Pada bulan Jun tahun lalu, penduduk di Kampung Tembioh, Kota Tinggi terganggu dengan serangan ulat kayu.

Ulat berkenaan bukan saja mengganggu keselesaan, malah kesihatan penduduk kerana menyebabkan gatal-gatal apabila disentuh.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar, Kota Tinggi, pokok ara menjadi habitat ulat bulu yang menyerang kanak-kanak di sekolah tersebut.

Jika dulu, rama-rama dan kupu-kupu sering dikaitkan sebagai makhluk perosak tanaman terutama di kawasan ladang seperti kelapa dan sawit.

Haiwan dalam kelas Insecta ini diletakkan dalam Famili Lepidotera kerana terdapat dua pasang sayap yang berbulu.

"Banyak lagi kajian yang perlu dijalankan mengenai kupu-kupu dan rama-rama selain potensinya sebagai serangga perosak," kata Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Norela Sulaiman.

Beliau antara penyelidik yang terlibat dalam Ekspedisi Saintifik Lanjak Entimau, Sarawak yang diadakan tahun lalu.

Menjalankan kajian kupu-kupu semasa di peringkat pengajian ijazah sarjana muda, beliau melanjutkan kajian mengenai rama-rama ketika ijazah sarjan dan kualiti udara berkaitan rama-rama dan kupu-kupu semasa ijazah doktor falsafahnya.

Menyifatkan kajian serangga ini lebih mudah berbanding dengan yang lain kerana terdapat banyak kajian yang dijalankan.

"Rama-rama dan kupu-kupu unik untuk dikaji kerana terdapat kepelbagaian daripada saiz, warna, corak, habitat dan kelakuan.

"Ada yang bersaiz mikro atau makro, berwarna cerah atau kusam, corak yang cantik atau unik atau keluar pada waktu malam atau siang," katanya.

Bagaimanapun cabarannya adalah untuk mengenalpasti spesies rama-rama atau kupu-kupu.

Biasanya rama-rama makro mempunyai banyak bulu atau sisik yang boleh menyebabkan elergik seperti kegatalan kepada manusia.

Dr. Norela berkata, kitaran serangga ini pada peringkat awal-ulat beluncas atau ulat bulu biasanya makhluk perosak tanaman.

Ulat beluncas biasanya hanya menyerang pokok yang khusus misalnya Papillio hanya makan daun pokok daripada keluarga limau atau citrus.

"Order Lepidotera ini sebenarnya amat penting dalam sesuatu ekosistem.

"Oleh itu perebakan kupu-kupu akan berlaku kerana penggunaan tanah secara berleluasa dan tanah hutan simpan yang ditebang dan perubahan iklim akibat pemanasan global," katanya.

Apabila penebangan hutan berlaku secara berleluasa, pemangsa semakin kurang dan serangga ini bertambah dengan banyak dan menyerang kawasan penempatan berhampiran.

Rama-rama dan kupu-kupu yang biasanya bersisik akan menyebabkan alergi pada kulit.

Rama-rama dan kupu-kupu juga menjadi agen pendebungaan bagi kawasan pertanian dan makanan kepada pemangsa.

"Kupu-kupu yang cantik seperti Rajah Brooke menjadi tarikan pelancongan sebagai kupu-kupu kebangsaan," katanya.