Kebanyakan haiwan marin bercangkerang ini adalah pemakan menuras yang menanam diri mereka di dalam endapan di dasar laut. Tindakan itu bertujuan menyelamatkan diri daripada pemangsa, manakala beberapa jenis yang lain pula akan tersadai di atas lantai laut atau melekat pada batu-batu atau permukaan keras dan sesetengahnya pula boleh berenang.

Pada asasnya, spesis moluska mendapatkan makanan dan zat hanya melaluin proses filter feeder iaitu memakan plankton yang wujud terampai dalam air di kawasan habitatnya.

Sebagai contoh, moluska seperti kupang akan menyedut air dan melepaskan air, kemudian mengambil apa sahaja bahan termasuk plankton yang terkandung di dalam air untuk dimakan.

Namun begitu, dalam masa yang sama, bahan tercemar yang terkandung di dalam air seperti logam toksik turut diserap di dalam badan dan menyebabkan spesis moluska seperti ini mengandungi bahan pencemar yang tinggi atau perlu dirawat.

Oleh itu, lima penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff berjaya membangunkan sistem yang mampu menyingkirkan logam toksik daripada spesies moluska bagi menepati piawaian kandungan logam yang dibenarkan.

Dr. Abdull Rahim yang juga merupakan Pengarah Institut Ibnu Sina Bagi Penyelidikan Saintifik dan Industri (ISI-SIR), UTM berkata, sistem yang dinamakan Molluscure ialah gabungan beberapa teknologi hebat seperti reagen (agen pengkelat) yang dihasilkan daripada bahan asas cuka iaitu asid asetik, pemangkin daripada mineral zink dan teknologi nanobubble dari Jepun.

“Sistem ini bertujuan untuk menyingkirkan logam toksik dalam spesies moluska bagi disesuaikan dengan piawaian kandungan logam tempatan seperti Akta Makanan Malaysia 1985 dan piawaian antarabangsa seperti EU Commission Regulation 2006.

“Teknologi ini telah dipatenkan oleh penyelidik dari Fakulti Sains UTM dan dianggotai Prof. Dr. Wan Azelee Wan Abu Bakar, Prof. Madya Dr. Razali Ismail, Dr. Faizuan Abdullah dan Ihsan Wan Azelee,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Utusan, di ibu negara baru-baru ini.

Menurut beliau, sistem berkenaan berupaya untuk menyingkirkan logam berat termasuk kuprum, plumbum, nikel dan kadmium sehingga 95 peratus selain boleh membersihkan sehingga 700 kilogram moluska dalam masa dua setengah jam.

Berkongsi pengalaman sepanjang terlibat dalam penyelidikan berkenaan, Dr. Abdull Rahim berkata, pada peringkat awal, sistem itu bermula dengan kajian Geran Universiti Penyelidikan UTM pada tahun 2011.

Sehingga kini, inovasi yang dihasikan itu telah berjaya memenangi beberapa anugerah dan penghargaan termasuklah antaranya, pingat emas Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) pada tahun 2013.

Katanya lagi, sistem Molluscure itu kini telah dilesenkan untuk dikomersialkan kepada syarikat Focus Industrial Systems Sdn. Bhd.

Sementara itu, seorang anggota penyelidik Dr. Faizuan Abdullah berkata, sebagai sebuah teknologi ulung seumpamanya, Molluscure telah menggunakan teknologi nanobubble dari Jepun yang digabungkan dalam sistem itu bagi menggandakan keberkesanan untuk menyingkirkan logam toksik dalam masa yang pantas.

Selain itu, ia juga menggunakan bahan-bahan yang selamat seperti reagen yang berasaskan bahan makanan seperti cuka (asid asetik yang diubah suai) dan juga pemangkin dari bahan mineral yang tidak toksik (pemangkin pepejal berasaskan garam zink).

“Kesemua elemen ini disatukan bagi meningkatkan mutu dan kualiti produk bercangkerang bagi meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.

“Lebih istimewa, sistem Molluscure juga dapat menjimatkan masa rawatan, menggunakan bahan yang selamat dan menjimatkan kos untuk rawatan produk maknan laut bercangkerang.

“Sistem ini juga sesuai untuk digunakan oleh penternak kerang, kupang, tiram dan spesis bercangkerang yang lain, seterusnya dapat digunakan oleh pengusaha restoran makanan laut, kolam penternakan dan industri berasaskan teknologi,” katanya.

Katanya lagi, pembangunan sistem itu menerima tajaan berjumlah RM50,000 daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM (ICC UTM) selain digunakan untuk menjalankan kajian bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Jabatan Perikanan.

Lebih membanggakan, penyelidikan ini dengan jayanya telah memenangi pingat emas dan Anugerah Inovasi Interaktif dalam program Ekspo Teknologi dan Seni Industri (Inatex) 2012 anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UTM.

Pada tahun lalu, sistem Molluscure telah dianugerahkan geran kerjasama Program Berimpak Tinggi 2 (HIP2) Concept to Commercialization Gap Fund (CCGF) bawah tajaan Platcom Ventures Sdn. Bhd bagi membangunkan sistem itu pada skala industri bersama-sama rakan kerjasama Focus Industrial Systems Sdn. Bhd.

 

REAGEN

  • Selamat untuk produk makanan dan tidak berbahaya.
  • Mampu menyingkirkan logam toksik termasuk plumbum (Pb), kromium (Cr), nikel (Ni), cadmium (Cd) dan arsenik (As).
  • Sesuai untuk spesies moluska seperti kerang, tiram dan kupang.

Pemangkin 

  • Diperbuat daripada bahan yang selamat.
  • Meningkatkan fungsi reagen untuk menyingkirkan logam toksik.
  • Tahan lama dan boleh diguna semula.

Kelebihan

  • Produk perikanan boleh disesuaikan dengan piawaian antarabangsa.
  • Mampu menembusi pasaran global.
  • Mesra alam sekitar.
  • Menjimatkan kos dan masa.