Kawasan tersebut meliputi keluasan 135,905 hektar (ha) atau 10 peratus daripada kawasan keluasan tanahnya. Apa yang menarik mengenai kawasan ini adalah Tanah Bencah Setiu yang menggabungkan pelbagai ekosistem dan menarik ramai pihak seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Dana Sedunia Alam Semula jadi (WWF) untuk menjalankan penyelidikan merangkum aspek alam sekitar, sosioekonomi dan pelbagai aspek lain.

Tanah bencah tersebut yang merupakan 23,000 ha lembangan tanah lembap dan 880 ha air melibatkan ekosistem marin, air tawar dan air payau dan sembilan habitat saling berhubungan seperti laut, pantai selut, lagun, muara, sungai, pulau, pantai dan hutan bakau.

Gabungan ini menjadikan Tanah Bencah Setiu memiliki kekayaan biodiversiti yang tinggi dengan populasi spesies yang pelbagai .

Tanah Bencah Setiu kini juga diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (ESA) peringkat 1 dan merupakan sebahagian daripada hubungan ekologi yang menghubungkan kompleks hutan Taman Negara dengan pesisiran pantai Terengganu.

Pada 2013, Kerajaan Negeri Terengganu mewartakan Tanah Bencah Setiu sebagai taman negeri bertujuan menjaga kesinambungan diversiti kawasan lindungan berkenaan.

Dalam satu hal yang lain, atas keprihatinan memulihara kawasan tersebut UMT, Jabatan Perhutanan Terengganu dan WWF-Malaysia telah mencetuskan Ekspedisi Saintifik Tanah Bencah Setiu yang melibatkan tujuh organisasi terdiri daripada universiti awam, institut penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media tempatan pada April tahun lalu.

Tarikh 13 Oktober pula telah mencatatkan sejarah bagi semua pihak yang terlibat kerana penemuan ekspedisi telah dibentangkan kepada masyarakat dengan penganjuran Seminar Ekspedisi Saintifik Tanah Bencah Setiu 2016.

Hasil ekspedisi tersebut, antara penemuan penting yang diperoleh adalah sebanyak 33 spesies eksklusif paya bakau ditemukan termasuk lima rekod baharu dan tiga spesies hibrid, 108 ekor rama-rama terdiri daripada 50 spesies baharu, 17 spesies baharu siput paya bakau dan 30 spesies tumbuhan hutan Gelam.

Penemuan tersebut memfokuskan kawasan lagun Setiu yang unik terdiri daripada 10 pulau kecil, pantai berpasir menghadap sisi laut dan pelbagai tumbuhan seperti paya bakau, hutan Gelam dan habitat lain lagi.

Habitat seumpama ini juga sesuai bagi haiwan tuntung dan menurut rekod sekitar lewat 1980-an, tuntung laut (Painted Terrapin) dan tuntung sungai (River Terrapin) telah ditemukan dan Lagun Setiu merupakan antara kawasan yang mencatatkan rekod penemuan tuntung laut.

UMT dikatakan telah menjalankan penyelidikan di Tanah Bencah Setiu seawal penubuhan universiti berkenaan pada tahun 1979 sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera iaitu ketika masih bawah Universiti Putra Malaysia (UPM).

Justeru peranan UMT adalah selaras dengan proses pembangunan di Tanah Bencah Setiu dari satu daerah yang agak kurang dikenali sehingga menjadi hab kepada industri perikanan, akuakultur, pertanian, selain sebagai pusat tarikan baharu dalam sektor ekopelancongan.

Antara aset yang sepatutnya dijaga adalah kawasan lagun yang berfungsi sebagai pembekal air tawar dan kawasan Tasik berombak. Komponen penting Tanah Bencah Setiu antaranya hutan bakau kira-kira 50 peratus, pokok gelam (30 peratus) dan hutan panti serta tanah bris (20 peratus).

Pokok gelam atau nama saintifiknya Melaluca cajuputih antara yang menjadi ikon Tanah Bencah Setiu dan berpotensi untuk digunakan sebagai farmaseutikal.

Ramai mengetahui kawasan tersebut sangat terkenal dengan hutan bakaunya dan ia mempunyai kepentingannya dari sudut ekonomi terutama untuk akuakultur tetapi percamuran dengan ait tawar boleh menyebabkan salinitinya lebih rendah sehingga kurang 30 peratus.

Dalam persekitaran, ia menjadi habitat kepada spesies kerang-kerangan seperti kepah kerang, lokan ketam.

Penduduk memanfaatkan kawasan ini sebagai pembangunan projek akuakultur sebagai mata pencarian.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Pengarah (Ekosistem Tasik, Tanah Bencah dan Pulau) Institut Penyelidikan Kenyir (IPK) UMT, Prof. Madya Dr. Jamilah Mohd. Salim, kawasan tersebut kini terletak bawah seliaan IPK sementara waktu.

“Ini dilakukan selepas berlaku translational atau pertukaran beberapa penyelidik termasuk saya.

“Walau bagaimanapun, fasiliti yang diguna pakai adalah bawah tanggungjawab Makmal Berpusat UMT, manakala penyelidik serta aktiviti penyelidikan adalah bawah tanggungjawab IPK buat masa ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kawasan tersebut perlu dipelihara bagi mengekalkan ekosistem yang kompleks dan fungsinya perlu diuruskan dan dipelihara secara lestari.

UMT katanya, membantu komuniti dari pelbagai sudut antaranya adalah memberi khidmat kepakaran berkaitan akuakultur terbaik, khidmat kawalan penyakit ikan, memberi kesedaran berkaitan kepentingan ekosistem ini kepada hidupan yang berkaitan serta pendedahan ekopelancongan dalam meningkatkan taraf ekonomi penduduk sekitar.