan organisasi.

FRIM juga bekerjasama rapat dengan NRE dengan aspirasi yang sama iaitu untuk menjadikan MyBIS sebagai pusat repositori atau pangkalan data maklumat biodiversiti di Malaysia.

Justeru sebagai sebagai pusat repositori, MyBIS mengandungi data komprehensif mengenai flora dan fauna termasuk spesies dan maklumat taksonomi, gambar, surat berita dan rujukan, pakar biodiversiti, status pemuliharaan, kawasan perlindungan dan spesimen.

Maklumat terkini mengenai biodiversiti Malaysia boleh diakses dengan mudah dalam talian.

Dengan adanya kemudahan tersebut, ia boleh membantu meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai kepentingan biodiversiti serta menyumbang ke arah pelaksanaan strategi pemuliharaan dan pelan tindakan biodiversiti negara.

Dengan adanya MyBIS, usaha pemuliharaan dilaksanakan dengan menyediakan akses mudah dan percuma kepada maklumat mengenai spesies terancam yang sentiasa dikemas kini.

Status pemuliharaan, profil spesies, gambar, lokasi dan rujukan kepada spesies terancam adalah antara maklumat yang boleh didapati dalam MyBIS.

Maklumat ini sangat berguna untuk pembangunan strategi bagi pemuliharaan flora dan fauna terancam di Malaysia.

Bagi menilai status pemuliharaan tumbuhan di negara ini, modul Lembaran Maklumat Data Taksonomi (TDIS) dibangunkan dalam CHM.

Status penilaian bagi tumbuhan ini boleh didapati di MyBIS bagi memberikan input untuk kesedaran orang ramai dan membantu mengenal pasti spesies terancam.

“Tiada kumpulan sasaran tertentu untuk laman sesawang ini. Kebanyakan pengguna MyBIS terdiri daripada penyelidik, pencinta alam, kanak-kanak sekolah dan orang awam yang ingin mencari maklumat mengenai biodiversiti negara,’’ ujarnya.

MyBIS menyediakan maklumat seperti taksonomi, gambar dan rujukan dalam talian yang boleh membantu mengenal pasti sesuatu spesies.

Walau bagaimanapun, pengguna perlu tahu beberapa maklumat asas mengenai kumpulan tumbuhan seperti palma, orkid dan halia supaya carian boleh dijalankan di dalam MyBIS.

Menerusi sistem tersebut, pengguna boleh menyemak daftar profil spesies serta melihat koleksi gambar untuk membantu pengenalpastian tersebut.

Sementara itu menurut Pegawai Penyelidik Kanan (Konservasi Biologi), Jabatan Biodiversiti Hutan (FRIM), Lillian Chua, pangkalan data tersebut dibangunkan sebagai memenuhi bertanggungjawab FRIM yang menyimpan spesimen serta pangkalan data bagi flora, kulat, entomologi dan zoologi.

Penyelidik FRIM juga diiktiraf sebagai pakar biodiversiti dalam botani, entomologi dan zoologi.

Penambahbaikan kepada laman sesawang ini dibuat secara berterusan berdasarkan maklum balas yang diterima untuk menyokong semua aspek biodiversiti Malaysia.

MyBIS juga berfungsi sebagai direktori kebangsaan bagi pakar biodiversiti Malaysia.

Malaysia terima Anugerah Emas

Malaysia menerima Anugerah Emas bawah kategori CHM yang baru dibangunkan ketika Mesyuarat Ketiga Belas Persidangan Pihak-Pihak kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (COP 13) yang diadakan di Cancun, Mexico dari pada Disember tahun lepas.

Menurut Datuk Dr. Abd Latif Mohmod, anugerah tersebut adalah pengiktirafan atas usaha berterusan dalam meningkatkan, mengemas kini dan mengekalkan CHM untuk Malaysia sejak tahun 2008.

Ini menunjukkan MyBIS diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai pusat pangkalan data biodiversiti untuk Malaysia.

“Anugerah ini membuktikan bahawa hala tuju MyBIS adalah selaras dengan Konvensyen Kepelbagaian Biologi serta menyokong Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan dan ke arah mencapai Sasaran Aichi pada tahun 2020.

“Pengiktirafan ini adalah bukti kesungguhan dan komitmen FRIM ke arah pemuliharaan dan dokumentasi sumber semula jadi negara untuk warisan generasi akan datang.

“Terdapat keperluan untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan agensi kerajaan dan pencinta alam untuk menyumbangkan data kepada MyBIS sebagai sebahagian daripada usaha negara untuk mengumpul maklumat biodiversiti bagi Malaysia,” ujarnya.

Anugerah tersebut diperkenal untuk mengiktiraf negara dengan peningkatan kemajuan yang paling signifikan dalam penubuhan atau pembangunan CHM kebangsaan mereka.

Anugerah CHM juga mengetengahkan usaha yang dibuat setakat ini oleh negara-negara yang mengambil bahagian serta menggalakkan mekanisme penyebaran maklumat biodiversiti negara ahli terus dimajukan.

Semua ahli Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD) digalakkan untuk menubuhkan satu mekanisme penyebaran maklumat biodiversiti (CHM) kebangsaan.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa negara membangun yang masih belum menubuhkan sistem tersebut.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain