Helang merupakan haiwan pemangsa atau maging (karnivor). Makanan utamanya haiwan mamalia kecil seperti tikus, tupai dan ayam. Terdapat sesetengah helang yang menangkap ikan sebagai makanan utama mereka. Ada juga yang memakan serangga, katak dan reptilia kecil. Paruh helang yang kuat, bengkok dan tidak bergigi sesuai untuk mengoyak daging mangsa.

Burung ini juga mempunyai sepasang kaki yang kuat dan berkuku yang tajam bagi mencengkam dan membunuh mangsa. Burung helang mempunyai daya penglihatan yang tajam bagi melihat mangsa dari jauh semasa mencari makan.

Bagi menampung penerbangan yang cekap di udara, tambahan lagi burung helang selalu berada lama di udara, spesies ini mempunyai sistem pernafasan yang baik dan mampu untuk membekalkan tenaga yang cukup. Struktur sayap yang lebar juga membantu burung terbang dengan cekap.

Setiap tahun banyak negara membuat pemantauan dan kiraan burung pemangsa semasa berhijrah ke selatan dan ke utara. Bilangan tempat menghitung burung ini bertambah dari semasa ke semasa dan bertujuan untuk menilai perkembangan status populasi burung pemangsa berhijrah dan ancaman terhadap mereka seperti kehilangan habitat tempat singgah dan pencemaran bahan kimia seperti racun serangga dan bahan buangan industri.

Burung-burung pemangsa ini berhijrah ke selatan yang panas dari kawasan Siberia hingga utara China, Korea Utara, Taiwan dan Jepun yang sejuk. Burung ini berhijrah ke Asia Tenggara seperti Indonesia dan Filipina melalui Malaysia.

Penerbangan beribu-ribu burung pemangsa merentasi Selat Melaka sejauh lebih kurang 38 kilometer (km) merupakan suatu fenomena yang unik dan menarik untuk kita pelajari dan menghayatinya.

Justeru, keunikan ini menarik peminat dan penyelidik tentang burung pemangsa berhijrah dari seluruh dunia untuk datang ke Tanjung Tuan, Melaka dan aktiviti ini menjadi suatu tarikan pelancong ke Malaysia dalam bulan Mac setiap tahun.

Kawasan hutan Tanjung Tuan atau dahulunya terkenal sebagai Hutan Simpanan Cape Rachado telah lama diwartakan sebagai rezab hutan simpan pada 1921, dengan keluasan 809,700 meter persegi.

Walau bagaimanapun pada tahun 1969, 161,900 meter persegi telah diwartakan semula daripada Hutan Simpan Kekal (HSK) kepada kegunaan umum. Sekarang hanya tinggal 607,000 meter persegi sahaja yang diwartakan sebagai Santuari Hidupan Liar.

Kawasan hutan Tanjung Tuan ini telah diiktiraf sebagai kawasan penting burung-burung (Important Bird Area, IBA ) oleh Birdlife International dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mempelopori aktiviti pemantauan dan menghitung burung pemangsa melintasi Selat Melaka dan pemuliharaan hutan ini sejak 18 tahun dahulu.

Kawasan ini sudah terkenal dengan hutan yang kaya dengan flora dan fauna, habitat kepada 54 spesies burung dan menjadi tempat persinggahan beratus ribu ekor burung pemangsa pada setiap tahun. Kawasan yang diwartakan pada 5 Januari 1971 ini mempunyai keluasan 60.70 hektar (140.06 ekar) dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, merupakan kawasan hutan Dipterokap Bukit Pantai yang masih wujud di Malaysia.

Spesies pokok seperti meranti dan pokok tinggi lain sangat penting bagi burung-burung pemangsa hinggap setelah letih melintasi Selat Melaka.

Banyak pengkaji burung yang memantau dan menghitung bilangan burung yang merentasi Selat Melaka. Antara tempat yang strategik untuk melihat burung ini merentasi Selat Melaka ialah di Rumah Api Tanjung Tuan. Rumah Api Tanjung Tuan mempunyai sejarah yang hebat sejak zaman Portugis, Belanda dan Inggeris yang dipercayai sebagai rumah api tertua di negara. Rumah Api sekarang dibina pada tahun 1863 semasa Melaka di bawah pemerintahan Inggeris.

Lokasi strategik ini dapat melihat dengan jelas burung-burung yang melintasi Selat Melaka sejauh 38km itu sekiranya cuaca yang baik. Untuk mengira burung yang melintasi Selat Melaka, seseorang itu mestilah mempunyai pengetahuan tentang burung pemangsa berhijrah seperti mampu mengecam burung dengan baik, mempunyai minat dan kesabaran yang tinggi serta penuh kesungguhan.

Kerja-kerja pemerhatian dan menghitung burung ini selalunya bermula pada pukul 9 pagi hinggalah 3 petang. Kita memerlukan ramai sukarelawan yang pakar dan boleh membantu aktiviti pengiraan burung pemangsa melintasi Selat Melaka.

Mereka mesti pandai mengecam burung berdasarkan kepada cara penerbangan, bentuk, warna dan saiz, di mana ini adalah antara perkara penting dalam pengecaman burung pemangsa. Di samping pandai mengecam seseorang itu mesti juga pandai menggunakan teropong untuk melihat dan mengira burung.

Berdasarkan kajian Dr. Puan Chong Leong dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama rakan-rakannya daripada MNS yang diterbitkan dalam journal Raptor Research 2014, data 2009 dan 2010 masing-masing merekodkan sebanyak 37,615 dan 72,277 ekor burung melintasi Selat Melaka semasa penghijrahan ke utara antara bulan Januari hingga April.

Dalam musim penghijrahan itu, burung pemangsa yang paling banyak ialah Burung Helang Lebah iaitu kira-kira 86 peratus (antara 30,000 hingga 60,000) diikuti oleh Burung Lang Baza Hitam (Aviceda leuphotes) sebanyak sembilan peratus Burung Lang Sewah Cina (sembilan peratus) dan helang-helang lain kurang daripada satu peratus.

Banyak faktor mempengaruhi penghijrahan burung seperti kelajuan angin, arah angin, suhu, dan habitat tempat singgah dan laluan mereka. Oleh kerana burung ini bergantung kepada kepanasan angin untuk berhijrah maka suhu, arah angin dan masa sangat penting.

Dengan kepanasan suhu akan membawa burung ke atas dan meluncur merentasi Selat Melaka dengan bantuan angin dari arah barat atau barat daya. Angin yang kuat mungkin membantu atau mengganggu penghijrahan burung dan suhu udara.

Kajian di Laut China Timur menunjukkan angin kuat membantu penghijrahan Burung Helang Lebah merentasi 650km semasa berhijrah ke arah selatan.

Burung terpaksa bergantung kepada fenomena ini bagi menjimatkan tenaga melintasi Selat Melaka dan meminimumkan terbang mengepak yang memerlukan banyak tenaga.

Kadang-kadang burung terpaksa hinggap di Tanjung Tuan kerana keletihan dan ada yang terjatuh ke dalam laut sebelum sampai ke darat.

Kajian kesan penghijrahan burung

Kajian penghijrahan burung pemangsa di kawasan laluan hijrah East Asian Australian Flyway (EAAF) masih rendah jika dibandingkan dengan kajian di Amerika Utara dan Eropah.

Malaysia sebagai peserta laluan EAAF ini sepatutnya bekerjasama dengan pengkaji dari negara lain dalam laluan EAAF ini. Ia bertujuan mendalami kajian tentang penghijrahan burung pemangsa berhijrah yang bukan sahaja terhad kepada menghitung dan mengenal pasti spesies, tetapi juga tentang kualiti habitat, permakanan dan fisiologinya yang bebat merentasi benua.

Kerjasama ini penting bagi mendapat persetujuan memulihara habitat dan keselamatan laluan EAAF dari utara hingga selatan.

Dalam kes Pulau Rupat di Sumatera dan Tanjung Tuan di Melaka, perlindungan dan pemuliharaan kawasan berkenaan sangat penting untuk penghijrahan burung pemangsa yang sebahagiannya sedang diancam kepupusan.

Penggunaan peralatan canggih juga perlu agar data yang diperoleh tepat dan mengelakkan pertelingkahan data dan pendapat. Kajian tentang burung pemangsa berhijrah ini boleh menyumbang kepada isu-isi perubahan cuaca, pemanasan global, penyebaran penyakit dan lain-lain yang mempunyai kepentingan kepada manusia.

Penghijrahan burung pemangsa melintasi Selat Melaka dari Pulau Rupat ke Tanjung Tuan hanya berlaku sekali sahaja dalam setahun iaitu dalam bulan Januari hingga April. Bulan Mac merupakan kemuncak burung melintasi Selat Melaka.

Bagi menarik minat ramai pada minggu kedua bulan Mac setiap tahun Persatuan Pecinta Malaysia (MNS) telah menganjurkan aktiviti yang dinamakan memerhati burung pemangsa (raptor watch) di Tanjung Tuan, Melaka. Pada bulan Mac tahun 2015, lebih 40,000 burung direkodkan merentasi Selat Melaka dalam masa dua minggu.

Aktiviti raptor watch yang diperkenal oleh MNS sejak tahun 2000, telah menarik minat beribu-ribu orang menyertainya termasuk pelajar-pelajar sekolah dan universiti.

Malah ada yang telah menjadikan aktiviti ini sebagai acara tahunan mereka dalam menyokong MNS mempromosikan perlindungan dan pemuliharaan burung pemangsa berhijrah.

Pelajar sekolah dan universiti berpeluang melihat burung pemangsa yang berhijrah jauh mencari suhu panas di Malaysia dan Asia Tenggara dalam perjalanan pulang ke utara sejauh lebih 10,000 kilometer bagi meneruskan pembiakan.

Bagi kumpulan pelajar yang baharu ingin terlibat dengan aktiviti raptor watch bolehlah menghubungi pihak MNS atau melawat tapak sesawang raptor watch.

Tujuan MNS menganjurkan program tersebut di Tanjung Tuan setiap tahun adalah untuk pendidikan dan kesedaran awam dalam kalangan rakyat Malaysia khasnya dan masyarakat dunia amnya. Dengan pengetahuan dan kesedaran semua pihak kita akan dapat sokongan ramai dalam pemuliharaan burung dan habitat mereka yang terancam.

Tanjung Tuan sebagai salah satu tempat singgah yang penting burung pemangsa yang merentas Selat Melaka dari Pulau Rupat di Sumatera mesti dilindungi sepenuhnya. S

ekarang Tanjung Tuan sudah menjadi tarikan pelancong untuk aktiviti raptor watch dan mendapat perhatian serta sokongan Kerajaan Negeri Sembilan dan Melaka.

Pada tahun ini aktiviti memerhati burung pemangsa itu diadakan esok.