Saban tahun jumlah pesakit yang menunggu giliran untuk mendapatkan penderma organ yang sesuai semakin bertambah melibatkan kes kegagalan fungsi buah pinggang, jantung, hati, paru-paru, kornea dan organ-organ lain.  

Kebiasaannya, pesakit yang memerlukan pemindahan organ mengalami kegagalan organ peringkat akhir (end stage organ failure), iaitu tiada kaedah rawatan atau perubatan yang boleh digunakan untuk menyelamatkan pesakit selain pemindahan atau transplan organ.  

Unit Perkhidmatan Transplan, Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan mendefinisikan pemindahan organ sebagai suatu bentuk pembedahan bagi menggantikan organ yang bermasalah atau berpenyakit dengan organ yang baru.  

 Organ yang digunakan untuk pemindahan ini datang daripada dua sumber iaitu daripada penderma organ yang masih hidup dan daripada penderma yang sudah meninggal dunia atau kadaverik.

Peningkatan kes yang berlaku mendesak peningkatan terhadap bilangan penderma organ yang masa kini hampir mustahil untuk memenuhi keperluan jumlah pembedahan yang perlu dilakukan.

Pelbagai prosedur perlu dilaksanakan agar pemindahan organ dilakukan dengan baik dan tidak berlakunya penolakan selepas pembedahan dilaksanakan.

Ekoran itu, perkembangan teknologi menjanjikan penghasilan organ buatan bagi memenuhi keperluan semasa menyelesaikan masalah kekurangan penderma organ.  

Pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dikenali sebagai MediTeg yang diketuai Dr. Saiful Izwan Abd. Razak merupakan kumpulan  penyelidik pertama di negara ini menggunakan teknologi pencetak bio (bioprinter) iaitu organ dan tisu manusia dicetak secara 3 dimensi (3D) menggunakan kaedah ini.  

Katanya, teknologi pencetak bio memberi ruang kepada penyelidik untuk menghasilkan organ dan tisu hidup secara 3D di dalam makmal iaitu biobahan yang dilengkapi sel-sel dengan tujuan menghasilkan struktur anatomi yang betul dan dapat berfungsi secara biologi.

“Pencetak bio dilengkapi dengan perisian reka bentuk yang akan membantu penyelidik dalam membuat struktur organ dan tisu secara lebih tepat dan terperinci seperti struktur semula jadi organ dan tisu tersebut,’’ ujarnya.

Kata beliau, spesimen yang dihasilkan akan dibiarkan matang di dalam bioreaktor agar dapat menghasilkan organ dan tisu yang berfungsi secara normal sebelum diimplementasikan terhadap manusia.
Organ yang lengkap dan berfungsi secara mutlak masih dalam peringkat kajian, namun beberapa organ-organ berskala kecil sudah memasuki fasa implementasi dalam aspek pemodelan patologi, pembangunan ubat-ubatan dan juga saringan toksikologi produk.

Kata beliau, kajian dalam bidang tersebut masih pada peringkat awal dan baharu diterokai di negara ini.

“Namun penyelidik di UTM telah hampir berjaya menghasilkan pembuluh darah menggunakan bahan baharu dan bakal dipaten tidak lama lagi,’’ ujar beliau lagi.

Menerusi kejayaan penghasilan pembuluh darah ini, ia dapat digunakan dalam operasi pintasan jantung (bypass) atau dalam istilah perubatan Coronary Artery Bypass Graft (CABG) untuk menggantikan pembuluh darah yang tersumbat.

Selain itu, dalam peringkat kajian awal MediTeg berusaha dalam membangunkan fasiliti mencetak kulit secara kaedah in-situ yang dapat menambah baik kaedah rawatan penggantian kulit bermasalah seperti kesan terbakar, bekas jahitan, luka luaran dan bekas jerawat.  

Penghasilan organ dan tisu merupakan matlamat utama pembangunan kaedah pencetak bio.
Sebagai contoh tisu jantung, buah pinggang, paru–paru, saraf, pembuluh darah, tulang, tulang rawan, telinga, kulit dan hidung.

Aplikasi pencetak bio tidak terhad dalam penghasilan organ dan tisu semata-mata kerana ia juga dapat digabungkan dengan beberapa teknik kajian untuk tujuan lain seperti saringan toksikologi produk kesihatan mahupun kosmetik.

Kaedah ini dapat mengurangkan kos syarikat–syarikat dalam mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan kerana pencetak berkenaan dapat mengenal pasti sama ada produk yang dihasilkan adalah selamat ataupun tidak untuk digunakan oleh manusia.  

Dalam aspek pembangunan ubat–ubatan, pencetak bio dapat membantu dengan menyediakan model organ dan tisu untuk tujuan kajian klinikal ubat terhadapat manusia.

Sedia maklum, hanya sebahagian kecil ubat–ubatan dibenarkan kegunaannya terhadap manusia kerana terdapat perbezaan tindak balas yang dihasilkan antara manusia dan haiwan.

Organ dan tisu yang dihasilkan pencetak tersebut mengandungi sel–sel manusia dapat digunakan dalam menguji tindak balas ubat terhadap manusia secara lebih terperinci tanpa melibatkan berlakunya kehilangan nyawa.