Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Masa depan lebih hijau

Nestle lanjutkan inisiatif Projek RiLeaf bersama penduduk

Caroline Christine Russell (tengah) dan Zainun Nur Abdul Rauf 6
Caroline Christine Russell (tengah) dan Zainun Nur Abdul Rauf (empat dari kiri) bersama-sama dengan wakil pekebun kecil yang menerima sijil RSPO.

Sebagai sebuah negeri kedua terbesar di Malaysia yang terletak di utara kepulauan Borneo, Sabah ialah negeri yang sangat kaya dengan hutan yang subur menghijau dan menjadi tempat perlindungan pelbagai hidupan liar.

Demi menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang terpelihara, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memelihara hidupan liar dan dalam masa yang sama menyeimbangkan ekosistem melalui aktiviti pemeliharaan, pendidikan dan penyelidikan.

Pelbagai organisasi, agensi, persatuan, jabatan, masyarakat mahupun individu turut terlibat dalam melindungi alam sekitar Negeri Di Bawah Bayu itu kerana mereka mempunyai misi dan visi yang sama iaitu untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang paling bernilai dan terpelihara.

Antara pihak yang tidak pernah berputus asa untuk menjadikan misi tersebut sebagai realiti ialah peneraju syarikat pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan terkenal di dunia, Nestle (Malaysia) Berhad bersama-sama Yayasan Sime Darby (YSD) yang telah melanjutkan perjanjian usaha samanya melalui inisiatif dipanggil Projek RiLeaf.

Inisiatif tersebut adalah program penanaman semula hutan dan kelestarian minyak sawit di Sabah yang akan terus dilaksanakan sehingga tahun 2017, sejajar dengan komitmen Nestle terhadap kelestarian alam sekitar.

Projek RiLeaf telah diasaskan untuk memulihkan hutan pinggir sungai dengan menanam semula pokok di sepanjang Sungai Kinabatangan sebagai langkah membantu mengurangkan pencemaran air, di samping meningkatkan kesedaran tentang amalan penanaman kelapa sawit lestari dalam kalangan masyarakat tempatan.

Selaras dengan falsafah Nestle, Menjana Nilai Bersama, projek ini juga adalah sebagai antara usaha melindungi salah satu sumber paling kritikal di dunia iaitu air.

Sejak dimulakan pada tahun 2011, sejumlah 484,580 batang pokok telah ditanam meliputi kawasan hutan yang terjejas seluas lebih daripda 2,300 hektar.

Inisiatif ini juga telah meningkatkan kesedaran pekebun kecil kelapa sawit tentang amalan pertanian lestari yang hasilnya semakin ramai pekebun kecil telah menerima pensijilan Persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Selain itu, Projek RiLeaf juga menjalin hubungan dengan masyarakat setempat untuk menggalakkan usaha membina keupayaan dan menambah pendapatan alternatif.

Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Zainun Nur Abdul Rauf berkata, Projek RiLeaf adalah selaras dengan falsafah Nestle untuk Menjana Nilai Bersama bagi memenuhi keperluan insan, alam semula jadi dan penanaman kelapa sawit menerusi air iaitu sumber kehidupan paling penting.

“Dengan kerjasama YSD dan pihak berkepentingan utama lain, projek ini telah mencapai kejayaan besar dalam usahan memulihara Sungai Kinabatangan dan telah menghasilkan kesan positif bagi masyarakat tempatan yang tinggal di kawasan dataran banjir.

“Kami berharap untuk mencapai kejayaan yang lebih besar bersama YSD dengan melanjutkan projek ini, seterusnya dapat melindungi alam sekitar untuk generasi masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pentadbir YSD, Caroline Christine Russell berkata, YSD sudah memainkan peranan penting dalam inisiatif pemuliharaan di Sabah dan projek penanaman semula hutan itu menggiatkan lagi usaha mereka.

“Kami berbesar hati kerana berpeluang menyertai usaha sama penting ini bersama Nestle. Dalam tempoh dua tahun lepas, projek lestari ini bukan sahaja memperkaya kepelbagaian biodiversiti di sepanjang Sungai Kinabatangan, tetapi turut memberi peluang kepada masyarakat di kawasan tersebut menjana pendapatan tambahan.

“Kami berharap agar syarikat multinasional lain juga akan tampil ke hadapan untuk memulihara habitat yang bertaburan luas di Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan dan meningkatkan flora dan fauna di kawasan ini,” ujarnya.

Projek RiLeaf juga menyaksikan penglibatan Nestlé dalam pembinaan keupayaan masyarakat tempatan, apabila mereka bekerja bersama dan membeli anak pokok hutan daripada Komuniti Anak Pokok Kinabatangan (Kapok), pengeluar benih hutan berasaskan komuniti, yang terdiri daripada usahawan dari empat kampung di kawasan Kinabatangan.

Ahli Kapok menanam semula anak pokok hutan di sepanjang Sungai Kinabatangan, sebuah laluan air yang penting di wilayah berkenaan. Aktiviti itu adalah sebahagian daripada Projek RiLeaf, usaha penghutanan semula tepian sungai dan inisiatif kemampanan minyak sawit yang bertujuan mengekalkan salah satu ekosistem terkaya di dunia dengan mewujudkan lanskap bagi alam semula jadi, manusia dan pertanian boleh wujud bersama.

Selain aktiviti riparian (tebingan sungai), Nestle juga bekerjasama dengan pekebun kecil kelapa sawit untuk menyampaikan pengetahuan tentang Amalan Pertanian Baik (GAP) yang bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif minyak sawit terhadap alam sekitar dan menggalakkan pengeluaran minyak sawit menerusi persijilan RSPO.

Untuk menjadikan kejayaan Projek RiLeaf lebih bermakna, seramai 115 orang pekebun kecil sawit telah menerima status Kumpulan Pekebun Kecil Bersijil RSPO kerana mengeluarkan tandan buah segar dengan mengamalkan kaedah penanaman kelapa sawit secara lestari.

Salah seorang pekebun kecil yang juga penerima sijil RSPO, Norazizah Pibu berkata, mereka gembira untuk menerima sijil RSPO secara rasmi dalam majlis penuh makna itu, selain mempelajari kaedah penanaman kelapa sawit mesra alam dengan bantuan Nestle dan YSD.

“Sebagai penduduk di sini, saya dapat melihat perubahan positif menerusi Projek RiLeaf dan saya berbangga untuk sama-sama terlibat dalam usaha melindungi alam sekitar dan kediaman kami di Sungai Kinabatangan,” katanya.

Seorang lagi seorang ahli Kapok, Halimah Marof, 60, berkata, dia bersama ahli-ahli lain bertindak untuk membekalkan anak pokok yang diperoleh daripada hutan kepada pihak Nestle.

“Kami akan masuk ke hutan dan mencari anak-anak pokok, kemudian menanamnya di dalam beg plastik dan membesarkan anak pokok tersebut di rumah dalam tempoh waktu tertentu.

“Setelah anak pokok tersebut mencapai ketinggian tertentu, ia kemudian boleh ditanam di tebing sungai,” katanya.

Bagi Mohammad Djazakaria, 46, inisiatif tersebut bukan sahaja untuk kebaikan alam sekitar semata-mata kerana dalam masa yang sama ia juga dapat membantu penduduk untuk menambah sumber pendapatan.

Katanya, penjualan anak pokok tidak dilakukan kepada pihak Nestle sahaja kerana mereka juga boleh membekalkan anak-anak pokok kepada pihak lain yang berminat. Ini diibaratkan seperti serampang dua mata apabila kami dapat menjana pendapatan dan dalam masa yang sama memelihara alam sekitar 
dan ekosistem,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain