Pendedahan kepada maklumat baharu berkaitan alam semula jadi amat penting bagi seseorang individu lebih-lebih lagi murid sekolah rendah. Seterusnya ia dapat mencambahkan minat mereka bukan sahaja mencintai alam sekitar, bahkan membentuk cita-cita mereka untuk menjadi saintis dalam bidang berkaitan pada masa hadapan.

Sehubungan itu, Regional Centres of Expertise Central Semenanjung (RCE), Universiti Malaya (UM) telah membawa sekumpulan pelajarnya untuk memberikan pendedahan berkenaan tenaga solar ke Sekolah Kebangsaan Bukit Fraser (SKBF), Bukit Fraser, Pahang, baru-baru ini.

Sedikit pengenalan, RCE Central Semenanjung ini merupakan anggota RCE dunia dan yang kedua seumpamanya di negara ini. RCE secara ringkasnya adalah rangkaian organisasi yang berfungsi secara formal dan tidak formal serta fokus utamanya adalah ke arah Pendidikan Dalam Pembangunan Lestari (Education for Sustainable Development) yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan dan serantau.

Oleh itu, program RCE yang dikelolakan oleh Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) ini menjurus kepada penambahbaikan dalam pendidikan semasa seperti yang terkandung dalam 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB).

Program RCE anjuran UMCares ini memberi fokus mengenai kelebihan solar dalam menghasilkan tenaga dan bagaimana cahaya matahari ditukarkan kepada elektrik.

Ini bagi membolehkan manusia mengeksploitasi kelebihan tersebut bagi kegunaan sejagat dan dalam masa yang sama melindungi alam sekitar.

Program yang melibatkan mahasiswa UM, pelajar pertukaran antarabangsa dan pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 dari SKBF ini dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada mahasiswa UM dan murid SKBF yang dibekalkan kit kendiri tenaga solar.

Kit tersebut mengandungi peralatan bagi membina model mainan yang dikuasakan oleh tenaga solar seperti enjin, sel solar dan wayar.

Kit tersebut merupakan kit kendiri atau do it yourself kit (DIY). Kit solar DIY tersebut dicantum berdasarkan panduan yang diberi dan terdapat enam bentuk mainan yang boleh dibina melalui kit tersebut seperti kereta, bot, robot, kincir angin, helikopter dan anjing.

Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi, Fakulti Sains UM, Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes yang juga merupakan koodinator program berkata, program tersebut dilaksanakan sebagai satu platform untuk mendedahkan bukan sahaja murid sekolah terhadap kelebihan tenaga solar, bahkan memberi peluang kepada mahasiswa UM untuk berkongsi pengetahuan dengan masyarakat.

Dalam pada itu, seorang peserta, Noor Aizimah Azman berkata, ketika kit itu dicantumkan, pihaknya bertindak sebagai fasilitator yang menerangkan kepada murid.

“Penerangan dibuat bagaimana cahaya matahari ditukarkan kepada tenaga elektrik menerusi sel solar dan seterusnya menggerakkan mainan tersebut,” katanya.

Umumnya, tenaga solar yang dihasilkan menerusi proses penukaran cahaya matahari kepada elektrik ini bukan sahaja mesra alam sekitar, bahkan juga menjimatkan penggunaan tenaga yang dihasilkan oleh bahan bakar sedia ada.

Tenaga suria ini juga tergolong dalam kumpulan sumber tenaga boleh dibaharui (RE).

Apa yang menarik ketika aktiviti ini berlangsung adalah kehadiran seorang pelajar pemerhati dari Jerman iaitu Daniel Sand.

Sand berkata, program tersebut amat menarik kerana pertama kali dia menyertai aktiviti seumpama ini dan berinteraksi dengan murid sekolah rendah di negara ini.

Aktiviti mencantum kit solar ini membuahkan hasil apabila murid sekolah teruja dan tersenyum riang melihat hasil tangan mereka berfungsi dengan baik.

Murid-murid SKBF yang terdiri daripada Tahun 1 hingga Tahun 6 bukan sahaja memperoleh ilmu baharu yang mengembangkan kreativiti dan imaginasi, malah amat berpuas hati serta gembira menyertai aktiviti tersebut dan berharap ia akan berterusan pada masa hadapan.

“Saya seronok dan gembira bila melihat Kit Solar yang kumpulan saya cantumkan berfungsi dengan baik. Harap aktiviti seperti ini masih akan diteruskan pada masa akan datang,” kata Sand ketika program tersebut berlangsung baru-baru ini.

Mahasiswa UM pula bukan sahaja membawa pulang pengalaman tetapi membawa balik juga talian silaturahim yang amat berharga hasil daripada menyertai program ini.