Kilat terjadi apabila cas-cas terkumpul di dalam awan yang mengandungi kandungan kelembapan tinggi ketika bergerak di udara yang dipercayai mengakibatkan cas-cas statik terbina pada permukaan titisan air.

Apabila ketumpatan cas-cas pada awan bertambah dan melanggar molekul-molekul udara maka terhasil tenaga haba yang menghasilkan kilat.

Ketika ini, ramai yang tidak mengetahui bahawa kejadian kilat yang berlaku terutama di Semenanjung Malaysia dipantau oleh sekumpulan pakar dari Makmal Sistem Pengesanan Kilat (LDS), TNB Research Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam menyumbang data bagi membolehkan kajian dan penyelidikan ataupun tuntutan insurans.

Makmal LDS yang mula beroperasi pada 1995 merupakan makmal penyelidikan yang memberi tumpuan kepada pengesanan masa nyata aktiviti kilat di Semenanjung Malaysia.

Pada mulanya makmal tersebut bertanggungjawab mengendalikan dan menguruskan Rangkaian Sistem Pengesanan Kilat yang dipasang untuk mengurangkan kesan gangguan yang disebabkan oleh kilat pada rangkaian grid TNB, kini berperanan secara menyeluruh dalam pelbagai kajian kilat, perlindungan kilat dan pembumian.

Menurut Ketua Kumpulan Unit Kilat dan Pembumian, TNB Research Sdn. Bhd. Mohd. Pauzi Yahaya, panahan kilat berlaku di antara awan dengan awan atau antara awan dengan bumi yang ditentukan oleh kandungan cas-cas negatif.

Walaupun kejadian kilat yang berlaku adalah di luar kawalan manusia, namun impak atau kesan daripada panahan tersebut memberi kesan terutamanya kepada TNB selalu pembekal elektrik utama negara dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam bidang berkaitan kilat.

“Sekiranya berlaku pelantikan atau dalam kata mudah gangguan atau kerosakan sistem bekalan elektrik, maka di sini (LDS) memainkan peranan penting untuk menyemak sama ada gangguan tersebut berpunca daripada kilat atau tidak melalui aplikasi Sistem Pengesanan Kilat Masa Nyata (Real Time Lightning Detection System) yang memantau pada setiap hari selama 24 jam tanpa henti kejadian kilat berserta masa dan lokasi kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Pakar Teknikal Perlindungan Kilat, Ir. Noradlina Abdullah memberitahu, selain TNB, LDS turut menyediakan data kepada industri yang terlibat dalam bidang elektrik dan elektronik, syarikat minyak dan gas, telekomunikasi, syarikat konsultan berkaitan kilat, mahkamah dan syarikat insurans.

Selain itu, LDS turut menyumbang data bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D), akademik dan kajian bagi institusi pengajian tinggi yang berkaitan dengan kilat dan pembumian.

“Tugas kami di sini bagi memantau dan menyediakan laporan untuk dipaparkan di Pusat Muatan Kawalan Kebangsaan yang terletak di Ibu Pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur,” ujarnya.

Noradlina menambah, negara kini sedang berada peralihan monsun sehingga pertengahan Mei lalu.

Dalam tempoh tersebut, ribut petir kerap berlaku terutamanya pada sebelah petang dan awal malam.

Pada ketika itu, negeri-negeri Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung kerap dilanda ribut petir.

Justeru orang ramai disaran mengamalkan teknik 30-30 bagi keselamatan terutama di tempat awam.

Ini bermakna apabila mendengar bunyi guruh, seseorang perlu mencari tempat berlindung dalam masa 30 saat dan kekal berlindung di kawasan tersebut selama 30 minit atau sehingga kilat berhenti.

“Selain itu, sekiranya anda berada di tempat awam dan luas seperti padang dan tiada tempat berlindung yang selamat, anda diminta duduk serendah-rendahnya dengan kaki yang rapai bagi mengurangkan perbezaan voltan kerana arus akan mengalih jika adanya perbezaan voltan yang boleh membahayakan diri kita,” jelas Ir. Noradlina lagi.

Justeru amat penting bagi orang ramai agar mengetahui panduan keselamatan ribut petir bagi mengelakkan kejadian Yang tidak diingini. 
.............................................................

Bangunkan aplikasi data kilat

DALAM pada itu Ir. Noradlina Abdullah memberitahu, pengalaman selama lebih 15 tahun dalam industri kilat dan pembumian membolehkan pihaknya membangunkan satu lagi aplikasi secara atas talian bagi membolehkan pihak luar mendapatkan data berkaitan kilat.

“Menerusi aplikasi ini syarikat insurans atau individu boleh mendapatkan data berkaitan bacaan kilat, lokasi dan masa bagi membolehkan mereka membuat tuntutan bagi pihak pelanggan di bawah perlindungan insurans bencana alam,” katanya.

Pembangunan aplikasi ini dibangunkan oleh Mohd. Pauzi Yahaya bagi membolehkan perolehan data dilakukan secara tepat pada masa kejadian sebenar yang dilakukan di makmal Makmal Sistem Pengesanan Kilat (LDS).

“Melalui data-data yang diperoleh, kami akan menyediakan laporan untuk dihantar kepada pihak tertentubagi tindakan selanjutnya,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Makmal Makmal Sistem Pengesanan Kilat (LDS) akan memantau aktiviti kilat menggunakan lima sensor yang setiap satunya mampu meliputi radius seluas 323 kilometer (km) yang terletak dipasang di Kapar, Selangor; Kulai, Johor; Paka, Terengganu; Grik, Perak dan Alor Setar, Kedah.

“Kami akan melakukan pengiraan dan memaparkan pada aplikasi untuk dikongsi sekiranya berlaku aktiviti kilat yang dikesan oleh sensor. Orang awam boleh mengakses data tersebut melalui aplikasi LEWS Public Reporting, namun perlu mendaftar terlebih dahulu bagi mendapatkan kata laluan.

“Aplikasi tersebut amat mudah dan mesra pengguna kerana hanya perlu memasukkan koordinat kawasan yang dipantau, masa dan tarikh untuk mendapatkan data berkaitan aktiviti kilat yang diinginkan,” tambahnya.

Noradlina berkata, lima sensor tersebut mampu mengesan lebih 95 peratus aktiviti kilat dari awan ke bumi dan 10 hingga 20 peratus aktiviti kilat awan.

Selain itu, makmal tersebut juga membekalkan data bagi taburan kawasan aktiviti kilat yang tertinggi.

“Sejak 2004 hingga 2014 didapati Selangor dan Kuala Lumpur menerima taburan kilat paling tinggi iaitu antara 28 hingga 32 aktiviti kilat (flashes) setiap tahun bagi setiap km persegi sementara Pantai Barat Malaysia juga menerima panahan kilat yang tinggi. Kami sentiasa mengemaskini bacaan tersebut pada setiap tahun,” katanya.

Panduan Keselamatan Ribut Petir

  • Elak berada di kawasan lapang
  • Cari tempat selamat sebaik melihat awan ribut petir
  • Kekal berada di tempat perlindungan lebih 30 minit selepas guruh yang terakhir kedengaran
  • Tunda aktiviti luar jika ribut petir dijangka berlaku
  • Berlindung dalam bangunan besar dan kukuh atau di dalam kenderaan atau struktur yang besar
  • Jangan berlindung atau parkir kenderaan di bawah pokok
  • Jauhkan diri dari beranda, pintu, tingkap, dinding atau tiang
  • Jauhi struktur yang tidak kukuh
  • Jangan sentuh objek metalik, barang atau kabel elektrik
  • Jauhi kawasan yang mudah dinaiki air