Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh menterinya, Datuk Madius Tangau dalam satu majlis di Tuaran, Sabah sempena program ilmiah Taklimat Kesedaran Teknologi Nano anjuran NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia).

Nanosocks merupakan sumbangan NanoTextile Sdn. Bhd., anak syarikat kepada NanoMalaysia Berhad iaitu agensi di bawah MOSTI, bertujuan meningkatkan pemahaman dan memupuk minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi yang merupakan cabang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Nanosocks ini dicipta sebagai agen penyah bau, mampu menghalang pembiakan kulat dan bakteria serta proses pembuatannya adalah mesra alam semula jadi.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, program penyerahan tersebut membuktikan pihaknya amat menitikberatkan kesedaran sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan pelajar dan selaras dengan pendidikan STEM.

“Kami terpanggil untuk menyerahkan sumbangan Nanosocks kepada SMK Tenghilan supaya pelajar dapat mengenal dan memahami dengan lebih mudah aplikasi teknologi nano.

“MOSTI telah merangka pelbagai usaha untuk membudayakan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Justeru, pengenalan teknologi nano dan aplikasinya dalam bidang tekstil tempatan pada hari ini adalah wajar dan bertepatan dengan misi STEM,’’ ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, NanoMalaysia terpanggil untuk turut sama menjayakan pembudayaan STEM, walaupun pihaknya lebih menjurus kepada aktiviti perindustrian dan pengkomersialan teknologi nano di negara ini Malaysia.

“Bagi kami, teknologi nano adalah untuk semua dan produk Nanosocks adalah contoh mudah difahami yang dicipta untuk kegunaan masyarakat.

“Pelajar dijangka dapat memahami teknologi nano dengan lebih mudah melalui kegunaannya setiap hari dengan harapan suatu hari nanti mereka bakal menerajui bidang teknologi nano Malaysia,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu Pengetua SMK Tenghilan, Justin Rumpod berkata, pihaknya amat menghargai program tersebut yang diadakan di sekolah berkenaan.

“Kami berbesar hati menerima sarung kaki berteknologi nano dan pelajar kami telah menerima banyak manfaat melalui pembelajaran teknologi nano daripada MOSTI, NanoMalaysia dan NanoTextile Sdn. Bhd,’’ katanya.

Turut hadir Pengerusi NanoTextile Sdn. Bhd. Datuk Dr. Cheng Kok Leong dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Thomas Ong yang telah menyampaikan taklimat Revolusi Teknologi Nano dalam Industri Tekstil kepada pelajar.