Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) di Observatori Negara Langkawi, Farahana Kamarudin berkata menariknya posisi itu merupakan posisi lintasan planet yang paling hampir dengan bumi.

"Fenomena istiqbal ini akan memberikan posisi yang terbaik untuk penyelidik dan peminat astronomi untuk mencerap objek tersebut kerana ia berada pada tahap kecerahan paling cerah yang memudahkan aktiviti pencerapan dan rakaman imej.

"Manakala apabila dilihat menerusi mata kasar, ianya akan kelihatan seperti bintang yang cerah," katanya kepada Bernama.

Katanya, planet itu akan berada di sebelah timur dengan buruj Scorpio.

Farahana berkata fenomena istiqbal serta pencerapan boleh dilakukan di kawasan lapang yang tidak terlindung dengan awan serta kurang pencemaran cahaya.

"Bahkan, jika menggunakan telefon pintar, anda boleh menggunakan perisian Google Sky atau StarMap untuk membantu menjejak planet tersebut," katanya lagi.

Beliau berkata planet Zuhal mengambil masa selama 29.5 tahun (10,759 hari) untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari.

Planet Zuhal akan berada pada posisi istiqbal ini setiap 378 hari dan jangkaan seterusnya akan berlaku pada 15 Jun 2017, kata Farahana.

Kali terakhir planet Zuhal berada di posisi istiqbal adalah pada 23 Mei 2015.

-BERNAMA