Peranan agensi tersebut terlibat dengan begitu aktif dalam program pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan liar di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Sesuai dengan namanya, fungsi Perhilitan memastikan hidupan liar di negara ini terpelihara dan dilindungi agar tidak pupus dan dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

Bagaimanapun, sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menguatkuasakan akta-akta berkaitan perlindungan, pemuliharaan dan pemeliharaan hidupan liar di negara ini pelbagai cabaran perlu mereka hadapi.

Penguatkuasaan akta antara peranan dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka dan amanah tersebut digalas dengan begitu rapi.

Antara akta yang dikuatkuasakan adalah Akta 716 (Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010), Akta 226 (Akta Taman Negara 1980), Enakmen 14 (Enakmen Taman Negara Kelantan 1938), Enakmen 2 (Enakmen Taman Negara Pahang 1939) dan Enakmen 6 - Enakmen Taman Negara Terengganu 1939.

Jelas Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan, Abdul Kadir Abu Kasim, antara strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut adalah seperti meningkatkan aktiviti risikan oleh Jenayah Hidupan Liar.

“Seterusnya kita juga turut mengadakan kerjasama daripada pelbagai agensi penguatkuasaan, agensi antarabangsa dan kawalan di pintu masuk negara.

“Dalam pada itu, perkembangan dunia masa kini yang banyak tertumpu kepada alam maya juga memerlukan Perhilitan turut memantau perdagangan secara atas talian (online),” katanya.

Selain itu, pengukuhan penguatkuasaan di kawasan -kawasan perlindungan juga turut dipertingkatkan dari semasa semasa.

Perhilitan turut melaksanakan pelbagai pelan konservasi antaranya Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP).

Pengarah Bahagian Konservasi Biodiversiti, Perhilitan, Salman Saaban berkata, gajah dipilih sebagai fokus kerana haiwan tersebut merupakan penanda aras bagi kestabilan ekologi dan fauna sesebuah hutan.

“Jika haiwan ini (gajah) mengalami pelbagai masalah seperti kehilangan habitat, pepecahan hutan, penurunan kualiti habitat pemburuan haram dan pelbagai lagi hal yang sama turut berlaku kepada hidupan liar yang lain,” katanya.

Sebelum NECAP, Perhilitan telah melaksanakan Pelan Induk Pemuliharaan Gajah Semenanjung Malaysia (1990), Pelan Pengurusan Gajah Semenanjung Malaysia (2001) dan di kaji semula pada 2006.

Seterusnya, Pelan Tindakan Strategik Pengurusan Konflik Manusia-Gajah Semenanjung Malaysia (2007) namun segala usaha tersebut dilihat kurang menyeluruh dan hanya memfokus kepada konflik manusia gajah sahaja.

Keperluan pendekatan yang lebih holistik dan penyelerasan dengan Pelan Induk Rangkaian Ekologi CFS, NECAP telah diwujudkan pada tahun 2013.

Tujuan pewujudan NECAP adalah bagi memberi panduan kepada perancang, agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), saintis dan masyarakat umum dalam usaha menyediakan persekitaran yang membolehkan gajah dan manusia hidup pada landskap yang sama.

Terdapat tiga kompleks hutan utama, MERs (Managed Elephants Range) dikenal pasti untuk tujuan tersebut iaitu kompleks hutan Belum-Temenggor, kompleks hutan Taman Negara dan kompleks hutan Endau-Rompin.

Pelaksanaan program itu mengambil masa selama 10 tahun (2013 hingga 2022) dan melibatkan 72 pelan tindakan.

Fokus diberikan kepada lima bahagian iaitu perlindungan habitat, pengukuhan penguatkuasaan, pengurusan konflik, pemantauan secara berkesan dan penyelidikan.

Sehingga kini pelbagai program berkaitan yang melibatkan orang ramai juga turut dilaksanakan dan diharapkan dapat memenuhi objektif yang dirancang.

NRE sebagai penyelaras dan memantau -program yang dilaksanakan agar selari dengan polisi kerajaan yang berkaitan.

NRE sememangnya sedang dan akan terus melaksnakan tanggungjawab sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab memelihara dan memelihara sumber alam negara untuk generasi kini dan juga masa hadapan.