Lebih mendukacitakan, sejak kebelakangan ini wujud golongan yang memanipulasikan konsep sains bagi mengaut keuntungan dengan mudah.

Menyedari keadaan tersebut, sekumpulan sukarelawan yang aktif dalam kerjaya dalam bidang sains dan teknologi dan berkongsi minat yang sama, membangunkan satu platform di alam siber dengan mewujudkan portal Majalah Sains.

Portal berkenaan diwujudkan untuk menyampaikan berita, rencana dan penemuan terbaharu dunia sains dan teknologi untuk disesuaikan dengan masyarakat negara ini.

Selain bertujuan untuk meningkatkan literasi sains, Majalah Sains merupakan satu jambatan bagi mencetus minat dan rasa ingin tahu masyarakat terhadap perkembangan dunia sains dan teknologi.

Pasukan Majalah Sains di bentuk atas inisiatif Mohd. Faizal Aziz yang merupakan penulis sains popular sejak tahun 2003 bersama majalah Dewan Kosmik.

Semasa berada di Montreal, Kanada pada tahun 2008, masa yang ada di sana digunakan untuk mengumpul kembali tulisan-tulisan beliau.

Bagi memantapkan lagi usaha ini, beliau mengenal pasti rakan-rakan yang turut mempunyai minat dalam pelbagai kepakaran seperti Prof. Madya Dr. Rosdiadee Nordin yang merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penyelidik dari UPM, Dr. Ismayadi Ismail; Pegawai Tadbir dan Diplomatik Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Amryl Malek; dan Hasfazilah Hassan, yang bertugas sebagai Pengurus Komunikasi Korporat yang juga merupakan pegawai penyelidik daripada Agensi Nuklear Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Menariknya semua anggota pasukan Majalah Sains merupakan bekas mahasiswa Sains daripada UKM.

Setiap ahli mempunyai bidang kepakaran masing-masing dan terlibat secara langsung dengan dunia sains, teknologi dan inovasi (STI). Justeru, kombinasi minat dan kepakaran mereka yang berada dalam dunia sebenar STI menghasilkan garapan idea dan impak yang berbeza dengan apa yang biasa dengar melalui media biasa.

Menurut Hasfazilah, di Malaysia, komunikasi sains masih dianggap bidang yang baharu dan perlu diteroka dengan lebih mendalam.

“Ini berbeza dengan negara-negara maju apabila saintis dan bakal mahasiswa perlu menjalankan projek komunikasi sains bagi meyakinkan orang ramai berkenaan penyelidikan dan penemuan yang dilakukan sebelum ditauliahkan.

Subjek berkenaan komunikasi berkesan diajar secara komprehensif kepada lulusan sains bagi membolehkan golongan tersebut berkeupayaan untuk menghubungkan konsep sains dalam menyelesaikan masalah harian netizen.

“Kita tidak boleh mengharapkan media massa semata-mata untuk mengetengahkan hasil penyelidikan dan memupuk minat sains dalam kalangan netizen,” ujarnya lagi.

PELAJARI ILMU KOMUNIKASI

Penyelidik atau saintis perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mempelajari ilmu komunikasi sehingga berupaya untuk menarik minat bukan sahaja anak-anak muda untuk menceburi bidang sains, bahkan dapat menarik pelabur yang seterusnya merancakkan lagi ekonomi berasaskan STI.

“Oleh itu, usaha yang dijalankan oleh pasukan Majalah Sains merupakan satu alternatif ke arah matlamat yang dapat merealisasikan Dasar Sains dan Teknologi Negara,” kata Hasfazilah.

Selari dengan asas perjuangan UKM dalam memartabatkan bahasa Melayu di negara ini, Majalah Sains menyajikan informasi sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan.

Ini kerana bahan-bahan dan ilmu berkaitan sains dan teknologi dalam bahasa Melayu sangat kurang dan sukar diperoleh. Ini mengakibatkan wujudnya jurang yang besar antara capaian ilmu dalam kalangan golongan bandar yang rata-rata dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik berbanding golongan di luar bandar.

Pada tahun 2016, buku pertama, berjudul Sains-lah! telah diterbitkan.

Buku tersebut merupakan himpunan pengalaman daripada 24 saintis muda. Cetakan pertama sebanyak 4,000 naskah terjual dalam masa empat hari di Pesta Buku Antarabangsa 2016 dan kini telah masuk cetakan ketiga.

Atas permintaan ramai, Sains-lah 2 diterbitkan pada tahun lalu dan kedua-kedua buku ini sekarang boleh didapati di kedai-kedai buku yang terpilih.

Majalah Sains juga sangat aktif dalam mengetengahkan pencapaian saintis dalam dan luar negara selain menonjolkan lagi penyelidikan dari universiti dan institusi penyelidikan tempatan.

Menggunakan pendekatan yang ringkas, mudah difahami dengan gaya bahasa yang santai merupakan faktor artikel yang dimuat naik mendapat perkongsian yang tinggi.

Selain itu Majalah Sains turut berkongsi tip bagaimana untuk membaca jurnal dengan mudah dan juga tip motivasi untuk memupuk kesedaran tentang sains. Bagi mencetuskan minat terhadap sains, teknologi kejuruteraan dan matematik (STEM), tokoh yang memberi sumbangan besar dalam dunia sains, penyelidikan dan inovasi tempatan turut diberi perhatian.

Bukan itu sahaja, melalui kerjasama dengan Akademi Sains Negara, bakat dan pencapaian saintis muda dapat diketengahkan melalui Young Scientists Network (YSN).

Memenuhi permintaan ramai, Majalah Sains juga mengadakan usaha sama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menerbitkan Majalah Sains versi cetak. Usaha tersebut mendapat sokongan padu daripada Pengerusi Lembaga Pengarah USIM yang juga merupakan kolumnis sukarela secara bulanan di Majalah Sains, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Majalah Sains turut menarik perhatian bukan sahaja daripada mereka yang terlibat dalam dunia sains dan teknologi di Malaysia bahkan di luar negara.

Pada Jun tahun lalu, dua wakil dari Majalah Sains telah dijemput untuk membuat liputan expo sains dan teknologi yang dianjurkan di Rusia dan Singapura.

Peluang tersebut tidak disia-siakan bukan sahaja untuk menghasilkan lebih banyak rencana sains yang menarik, bahkan mengembangkan lagi rangkaian bersama media-media sains dari pelbagai negara yang turut dijemput.

Malah majalah ini turut membantu dalam mempromosi ekspo sains dan teknologi NICE 2017 yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Oktober tahun lalu.

Semua usaha yang dilakukan merupakan inisiatif secara sukarela sebagai sumbangan kepada rakyat Malaysia bagi merancak lagi bidang STI negara.