Justeru, ada sebab mengapa hutan tropika buatan manusia terbesar dan tertua di dunia yang terletak berhampiran bandar raya Kuala Lumpur ini perlu terus dipelihara dan dipulihara agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Pelbagai anugerah diterima oleh FRIM antaranya Tapak Warisan pada 2009 dan Warisan Kebangsaan pada 2012 membuktikan ia menjadi khazanah yang penting pada masa akan datang.

Menyedari akan kepentingan itulah, maka kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar khususnya FRIM serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kini dalam proses mengangkat martabat hutan buatan manusia ini sebagai satu daripada Tapak Warisan Dunia (WHS) di bawah kategori kebudayaan.

Untuk tujuan tersebut, FRIM bekerja sama dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi proses pencalonan sebagai WHS Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco).

Selaras dengan itu, sebuah jawatankuasa penyelaras dibentuk dengan dianggotai oleh FRIM dan JWN. Di peringkat FRIM, ia diketuai oleh Ketua Pengarahnya Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod, manakala sekretariat bagi menggerakkan wawasan WHS ini dipertanggungjawabkan di bawah Program Pengurusan Tapak Warisan FRIM (FRIM-WHS), Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar agensi berkenaan.

Usaha ke arah mendapat pengiktirafan WHS itu telah bermula sejak 2012 lagi selepas kampus tersebut dipilih sebagai Warisan Kebangsaan dengan empat langkah strategik iaitu mewujudkan rangkaian hubungan kerjasama, proses dokumentasi dan pencalonan serta misi penilaian dan pengiktirafan.

Inisiatif bermula dengan penubuhan sekretariat khas di bawah FRIM, membangunkan rangkaian hubungan dan mewujudkan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik dan pemegang taruh (stakeholders) termasuk Kerajaan Negeri Selangor, memandangkan FRIM terletak dalam negeri berkenaan. Wawasan ini turut mendapat sokongan dana di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

Ketua sekretariatnya, Noorsiha Ayop berkata, pada 2015 hingga tahun lalu proses dokumentasi dimulakan dengan membentuk Pelan Rangka Kerja usaha pencalonan Kampus 
FRIM sebagai WHS-Unesco menerusi fakta nilai keunggulan sejagat atau outstanding universal value (OUV) dan penetapan zon teras dan zon penampan tapak.

Hasil daripada ketiga-tiga tindakan tersebut, dokumen pencalonan dikenali sebagai dossier dan pelan pengurusan tapak iaitu conservation management plan (CMP) dihasilkan serta usaha publisiti dan hebahan atau promosi tapak turut dimulakan.

Bermula tahun ini pula sehingga tahun depan, proses penyediaan dokumen tentative list, dokumen pencalonan dan CMP dimulakan menerusi penubuhan jawatankuasa khas yang dianggotai bersama oleh JWN dan FRIM sebelum misi penilaian oleh Majlis Antarabangsa Bagi Tapak dan Monumen (ICOMOS) dijalankan.

Misi ke arah menjadikan Tapak Warisan FRIM atau FRIM Selangor Forest Park sebagai tapak warisan dunia turut dibantu oleh tiga felo pakar yang dilantik iaitu bekas Ketua Pengarah JWN, Prof. Emeritus Datin Paduka Dr. Zuraina Majid; pakar botani UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad dan bekas Timbalan Ketua Pengarah FRIM, Dr. Francis Ng.

FRIM ‘nyawa saya’ – Abd. Latif

Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia (WHS) untuk FRIM penting sebagai lambang usaha penghutanan semula kawasan terosot dan gersang terbaik dibuat oleh manusia.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, komitmen negara mengekalkan kawasan hijau dan pemuliharaan biodiversiti agar terus wujud sebagai khazanah alam khususnya spesies terancam boleh dipelajari, disampaikan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Usaha penanaman, melindungi dan memulihara menjadi teras budaya dan amalan masyarakat malaysia bagi tetap menjaga sumber asli dan alam sekitar yang terlalu berharga bagi kelestarian manusia.

“Imej malaysia dan FRIM sebagai penjaga alam sekitar yang komited dapat membantu dalam mengekalkan integriti penjagaan hutan yang tinggi, serta membantu nilai ekonomi dan chain of custody antarabangsa yang banyak menekankan pendekatan mesra alam sekitar dan penjagaan yang seimbang dan lestari,” ujarnya.

Katanya, apabila memperoleh pengiktirafan WHS nanti, FRIM akan diuar-uarkan sebagai destinasi ekopelancongan dan pusat rujukan perhutanan dan alam sekitar.

Justeru, nilai tambah FRIM akan jadi lebih baik dan menjadi model kepada dunia.

“FRIM sahajalah yang saya ada, untuk diabadikan sebagai sebagai bukti pengorbanan dan kasih sayang. Oleh itu jangan dipersiakan kurniaan Ilahi sebaliknya perlu terus dilindungi dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat yang pelbagai budaya dan kepercayaan,” ujarnya.