Kira-kira 4 bilion, iaitu 80 peratus populasi dunia di negara-negara membangun menggunakan ubatan herba sebagai kaedah alternatif dalam penjagaan kesihatan.

Begitu juga, rakyat Malaysia pada masa kini sangat mementingkan kesihatan dan kesedaran terhadap kepentingan ini telah mendorong pengguna untuk menggunakan produk kesihatan berasaskan herba.

Kini kebanjiran produk herba dari negara Indonesia, Thailand dan China amat menggusarkan dan membimbangkan.

Kebanyakan produk herba yang berada di pasaran tidak disokong oleh kajian saintifik dan ujian tahap keselamatan produk ke atas kesihatan pengguna juga tidak diberi perhatian.

Secara umumnya, produk yang berasaskan herba ini diproses di rumah atau orang perseorangan. Produk yang dihasilkan ini tidak terjamin kualiti, keberkesanan dan keselamatan. Akibatnya kes-kes keracunan atas penggunaan produk herba yang mengandungi bahan kimia yang memudaratkan kesihatan sering berlaku. Masalah yang berleluasa tanpa kawalan ini amat membimbangkan dan akan mengurangkan tahap kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk herba yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan.

Kawalan kualiti produk herba merupakan satu proses penting dalam pemantauan kualiti dan validasi produk yang perlu dititik-beratkan demi menjamin tahap keselamatan produk yang dihasilkan. Kebimbangan pengguna terhadap kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk herba boleh dikurangkan dan keyakinan dipulihkan semula sekiranya kawalan kualiti ke atas produk yang dihasilkan telah dilaksanakan. Kementerian Kesihatan telah menetapkan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh pengeluar dan pengusaha untuk memasarkan produk herba.

Bagi mendokong keperluan industri herba, FRIM telah menubuhkan Bahagian Hasilan Semula Jadi (dikenali sebagai Bahagian Tumbuhan Ubatan pada awal penubuhan) yang komited dalam menjalankan penyelidikan berkaitan produk herba. Bahagian ini menjalankan fungsinya menerusi empat program utama iaitu Program Sumber Biologi, Fitokimia, Bioaktiviti dan Pembangunan Produk Herba.

Kemunculan banyak usahawan berasaskan herba bagai cendawan tumbuh selepas hujan membawa impak yang positif dalam pembangunan ekonomi negara khususnya industri kecil dan sederhana (IKS). Industri herba bukan hanya mampu melahirkan usahawan tetapi boleh menjana kekayaan baharu apatah lagi ia boleh diperoleh dengan mudah di negara ini.

Pelbagai produk herba di pasaran membuktikan permintaannya tetap ada memandangkan ramai pengguna mentafsirkan sebagai minuman kesihatan atau makanan tambahan.

Ketika industri herba sedang bergerak ke satu tahap yang membanggakan, muncul pula pelbagai isu dalam yang menjadi cabaran baharu kepada pengeluar dan usahawan.

Dalam industri seperti ini, tiga cabaran utama adalah keselamatan, efikasi (keberkesanan) dan juga kualiti bahan mentah yang digunakan.

Justeru, perkembangan industri herba tempatan juga bergerak seiring dengan kemunculan tiga cabaran tersebut. Ini kerana terdapat industri yang mengambil kesempatan memanipulasi kegilaan orang ramai terhadap produk herba dengan mengeluarkan bahan yang bukan sahaja tidak mujarab malah memudaratkan kesihatan pengguna.

Oleh sebab itu, ada unsur penipuan dalam pengeluaran produk kesihatan atau kecantikan yang kononnya mujarab tetapi boleh mendatangkan masalah kesihatan selepas menggunakannya.

Perkara itu timbul apabila ada dakwaan berlebihan kononnya produk tersebut mujarab, selamat dan berkualiti sebaliknya mereka menipu untuk melariskan jualan.

Salah satu puncanya adalah tidak ada usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menjamin kualiti produk yang dihasilkan.

Bagi mendepani cabaran tersebut Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) tampil menubuhkan Pusat Pengesahihan Bahan Mentah Herba (FHMAC), dengan tujuan membantu industri menjalankan pengesahihan menentukan kandungan produk mereka sebelum dipasarkan.

Menurut Pengarah Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM, Dr. Rasadah Mat Ali tiga isu tersebut penting bagi memastikan produk berasaskan herba lebih selamat dan berkualiti selain berkesan.

Beliau memberi contoh, terdapat banyak spesies tongkat ali di negara ini yang dibezakan dengan warna merah, hitam dan kuning tetapi apakah cara menentukannya.

Justeru, pusat tersebut menggunakan banyak kaedah bergantung kepada bentuk sampel yang dihantar.

FHMAC telah dibangunkan di Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM. Pusat yang telah dibangunkan awal tahun ini akan menyokong pelaksanaan serta aktiviti sejajar dengan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Dasar Keselamatan Makanan Negara.

Pusat tersebut akan berfungsi untuk membangun dan menawarkan skim pensijilan ke arah pemantapan industri herba tempatan dengan mempertingkatkan kualiti, keselamatan dan efikasi produk yang dihasilkan.

Pusat ini juga dijangka berperanan penting sebagai makmal pengesahihan herba untuk Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pusat tersebut juga akan menyumbang kepada pembangunan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk sektor herba tempatan.

“FRIM juga akan mempunyai pangkalan data bar kod DNA (untuk tujuan rujukan) manakala sampel yang telah dihantar dan dianalisis akan diberi sijil,” ujarnya.