Pada tahun 2015, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membiayai 85 projek MSI dan pada 2016, 82 projek telah dibiayai. Projek MSI mensasarkan kelompok khusus seperti wanita, warga tua serta kumpulan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

Ini sebahagian usaha MOSTI merakyatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas yang memberi tumpuan khusus mempertingkat ekonomi rakyat selain memastikan ekonomi modal negara terus berkembang.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau percaya Malaysia maju bergantung kepada kejayaan masyarakat luar bandar. Untuk mencapai hasrat tersebut, kerajaan dan MOSTI menekankan usaha seperti MSI dan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) bagi memperkasa masyarakat desa.

Selaras dengan konsep berjiwa rakyat, BCDP yang dilaksanakan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation, dahulu dikenali sebagai BiotechCorp) dapat memanfaatkan masyarakat luar bandar untuk membekalkan bahan mentah bagi mewujudkan produk asli, inovatif, berasaskan bio dan bernilai tinggi.

Herba Kacip Fatimah

Projek BCDP melibatkan Penanaman Herba Kacip Fatimah oleh Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil di Tangkak, Johor merupakan contoh kejayaan BCDP.

Projek BCDP mendapat Dana MOSTI Social Innovation (MSI) membolehkan Bioeconomy Corporation membiayai kos latihan, peralatan dan baka Kacip Fatimah kepada 10 ahli berkemahiran.

Kacip Fatimah dihasilkan peserta diberi jaminan belian balik syarikat Bioalpha East Coast Agro Sdn. Bhd., syarikat peneraju berstatus BioNexus.

Syarikat BioNexus merupakan syarikat berasas bio bertaraf antarabangsa layak menerima insentif fiskal dan jaminan dari Bioeconomy Corporation.

Pada 19 Mei 2017, penyerahan projek MSI kepada Persatuan Peniaga Kecil Kampung Sagil dirasmikan oleh Menteri MOSTI. Projek ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan tambahan dan membantu meningkatkan mobiliti sosial komuniti selain membangun industri Kacip Fatimah.

Projek ini berpotensi meraih hasil Kacip Fatimah basah 2,000 kg seekar dan menjana pendapatan RM3,200 sebulan berdasarkan harga belian balik setiap tuaian.

Cendawan Tiram

MOSTI telah merasmikan penyerahan Projek MSI kepada Koperasi Waris Jati Kondok Berhad di Kampung Kondok, Nilai, Negeri Sembilan 21 Mei 2017.

Peserta mengambil bahagian dalam projek Penanaman Cendawan Tiram Secara Komersial di bawah program BCDP. Dana MSI digunakan untuk menampung kos latihan, pembinaan rumah cendawan dan pembelian 100,000 beg cendawan kepada 10 orang ahli.

Projek melibatkan syarikat berstatus BioNexus, Frais Funghi Sdn. Bhd. juga syarikat peneraju. Frais Funghi berkerjasama dengan Universiti Malaya (UM) bagi membekalkan beg disuntik benih cendawan tiram kelabu.

Frais Funghi juga bekerjasama dengan Nuklear Malaysia untuk latihan kemahiran mengendali cendawan tiram. Projek ini menjana pendapatan RM652,000 setahun untuk 10 buah rumah atau RM54,000 pendapatan sebulan.

Rumpai Laut

Pada 25 Mei 2017, satu lagi Projek MSI telah diserahkan secara rasmi kepada Persatuan Pengusaha Rumpai Laut Langkawi bagi Projek Akuakultur Rumpai Laut di Pulau Gasing, Langkawi.

Dengan bimbingan syarikat peneraju Langkawi Aquaculture Sdn. Bhd. dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), 20 peserta telah dilatih.

Menggunakan Dana MSI, syarikat peneraju membekalkan benih permulaan dan memberikan latihan kepada peserta menghasilkan rumpai laut secara komersial. Langkawi Aquaculture membekalkan sangkar rumpai laut menggunakan teknologi Langkawi Aquaculture Integrated Farming Enclosure (LIFE) .

Sebagai permulaan, benih rumpai laut matang dibiak di dalam sangkar di Pulau Gasing. Kawasan ini boleh menempatkan 100 sangkar rumpai laut dengan hasil 700 kilogram setiap sangkar. Pendapatan ahli mampu mencecah lebih RM3,000 sebulan. Ikan dan hidupan laut boleh diternak sebagai penternakan selingan.

Sumbangan BCDP

Dalam jangka panjang, projek BCDP akan dikembangkan melibatkan lebih ramai ahli persatuan dan koperasi termasuk kampung berdekatan. Projek BCDP bukan sahaja dapat menyumbang kepada perkembangan sosio-ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat, malah dapat mengembangkan industri Kacip Fatimah, cendawan dan rumpai laut.

Melalui perjanjian belian balik dijamin syarikat peneraju projek BCDP, syarikat mendapat bekalan Kacip Fatimah, cendawan tiram dan rumpai laut konsisten untuk diproses dan dipasarkan, peserta mendapat pulangan hasil penjualan tanaman kepada syarikat.

Projek BCDP dapat meningkatkan pengkomersialan tanaman di dalam dan luar negara dan menyumbang kepada pembangunan industri kesihatan tambahan tempatan.

Mengambil kira permintaan tempatan dan global, industri Kacip Fatimah, cendawan tiram dan rumpai laut mempunyai potensi besar ke seluruh dunia.

Model perniagaan koperasi dengan kerjasama syarikat berstatus BioNexus dalam BCDP ini merupakan satu pendekatan unik kerana membolehkan petani meraih pencapaian secara kolektif. Pendekatan ini memberi faedah besar kepada masyarakat petani dan meningkatkan pembangunan luar bandar.