Namun tidak ramai yang berpeluang melalui pengalaman tersebut kerana ia memerlukan peralatan tertentu dan canggih.

Bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), peluang terlibat dalam pelbagai aktiviti sains dan teknologi dan inovasi (STI) sewajarnya dinikmati masyarakat Malaysia tanpa mengira kedudukan, warna kulit dan kelas sosial.

Dengan kata lain, MOSTI sentiasa berusaha untuk mengarusperdanakan STI serta menyemarak dan membudayakan STI. Salah satu daripada usaha tersebut adalah menerusi pelaksanaan Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI).

Program MSI adalah berteraskan program jangkau luar (outreach) ke peringkat akar umbi yang telah dilancarkan pada 16 April 2015. Ia merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) MOSTI yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar khususnya kumpulan B40.

Baru-baru ini, MOSTI menerusi Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menjalankan projek Program Pembelajaran Balai Cerap Matahari Secara Maya (Online Solar Observatory) dalam kalangan masyarakat Orang Asli dengan kerjasama dan sokongan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Planetarium Negara.

Menterinya, Datuk Madius Tangau berkata dengan adanya program tersebut, masyarakat dan pelajar Orang Asli boleh melakukan pencerapan matahari secara maya (dalam talian) tanpa memerlukan kelengkapan teleskop.

“Sistem Online Solar Observatory yang dibangunkan menggunakan medium teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bertujuan supaya golongan sasaran iaitu Orang Asli mempelajari astronomi suria melalui akses terus ke Balai Cerap Planetarium Negara dari lokasi sekolah mereka atau mana-mana lokasi melalui talian Internet.

“Ini adalah merupakan antara inisiatif yang dijalankan oleh Angkasa dalam usaha menggalakkan minat dan kecenderungan pelajar terutama masyarakat Orang Asli dalam bidang astronomi dan sains angkasa seterusnya menyokong dalam menyokong dalam memartabatkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),’’ katanya pada majlis tersebut yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Melut (Asli), Sepang, Selangor sbaru-baru ini.

Majlis tersebut dihadiri Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahaya; Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Noordin Ahmad, Ketua Pengarah Jakoa, Mohd. Jamalludin Kasbi; dan Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Zulhibabullah Ismail.

Turut hadir kira-kira 300 orang terdiri daripada pegawai kanan MOSTI, Jakoa, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,wakil Ketua Kaum Orang Asli, para pelajar dan guru-guru.

Menurut Madius lagi, dana yang disediakan oleh kerajaan bagi program MSI bertujuan untuk membantu kumpulan sasaran menerusi pembangunan atau perlaksanaan idea sama ada yang berbentuk produk, perkhidmatan atau model bagi memenuhi keperluan sosial.

Selain itu, MSI merupakan satu cabang inovasi yang boleh membawa kesan secara langsung dan boleh dirasai oleh rakyat, bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tetapi juga meningkatkan keupayaan individu untuk bertindak melalui jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Katanya, lagi, penggunaan ICT dalam bidang pendidikan membuka ruang dan peluang baru untuk pembelajaran secara maya.

ICT memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti budaya Orang Asli.

Hasil kajian menunjukkan bahawa pelajar Orang Asli memerlukan infrastruktur dan “infostruktur” dengan kelengkapan ICT bagi pelajar Orang Asli untuk merealisasikan aspirasi digital negara.

Projek perintis tersebut memfokuskan kepada masyarakat dan pelajar Orang Asli di kawasan Selangor dan seterusnya boleh dikembangkan kepada masyarakat dan pelajar Orang Asli di seluruh negara.

Dengan adanya sistem Online Solar Observatory, bukan sahaja masyarakat Orang Asli mendapat manfaat tersebut, malah ia boleh diperkembang penggunaan kepada keseluruhan masyarakat Malaysia.

Madius berkata, usaha dan komitmen kewangan yang dilaburkan oleh kerajaan dalam menyediakan sistem tersebut wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi melahirkan generasi yang celik sains dan teknologi.

“Ini selari dengan usaha kementerian saya, MOSTI bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan dalam memartabatkan STEM.

“Ini diterjemahkan dengan penggubalan Pelan Tindakan STEM dalam Gerakan STEM Nasional yang dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Sains Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” ujarnya.

Orang Asli unik, hebat

Ketua Pengarah Angkasa, Dr. Noordin Ahmad berkata, pengetahuan tentang ilmu astronomi oleh etnik Orang Asli di Malaysia adalah begitu unik dan hebat.

Katanya, kisah-kisah berkaitan objek dan fenomena samawi terkandung dalam penceritaan legenda dan aktiviti sosial ekonomi masyarakat Orang Asli.

“Baru-baru ini, Jabatan Muzium Negara mengadakan program Bicara Muzium yang bertajuk Ilmu Langit Orang Asli untuk memberi pendedahan dan penyebaran maklumat kepada masyarakat umum mengenai keilmuan dan pegangan budaya mereka terhadap ilmu astronomi dan kosmologi dalam kehidupan mereka.

“Istilah jasad cakerawala, fenomena astronomi, petua dan pantang larang berpandukan fasa bulan, air pasang surut, penandaan waktu dan kalendar adalah berbeza mengikut etnik Orang Asli di Malaysia,” ujarnya.

Justeru bagi meningkatkan lagi ilmu astronomi, Angkasa mengambil inisiatif untuk menjalankan projek Program Pembelajaran Balai Cerap Matahari Secara Maya dalam kalangan Masyarakat Orang Asli.

Projek tersebut, kata beliau, dijalankan dengan kerjasama Planetarium Negara dan Jakoa.