Mereka terpaksa mencari sumber rezeki lain memandangkan perusahaan penangkapan ikan tersebut berdepan dengan masalah yang tidak diduga. Mujur suaminya yang berasal dari Miri, Sarawak mempunyai keluarga yang mengusahakan perusahaan mi kolok sejak beberapa generasi.

Mi kolok yang dimakan bersama kuah merupakan makanan terkenal di negeri berkenaan.

“Dengan kepakaran suami, saya mintak dia membuat mi yang saya campurkan dengan pelbagai perisa seperti buah naga, bayam, lobak, pandan telur, coklat dan sayur kelor (morengga). Satu lagi faktor adalah kerenah anak sulungnya yang puas dipujuk makan sayur tetapi menolak.

“Sekadar melayan kerenah anak sulungnya, Elisha Nge yang cuba dipujuk supaya makan sayur, akhirnya pada hari ini, Kim Yen menjadi usahawan mi yang semakin berjaya.

Kim Yen berkata , setiap kali mengajak anak sulungnya makan, dia puas memujuk supaya makan sayur.

“Satu hari, saya menghasilkan mi yang dicampurkan dengan bahan tertentu yang supaya kelihatan berwarna dan mampu menarik minat anak saya.

“Saya macam tipu anak saya supaya dia secara tidak langsung makan sayur yang saya letak dalam mi berkenaan, ‘’ujarnya ketika ditemui di kilang mereka di Tawau, Sabah baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, dia gembira selepas anaknya gemarkan mi berkenaan dan ini menjadi pendorong untuk terus menghasilkan mi berkenaan.

Beroperasi di Taman Perindustrian Megah Jaya di Tawau, Sabah, kilang syarikatnya yang dibuka kira-kira dua tahun lepas sudah mampu menghasilkan enam tan mi kering sebulan.

Syarikat pengeluaran yang beroperasi atas nama HY Enterprise mula aktif pada 2016.

Ketika itu, dia menghasilkan mi berkenaan di rumahnya sahaja dan kemudian memindahkan operasi perniagaannya ke Batu Tiga bagi mencari kawasan yang lebih luas.

Selepas enam bulan, mereka memindahkan perniagaan mi berkenaan di kawasan kilang yang ada sekarang dan di situ, kerja-kerja penghasilan mi lebih serius, berskala besar dan lebih bersifat komersial.

Lebih menarik, usaha mereka mendapat perhatian dan bantuan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah Tiga Tawau.

Sejak berpindah ke kilang baharu, anak jati Lahad Datu, Sabah ini tidak menoleh ke belakang lagi dengan mengatur pelbagai perancangan untuk memajukan perniagaan.

Apabila memasuki kawasan kilang, pengunjung akan melihat sendiri deretan mi berwarna warni yang sedang dijemur.

Mi berkenaaan diletakkan di atas para dan ditutup dengan jaring bagi mengelakkan diganggu burung yang boleh mencemarkan makanan tersebut.

Kejayaannya itu diteruskan dengan meningkatkan pengeluaran dan mula menjual kepada rakan-rakan atau kedai runciti. Rakannya memuji mi berkenaan kerana bukan sahaja warnanya menarik dan berkhasiat, tetapi disertakan dengan perisa, sama seperti konsep mi segera.

Beroperasi di kilang baharu, mendorong kedua-duanya bekerja lebih tekun terutama selepas memperoleh bantuan daripada LKIM.

Menerusi LKIM, mereka menerima bantuan yang perlu dipohon sendiri berupa peralatan seperti mesin pemotong, menguli dan mencampur dan steamer dengan bernilai RM50,000 iaitu 70 peratus oleh LKIM, manakala bakinya syarikat berkenaan.

LKIM bantu ikut keperluan

Bagi mereka yang pernah berkunjung ke Sarawak, pastinya biasa menikmati hidangan mi kolok dan menjadi industri kecil dan sederhana (IKS) yang popular di negeri berkenaan.

Pengalaman keluarga mengusahakan mi kolok dan mi basah beberapa generasi di Batu Niah, Miri, Sarawak menjadi penggerak kepada pembangunan Fun Noodle yang beroperasi di Tawau, Sabah.

Selain itu, dukungan daripada agensi seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malayasia (LKIM) juga menjadi faktor penentu kepada kejayaan Fun Noodle.

Sebagai contoh, selain bantuan berbentuk pelbagai jenis mesin, agensi Kementerian Pertanian dan Sumber Asas Tani itu juga membawa usahawan seperti suami isteri berkenaan menyertai karnival dan pelbagai program promosi lain.

Malah seperti yang dinyatakan oleh Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi LKIM Wilayah Tiga Tawau, Syafriani Syarifuddin, pihaknya akan membantu syarikat berkenaan memperoleh sijil yang diperlukan.

Selepas menempa sedikit kejayaan, mereka merancang meningkatkan pengeluaran bulanan dari enam kepada 10 tan. Ini bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan termasuk menerusi jualan dalam talian.

“Setakat ini, kami telah memasarkan mi ini di beberapa bandar utama Sabah seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu serta turut memasarkannya menerusi platform e-dagang yang popular.

Selain itu, mereka juga memasarkannya menerusi e dagang antarabangsa bagi membolehkan produk jenama Fun Noodle berkenaan di jual di luar negara.

Apa yang penting bagi Kim Yen adalah berusaha untuk mendapat pengiktirafan beberapa pensijilan seperti halal Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Bagi tujuan itu, dia akan memastikan semua oeprasi dalam rantaian pengeluaran bersih dan tidak diragui serta menggunakan bahan mentah yang berstatus halal serta tahan lama.

Atas alasan yang sama, mereka juga mengambil pekerja beragama Islam.

Fun Noodle tersebut kata Kim Yen mampu bertahan selama setahun jika disimpan dengan cara yang betul.

Sementara itu, menurut Kenny Nge, dengan perkembangan perusahaan mi mereka yang semakin memberangsangkan, pelbagai perancangan sedang berlegar dalam kepala.

Selain meningkatkan pengeluaran, pihaknya merancang mengeksport mi tersebut ke negara lain . Dalam masa sama, pihaknya bercadang mewujudkan sistem francais dengan hasrat mahu memberi peluang kepada generasi muda terlibat dalam perusahaan mi dalam bentuk trak sajian makanan (food truck) atau kiosk.

“Perancangan lain termasuk membuka kafeteria dengan menu utama adalah Fun Noodle,” ujarnya lagi.

Malah pihaknya mahu membuka kilang mi di mana-aman bandar di Semenanjung dalam tempoh lima tahun lagi.