Pembangunan industri padi terus mengalami kepesatan dan usaha memajukan industri tersebut wajar terus diperhebat.

Berdasarkan statistik, kira-kira 90 peratus penduduk Asia makan nasi lebih kurang 400 gram (g) sehari untuk membekalkan tenaga yang cukup bagi aktiviti seharian.

Di Malaysia pula, tahap sara diri (SSL) pengeluaran padi adalah kira-kira 72 peratus. Secara umumnya industri padi dan beras negara berkembang pesat selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan petani.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Douglas Uggah Embas, peningkatan ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh kemajuan teknologi seperti varieti padi.

“Di Sarawak, kita kaya dengan pelbagai jenis padi, namun kebanyakannya adalah padi tradisi yang hanya boleh ditanam setahun sekali, ‘’ ujarnya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis pengisytiharan varieti baharu padi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Warna 98 di Plaman Payang, Siburan, Sarawak baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek; Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar; Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Datuk Dr. Satim Diman dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor.

Beliau berkata, kawasan Skim Pengairan Skuduk/Chupak yang berkeluasan 236 hektar (ha) boleh ditanam padi dua kali setahun, Justeru itu amat memerlukan varieti padi yang umur matangnya singkat.

Pada tahun 2014, empat kawasan baru jelapang padi telah dibuka dan salah satunya ialah di Batang Lupar yang sedang dinaik taraf dari segi prasarana dan sistem pengairan

Ia bertujuan untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi dan beras agar mencukupi bagi keperluan dalam negara.

Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan yang menyasarkan untuk menjadikan negara ini pada satu hari nanti sebagai sebuah negara pengeluar padi yang bukan sahaja dapat menampung keperluan sendiri, malah berkeupayaan untuk memasarkan beras tempatan ke luar negara terutama beras berkualiti tinggi seperti beras warna ini.

GUNA TANAH

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, di Sarawak, tanah seluas melebihi dua juta ha digunakan untuk pelbagai aktiviti pertanian.

Ia merupakan guna tanah untuk pertanian sebanyak 16 peratus daripada keseluruhan Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, tanaman padi yang melibatkan padi bukit dan padi sawah sahaja melibatkan kawasan seluas 120,000 ha.

Terdapat juga 66 skim pengairan, antaranya Skuduk Chupak (236 hektar), Tanjung Bijat (1,060 ha), Daro di Mukah (1,575 ha) dan Asajaya, Samarahan (850 ha). Ada juga skim kecil seperti Tanjung Purun (90 ha), Sebubok (114 ha) dan skim Tanjung Saduru (58 ha).

Sudah semestinya luas kawasan yang berbeza memerlukan teknologi padi yang berbeza terutama dari segi penggunaan mesin menanam dan menuai.

Menggulas mengenai MARDI beliau berkata, agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu menghasilkan pelbagai varieti padi untuk ditanam di seluruh negara.

Kawasan seperti Tanjung Purun, Lundu; Batang Lupar, Sri Aman dan Kampung. Mang, Samarahan pun didedahkan dengan penanaman varieti padi MARDI melalui projek perintis pengeluaran padi.

Varieti padi wangi MRQ 74 telah ditanam di Tanjung Purun semenjak 2010 dan petani masih menanam padi tersebut kerana rasanya yang nyaman dan padi warna MRM 16 yang dirasmikan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu pada 2009 di Tebedu.

“Ini sudah tentu memberi pulangan pendapatan yang tinggi kepada kepada tuan puan sekalian.

Ia juga tahan kepada penyakit karah tangkai dan penyakit merah virus. Selain itu, umur matang varieti padi MARDI Warna 98 adalah 103 hari selepas menanam amat sesuai untuk kawasan dua kali setahun.

Beras MARDI Warna 98 itu sangat sesuai bagi mereka yang mementingkan gaya hidup sihat kerana ia mempunyai sumber serat makanan dan lain-lain ciri kesihatan. Ia juga boleh dijadikan produk unik tempatan seperti beras bario dan Bajong, bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah sebagai produk premium di luar negara.

Oleh itu, penanaman padi warna ini harus dikembangkan ke kawasan lain di Sarawak pada masa akan datang.

Namun begitu, hasil padi petani ini perlu ada pengilang dan pemborong beras yang memproses dan memasarkannya, agar manfaatnya diperoleh bersama, bukan sahaja untuk pesawah malah kepada seluruh rakyat atau pengguna.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua lapisan rakyat yang terlibat dalam rantaian pengeluaran padi ini untuk sama-sama bekerja dan meningkatkan usaha ke arah hasrat ini,” ujarnya.