Kerajaan sentiasa prihatin dan merangka pelbagai langkah bagi membantu kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah yang merupakan tulang belakang dalam sektor getah negara.

Industri getah merekodkan nilai pendapatan sebanyak RM41.07 bilion atau 4.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan eksport negara pada tahun lalu.

Justeru Lembaga Getah Malaysia (LGM) meneruskan pelbagai usaha bagi memanfaatkan kepentingan pekebun kecil getah di negara ini, di samping memastikan kemampanan industri getah secara amnya.

Pelbagai kajian dan penemuan inovasi dijalankan oleh LGM dan antaranya adalah penyelidikan dalam membangunkan cat berasaskan getah asli.

Ketua Pengarah LGM. Dr. Zairossani Mohd. Nor berkata, penyelidikan yang dijalankan oleh LGM bukan sahaja untuk menghasilkan produk nilai tambah, malah dalam masa sama meningkatkan permintaan terhadap getah asli.

Peningkatan terhadap permintaan getah asli diharapkan dapat juga meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang rata-rata bergantung hasil daripada kebun getah mereka.

Oleh itu katanya, LGM sejak lima tahun lalu giat menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan variasi baharu produk melalui getah asli iaitu, Getah Colour yang merupakan satu alternatif bagi penggiat seni lukisan dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu.

Katanya, penyelidikan dalam membangunkan cat berasaskan getah asli merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan penggunaan lateks getah termaju dalam menghasilkan produk tambah nilai.

“Untuk makluman, peringkat awal penyelidikan ini hanyalah melibatkan peningkatan pengeluaran bagi industri pembinaan dalam pembuatan cat untuk aplikasi perumahan dan perindustrian.

“Namun, menerusi hasil yang positif dalam penyelidikan ini, saintis LGM memutuskan untuk meneroka potensi aplikasinya dalam bidang seni visual dan pendidikan seni,” katanya pada majlis perasmian pameran Lukisan Rub’A Paint: From Tress to Art Gallery di Balai Seni Negara, baru-baru ini.

Tambah Zairossani, Getah Colour merupakan cat berasaskan air dan merupakan produk mesra alam daripada bahan semula jadi telah difailkan hak milik intelektual oleh LGM yang mempunyai pelbagai kelebihan dalam bidang seni visual.

“Di antaranya lebih cepat kering berbanding cat air dan lebih perlahan berbanding akrilik. Justeru itu, akan memberikan lebih baik fleksibiliti dan permainan ekspresif dalam karya seni, manakala ciri tambahan lain adalah rintangan kepada air apabila kering.

“Ini dapat membantu menghasilkan karya yang lebih tahan lama, selain lebih mudah dibasuh kotoran warna yang melekat pada tangan,” jelasnya.

Tanpa disedari, inovasi itu akan mewujudkan peluang untuk penggunaan baharu dalam domain seni yang merupakan industri dengan potensi pasaran berbilion-bilion dolar pada peringkat global.

Warna mewakili sebahagian besar daripada kehidupan seharian, daripada penggunaannya dalam pelbagai industri termasuk kosmetik, reka bentuk, pengiklanan, infrastruktur serta media cetak dan penyiaran.

Beliau menambah, produk pewarna berasaskan 30 peratus komposisi getah asli itu disasarkan untuk kegunaan sekolah rendah, menengah dan pelukis profesional.

“Produk ini dilihat mempunyai daya saing dari segi sifat bahan yang baharu, murah dan produk ciptaan anak tempatan serta yang pertama di dunia.

“Malah produk ini lebih selamat digunakan terutama golongan kanak-kanak kerana tidak mengandungi bahan toksik serta mampu menghasilkan satu lukisan yang unik dan menarik,” katanya.

Katanya, buat masa ini terdapat 24 variasi warna di dalam satu kotak yang dijual pada harga lebih rendah berbanding pewarna akrilik.

“Kami ada menerima maklum balas daripada pelukis, mungkin selepas ini akan ada lebih banyak variasi warna pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa amat menyokong usaha agensi berkenaan dalam melahirkan dan mempromosi warna getah kerana penghasilan warna tersebut sangat hampir dengan warna-warna poster, cat air dan akrilik.

Ketika pameran berlangsung di Lukis Rub’ A Paint: From Tress to Art Gallery pada 4 Jun hingga 24 Jun lalu, pengunjung dapat melihat hasil lukisan daripada 15 pelukis tempatan dan dua pelukis antarabangsa yang menghasilkan lukisan dengan pelbagai tema menggunakan Getah Colour.

“Sentuhan mereka amat menarik dan hasilnya sangat menakjubkan. Selain itu, karya pameran yang dihasilkan oleh pelukis-pelukis itu juga merupakan karya mereka yang pertama menggunakan warna getah dan sangat menarik untuk dimiliki,” katanya.

Walaupun sudah terbiasa menghasilkan lukisan menggunakan warna air dan warna akrilik, namun pengalaman terpilih sebagai antara pelukis yang berpeluang mencuba menggunakan Getah Colour dalam menghasilkan karya pastinya menjadi satu pengalaman baharu buat 15 pelukis tempatan dan dua pelukis antarabangsa,

Bagi seorang nama besar dalam dunia seni visual, Jack Ting berkata, pengalaman menghasilkan lukisan daripada pewarna menggunakan getah asli nyata memberi kelainan, namun amat menarik kerana memiliki karakter yang tidak ada pada pewarna lain.

Malah katanya, kelikatan pewarna tersebut memudahkan proses pewarna, sekali gus memberi impak seperti yang diingini dalam setiap lukisan yang dihasilkan.

Beliau yang juga pelukis kebudayaan Sarawak itu berkata, apabila dua warna dicampurkan juga menghasilkan pilihan warna yang sama kualiti seperti akrilik.

“Saya menyukainya kerana warnanya likat seperti susu getah dan amat sesuai untuk jenis lukisan minyak.

“Warnanya mengambil masa yang lebih lama untuk kering berbanding akrilik memberi satu keunikan dan struktur dalam karya,” katanya.

Pun begitu, Jack mencadangkan kepada LGM agar menambah lebih variasi warna disediakan agar pelukis memiliki lebih banyak pilihan dalam menghasilkan karya bermutu.

Sementara itu, seorang lagi pelukis, Christine Das memberitahu, hasil lukisannya yang bertemakan alam semula jadi dan haiwan liar yang dilukis dan diwarna menggunakan pewarna getah itu nyata memberi reaksi berlainan berbanding lukisannya yang terdahulu.

Katanya, apabila lukisan itu kering akan terbentuk satu lapisan dengan reaksi atau karakter yang berbeza-beza.

“Kita boleh nampak garisan pada lukisan itu.

“Saya amat berpuas hati dengan hasil lukisan dan tidak menyangka bahawa susu getah juga boleh dijadikan sebagai medium peralatan seni.

“Saya akan meneruskan usaha memartabatkan lukisan melalui pewarna getah dan berharap inovasi ini diangkat dan boleh dikomersialkan pada peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Perluas penggunaan getah asli

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Dr. Zairossani Mohd. Nor, pelbagai penyelidikan dijalankan dan inovasi dihasilkan oleh pihaknya bagi meningkatkan permintaan getah asli dalam industri.

Hal ini bukan sahaja dapat memajukan bahan komoditi tersebut, malah dapat membantu kira-kira 440,000 pekebun kecil yang mengusahakan penanaman getah dan penghasilan susu getah.

Selain cat, inovasi yang turut dihasilkan adalah rubberised road atau penggunaan getah bekuan dalam campuran asfalt bagi projek pembinaan jalan.

Ia merupakan projek yang dijalankan oleh LGM dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui memorandum perjanjian (MoA) mengenai kajian usaha sama penggunaan getah bekuan dalam campuran asfalt.

Menurut Dr. Zairossani, tujuannya adalah bagi memantapkan dan meningkatkan kualiti pembinaan jalan di negara ini menerusi penggunaan getah bekuan sebagai bahan tambah dalam campuran asfalt.

Katanya, dalam melaksanakan strategi meningkatkan penggunaan bahan dan teknologi inovatif dalam pembinaan dan penyelenggaran jalan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), Kementerian Kerja Raya akan memperkasa penggunaan teknologi baharu seperti recycle asphalt pavement dan menggunakan bahan konkrit sekurang-kurangnya lima peratus daripada pembinaan jalan baharu.

“Menerusi kerjasama penyelidikan ini, adalah diharap ia dapat menyumbang ke arah peningkatan penggunaan domestik getah yang disasarkan sebanyak 10 peratus setahun.

“Berdasarkan kajian oleh LGM, 4.2 tan cuplumps diperlukan untuk turapan satu kilometer jalan.

“Oleh itu, langkah meningkatkan penggunaan domestik merupakan antara usaha bagi menstabilkan harga getah dan mengurangkan impak kejatuhan harga,” katanya.

Persidangan Getah Antarabangsa 2018

Institut Getah dan Plastik Malaysia (PRIM) akan menganjurkan Persidangan Getah Antarabangsa 2008 pada 4 hingga 6 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Persidangan tersebut bawah naungan Pertubuhan Persidangan Getah Antarabangsa (IRC0), iaitu persatuan getah yang merancang penganjuran persidangan getah antarabangsa.

Menurut bekas Presidennya, Pak-Kuen Chan, objektif persidangan tersebut adalah untuk menggalakkan dan meningkatkan amalan penggunaan sains polimer dan teknologi melalui pendidikan dan program-program yang berkaitan untuk memenuhi permintaan profesional secara individu dan rakan industri.

“Persidangan ini akan diadakan sempena penganjuran Pameran dan Persidangan Sarung Tangan Getah Antarabangsa, yang merupakan acara tahunan yang dilawati berkaitan rawatan perubatan, pergigian, pengendalian makanan, makmal dan pengguna pengendalian perindustrian yang lain.

“Ia merupakan platform terbaik untuk para saintis getah, ahli teknologi, ahli akademik dan ahli industri untuk berkongsi pengetahuan dan bertukar idea, teknologi dan penemuan penyelidikan terkini,” katanya.

Pada penganjuran yang lalu, IRC telah berjaya dianjurkan oleh LGM dan kini giliran sebagai ahli IRCO diserahkan kepada PRIM yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pameran ini bakal menjadi pameran terbesar yang akan menarik perhatian berikutan pengesahan pameran sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan 500 ruang pameran melibatkan 136 syarikat dari 13 negara.