Hiruk pikuk bunyi kenderaan di kota raya hilang diganti dengan bunyi-bunyian unggas dan alam semula jadi yang nyaman serta menenangkan jiwa.

Perjalanan yang memakan masa hampir lima jam dari Kuala Lumpur itu sangat berbaloi bagi menikmati keindahan panorama tasik yang hijau serta hutan dara yang masih belum diterokai dan dicemar.

Terletak di utara Perak, kompleks hutan BT merupakan antara hutan hujan tertua di dunia berusia 130 juta tahun yang menjadi ‘rumah’ kepada spesies-spesies terancam seperti Harimau, Gajah Asia, Tapir dan Rafflesia.

Hutan yang kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna itu juga mempunyai keluasan hampir empat kali ganda saiz Singapura iaitu seluas 300,000 hektar.

Khazanah itu kini dibawah seliaan Yayasan Pulau Banding (PBF) di bawah Kumpulan Emkay yang diterajui oleh tokoh hartanah terkenal, Tan Sri Mustapha Kamal.

Yayasan yang diketuai oleh Datuk Dr. Abdul Rashid Ab. Malik itu bertujuan untuk menjaga kebajikan Kompleks Hutan Belum Temenggor yang terdiri daripada hutan Gerik, Hutan Temenggor, Hutan Belum dan Hutan Amanjaya.

Ditubuhkan sejak 10 tahun yang lalu, pelbagai usaha telah dijalankan PBF dalam mempromosikan pembangunan mapan dalam ekosistem hutan hujan.

Menurut Abdul Rashid yang menggalas jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PBF, asas utama penubuhannya ialah untuk menjalankan kajian dan menganjurkan program untuk mengkaji pelbagai aspek ekosistem hutan hujan tropika selain melindungi biodiversiti yang terdapat di dalamnya.

Katanya, yayasan itu merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menitikberatkan aktiviti pemuliharaan, kajian penyelidikan yang lengkap serta program-program yang bersesuaian dengan hutan Belum-Temenggor.

“Kerajaan ada menetapkan polisi biodiversiti nasional bertujuan untuk memelihara dan menjaga kelestarian hutan di negara ini.

“Jadi, kami di sini sebagai sebuah NGO yang menyahut seruan itu dan membantu kerajaan mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam polisi tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penyelidikan Pulau Banding, Gerik, Perak baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid menjelaskan, PBF juga berperanan dalam mengumpulkan dana bagi membiayai segala program-program dan kajian yang dilaksanakan di samping membangunkan sistem maklumat untuk membantu dalam penyebaran pengetahuan untuk program penyelidikan.

Bukan itu sahaja, salah satu matlamatnya juga ialah untuk membentuk jaringan kerjasama di seluruh dunia untuk memperkukuh usaha pemeliharaan Hutan Hujan Tropika daripada ancaman pembangunan dan penerokaan.

Antara kerjasama yang dijalankan ialah bersama dengan universiti tempatan dalam penyelidikan flora dan fauna dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam membangunkan pelan utama bagi kompleks Hutan Belum-Temenggor.

Tambahnya, kompleks hutan BT memiliki kepelbagaian biologi yang tinggi di samping dihuni pelbagai flora dan fauna unik yang mana berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai produk eko pelancongan.

“Hutan yang berperanan sebagai penyumbang oksigen sebanyak 40 peratus itu, berpotensi yang tinggi untuk dibangunkan sebagai pusat eko yang dapat memanfaatkan semua pihak.

Ekopelancongan bukan sahaja dapat memelihara hutan tetapi juga dapat menjana pendapatan kepada penduduk setempat terutamanya Orang Asli yang telah sekian lama menetap di situ,” ujarnya.

Terdapat dua suku kaum Orang Asli yang menghuni di kawasan sekitar kompleks hutan BT iaitu suku Jahai yang tinggal di sekitar Kawasan Hutan Belum dan suku Temiar yang menghuni kawasan selatan atau di Hutan Temenggor.

Kedudukan mereka yang agak terpencil jauh di tengah hutan dan tasik dilihat mampu menarik perhatian pelancong yang mencintai alam semula jadi.

Pelbagai keunikan dalam kebudayaan mereka seperti tarian, aktiviti menyumpit, kepakaran hutan dan kesenian dalam anyaman dalam ukiran dapat diketengahkan dengan lebih luas kepada masyarakat luar sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka yang hanya bergantung kepada hasil hutan.

Selain perkampungan Orang Asli, kompleks hutan BT juga menempatkan tempat-tempat alam semula jadi yang menarik seperti Jejak Rafflesia, kawasan Sira Gajah serta Santuari Ikan Sungai Ruok yang berpotensi menjadi kawasan eko-pelancongan.

Infrastruktur lengkap untuk penyelidikan

Sebagai sebuah yayasan yang memperkasa usaha pemeliharaan kompleks hutan Belum- Temenggor (BT), sudah tentu aktiviti penyelidikan menjadi fokus utama Yayasan Pulau Banding (PBF) dalam melindungi kepelbagaian biodiversitinya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Abdul Rashid Ab. Malik berkata, satu inventori berkenaan flora dan fauna perlu diwujudkan untuk mengetengahkan kepelbagaian biologi bagi melindungi dan mempromosi kawasan tersebut sebagai destinasi eko-pelancongan.

Untuk tujuan itu, PBF telah membangunkan infrastruktur bertaraf antarabangsa di Pulau Banding, Tasik Temenggor, Gerik, Perak bagi memberi kemudahan kepada penyelidik dari luar untuk datang dan membuat penyelidikan di hutan Belum.

Antara kemudahan asas yang disediakan ialah pusat penyelidikan, penginapan bagi penyelidik dan ruang pameran hasil penyelidikan yang dilakukan di sekitar kompleks hutan BT.

“Kejayaan selama 10 tahun ini kita dapat lihat perkembangan yayasan yang dapat membangunkan pusat penyelidikan yang menempatkan makmal untuk menjalankan penyelidikan dan penginapan untuk para penyelidik.

“Kita tidak hanya menjalankan penyelidikan sendirian, tetapi juga membantu sesiapa sahaja yang berminat menjalankan penyelidikan untuk datang ke sini (Pulau Banding) dan mendapatkan bantuan daripada pakar yang ada,” katanya.

Pusat Penyelidikan Pulau Banding (PBRC) berkeluasan 2.9 hektar ditubuhkan pada 1 Mac 2008 dan telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 9 Julai tahun yang sama.

Bangunan seluas 2,000 kaki persegi itu menyediakan kemudahan untuk kerja-kerja penyelidikan bagi kompleks hutan BT selain memperkenal, menyalurkan maklumat dan mendidik pelawat mengenai kepelbagaian biodiversiti di hutan tropika tersebut.

Dalam pada itu, Eksekutif Pentadbiran PBF, Hamiazrim Baharim berkata, PBRC mempunyai sistem pengurusan dan pentadbiran yang sistematik selain menyediakan makmal kering dan basah untuk tujuan penyelidikan.

“Di sini kita menyediakan dua jenis makmal bagi memberikan kemudahan kepada penyelidikan yang ingin menyediakan sampel (bahan kajian) atau menyimpan hasil kajian.

“Selain itu, kita memberikan kemudahan lain seperti penginapan supaya penyelidik dapat menjalankan kajian dengan lebih selesa sama ada untuk berehat atau bermalam sepanjang tempoh tersebut,” tambahnya.

Penginapan yang boleh memuatkan seramai 50 orang penyelidik pada satu-satu masa itu siap dibina pada 29 Oktober 2014 serta dilengkapi pelbagi kemudahan seperti sambungan Internet, dapur, tandas dan mesin basuh.

Bangunan setinggi tiga tingkat itu dikhaskan untuk memberikan kemudahan penginapan dengan kos yang berpatutan kepada penyelidik serta menarik lebih ramai lagi penyelidik yang berminat ‘membongkar’ khazanah kompleks hutan BT.

Pusat pameran pula dibina berdekatan pusat penyelidikan bagi mempamerkan hasil-hasil kajian yang telah diperoleh, flora dan fauna yang jarang ditemukan serta memberikan gambaran kepada pelancong mengenai khazanah yang terdapat dalam kompleks hutan BT sebelum mereka menjejakkan kaki ke sana.

Selain itu, pusat penyelidikan itu turut giat menjalankan aktiviti ekspedisi saintifik yang diadakan sebanyak empat kali bagi menghimpunkan pegawai penyelidik daripada pelbagai bidang kepakaran untuk menjalankan kajian di kompleks hutan berkenaan.

Menurut Hamiazrim, antara yang menarik pernah direkodkan melalui ekspedisi saintifik ialah penemuan sejenis tumbuhan Sembelit Darah Merah atau nama saintifiknya Rourea mimosoides yang ada di dalam kompleks hutan BT yang dikatakan dapat membantu menangani masalah penyakit Diabetic Type II.

Kajian yang dijalankan mendapati sebatian aktif yang terdapat dalam tumbuhan tersebut mampu menjadi penawar kepada penyakit tersebut.

Dalam pada itu Abdul Rashid menambah, penemuan sebegini yang diharapkan supaya dapat membangunkan industri perubatan melalui tumbuh-tumbuhan tropika yang semulajadi dan menambahkan fungsi boleh guna sumber-sumber asli.

Brains 2018 diteruskan bagi memulihara hutan

Akan datang, Yayasan Pulau Banding (PBF) bakal mengadakan Sidang Kemuncak Hutan Hujan Belum 2018 (Brains) bagi menghimpunkan pakar-pakar alam semula jadi bagi membincangkan hal-hal berkenaan pemuliharaan hutan.

Persidangan yang diadakan setiap dua tahun sekali di Pulau Banding Resort itu telah dianjurkan dengan jayanya pada tahun 2016 yang lalu dan bakal membuka tirainya sekali lagi September tahun ini.

Brains merupakan persidangan yang diadakan melibatkan pakar dalam bidang perhutanan dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pendapat dan ilmu untuk terus memelihara dan melindungi khazanah alam.

Tema Brains 2018, adalah memfokuskan ialah perkhidmatan biodiversiti dan ekosistem, perhutanan sosial dan komuniti, pemuliharaan hidupan liar serta penglibatan kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan.

Justeru, Datuk Dr. Abdul Rashid Ab. Malik berharap supaya penganjuran Brains 2018 dapat menghasilkan beberapa resolusi baharu untuk membangunkan komuniti seperti menjana pendapatan kepada Orang Asli melalui eko-pelancongan.