Audit keselamatan kebakaran sering kali dianggap remeh oleh sesetengah pihak.

Pada pandangan mereka memadai hanya dengan pemasangan sistem kawalan kebakaran untuk melindungi aset-aset penting serta bangunan sedia ada.

Namun, tiada siapa peduli adakah sistem tersebut benar-benar dapat berfungsi dengan baik apabila berlakunya kebakaran?

Lebih malang, sistem tersebut tidak dipasang mengikut piawaian yang ditetapkan atau peralatan yang digunakan memenuhi standard yang telah ditetapkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Safety Hi-Tech Engineering Sdn. Bhd., Azhan Mohamad, kesedaran akan kepentingan audit keselamatan kebakaran amat rendah dalam masyarakat Malaysia.

Bahkan katanya, perkara tersebut turut diambil mudah oleh pihak atasan dalam agensi penting dalam kerajaan.

“Seperti mana berlaku kepada sebuah syarikat pembekal tenaga elektrik dalam negara yang mendapati sistem keselamatan kebakaran mereka tidak menepati standard yang ditetapkan.

“Apabila pihak kami membuat audit, terdapat beberapa komponen yang digunakan di dalam sistem tersebut tidak menepati piawaian, jika berlakunya kebakaran apa yang pasti sistem tersebut tidak akan berfungsi dengan baik,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambah Azhan, tanpa proses audit keselamatan kebakaran tiada siapa yang mengetahui sistem tersebut bermasalah.

Azhan turut berkongsi, selain bangunan penting yang terdapat di negara ini, gedung yang menyimpan aset-aset ketenteraan juga diragui sistem perlindungan kebakaran mereka dapat berfungsi dengan baik.

Ini kerana, sehingga kini infrastruktur demikian tidak pernah melalui proses audit sejak mula digunakan sehingga hari ini.

“Proses audit keselamatan kebakaran dianggap bukan suatu mandatori kerana kebanyakan daripada mereka mempercayai akan kredibiliti sistem yang telah dipasang oleh pemaju.

“Di sini saya bukan mengatakan bahawa sistem perlindungan keselamatan kebakaran yang digunakan pada hari ini tidak boleh diguna pakai, tetapi tiada siapa yang peduli adakah ia sempurna dan boleh berfungsi dengan baik,” katanya.

Di Safety Hi-Tech Engineering Sdn. Bhd., mereka melaksanakan pelbagai proses audit keselamatan kebakaran bermula di bangunan sehingga kepada pelbagai struktur penting.

Walau bagaimanapun, proses audit keselamatan kebakaran masih baharu di negara ini sedangkan di negara-negara maju perkara tersebut merupakan satu mandatori.

Bercerita bagaimana tertubuhnya syarikat tersebut, jelas Azhan yang juga merupakan bekas jurutera elektrik, segalanya bermula apabila beliau diminta untuk melakukan beberapa pemeriksaan sistem keselamatan kebakaran ke atas beberapa premis milik sebuah syarikat.

Namun, apa yang ditemuinya olehnya adalah penggunaan alat ganti yang tidak menepati piawaian.

Keadaan tersebut tidak memungkinkan keseluruhan sistem dapat berfungsi dengan baik sekali gus akan menyebabkan kebakaran tidak dapat dipadamkan dengan baik.

Laporan tersebut telah membuka mata beberapa pihak tentang pentingnya audit keselamatan kebakaran.

Bermula daripada itu, Azhan telah dilantik sebagai konsultan untuk mengaudit sistem keselamatan kebakaran.

Pada Mac 2013, Azhan berjaya menubuhkan Safety Hi-Tech Engineering Sdn. Bhd. dengan menawarkan keselamatan kebakaran Sistem Pemadam Api NAF S 125 yang merupakan sistem yang dibawa masuk dari Itali, perkhidmatan audit dan perundingan dalam bidang yang sama.

NAF S 125 merupakan pemadam api yang bersesuaian digunakan di kawasan atau kemudahan yang berisiko kebakaran yang tinggi dan hartanah bernilai tinggi.

Alat pemadam api tersebut tidak mengalirkan elektrik, tidak menghakis dan diluluskan oleh US EPA sesuai untuk kemudahan yang memiliki peralatan elektronik selain hasil sampingannya juga mudah untuk dibersihkan.

Sistem yang disediakan juga boleh direka khas untuk keperluan tertentu bagi memastikan alat tersebut dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan.

Antara kesesuaian alat atau sistem tersebut ditempatkan adalah seperti di kemudahan telekomunikasi, bilik kawalan, bilik komputer, makmal, muzium, laluan kereta api bawah tanah, kawasan yang menempatkan mesin dan pelbagai lagi.

Untuk maklumat lanjut berkenaan syarikat tersebut anda boleh layari laman web mereka di www.safetyhitech.my .