Menurut Pensyarah Kanan Tidrec, Dr. Zubaidah Ya’cob, lalat hitam akan melalui empat fasa kitar hidup, tiga daripadanya adalah fasa akuatik iaitu bermula daripada telur, larva dan pupa. Fasa terakhir adalah lalat hitam dewasa.

“Tidak seperti larva nyamuk Aedes spp. yang boleh hidup dalam air bertakung, peringkat akuatik lalat hitam iaitu telur, larva dan pupa hanya boleh hidup di dalam air bersih yang mengalir.

“Kualiti air tanpa sebarang pencemaran dari sisa-sisa kimia atau organik serta memiliki kandungan oksigen terlarut yang tinggi merupakan ciri-ciri kritikal pemilihan habitat bagi serangga ini,” kata Dr. Zubaidah.

Beliau berkata, kajian komprehensif yang dilakukan di seluruh negara mendapati habitat bagi larva dan pupa lalat hitam bermula dari sekecil-kecil aliran air bersaiz dua sentimeter (sm) lebar dengan tiga sm kedalaman sehinggalah kepada sungai-sungai yang bersaiz lebih 15 meter lebar dengan kedalaman lebih satu meter.

Katanya lagi, populasi fasa akuatik lalat hitam juga ditemukan bermula dari kawasan berketinggian kurang dari 100 meter hingga mencapai ketinggian lebih 2,000 meter dari aras laut.

Kajian tersebut juga membuktikan struktur atau corak komuniti lalat hitam dibentuk oleh ciri-ciri mikrohabitat atau ekologi sungai tersebut.

“Kebergantungan yang rapat ini disebabkan oleh skala toleransi setiap spesies yang berbeza terhadap ekologi sungai dan sangat dipengaruhi oleh faktor-faktor semulajadi seperti perbezaan ketinggian,” kata Dr. Zubaidah.

Menariknya, dalam kajian yang dijalankan selama 24 bulan melibatkan 18 batang sungai yang terletak pada ketinggian berbeza antara 200 meter hingga 1,850 meter di sekitar kawasan Tapah, Perak sehingga ke Gunung Brinchang di Cameron Highlands, didapati ketiadaan pupa dan larva lalat hitam pada bulan-bulan tertentu.

“Perubahan ekstrem pada corak kehadiran lalat hitam daripada positif kepada negatif telah dikenal pasti berpunca daripada kehadiran bahan kimia atau organik hasil daripada produk racun serangga seperti fosfat, nitrat dan amonia yang lazimnya digunakan secara berjadual dalam aktiviti pengawalan serangga perosak terhadap penanaman sayur di sekitar kawasan kajian,” kata Dr. Zubaidah.

Sifat yang sangat sensitif terhadap perubahan ciri-ciri habitat ekosistem ini menjadikan peringkat akuatik lalat hitam (telur, larva dan pupa) sebagai calon organisme penunjuk aras terbaik bagi menentukan kualiti air dan kesihatan ekosistem sungai di negara ini. Penentuan tahap kualiti air dengan cara ini juga adalah lebih pantas dan menjimatkan banyak masa tanpa memerlukan sebarang peranti khusus serta tidak melibatkan ujian-ujian air yang perlu dibawa ke makmal khas.

“Tabiat pemakanan larva secara penapisan memainkan peranan yang penting dalam pemprosesan semula bahan-bahan organik kembali ke ekosistem sungai.

Zarah-zarah organik yang bergerak bersama aliran sungai akan ditapis oleh larva untuk mendapatkan makanan dan disebabkan oleh kecekapan pencernaan larva yang rendah.

“Bahan-bahan ini akan disingkirkan semula sebagai pelet najis bernutrien yang akan tenggelam ke dasar sungai yang menjadi sumber makanan penting untuk hidupan akuatik lain yang bersaiz lebih kecil serta berfungsi dalam menyuburkan ekosistem sungai.

“Ini membuktikan bahawa punca-punca air ini berada pada tahap yang sihat dan berkualiti serta memiliki ekosistem yang seimbang. Keadaan ini seharusnya dikekalkan untuk kemandirian generasi kini dan yang akan datang melalui pemantauan berkala yang efektif dengan sumber modal yang minimum,” kata Dr. Zubaidah lagi.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Tidrec, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar, larva lalat hitam adalah berbentuk seperti sosej dengan bahagian kiri dan kanan kepalanya dilengkapi sepasang komponen tubuh berupa kipas yang bertindak sebagai organ penapisan untuk mendapatkan makanan.

“Segmen pertama badan (anterior) larva dilengkapi dengan prothoracic proleg manakala segmen terakhir badan (posterior) pula dilengkapi dengan posterior proleg iaitu organ yang terdiri daripada sejumlah barisan kaki untuk tujuan pelekatan.

Bagi spesies yang hidup di air yang lebih deras seperti air terjun, jumlah kaki pelekatan boleh mencapai sehingga 400 barisan manakala bagi spesies yang hidup di air yang mengalir lebih perlahan memerlukan sekitar antara 90 hingga 100 barisan kaki pelekatan sahaja,” ujarnya.

Kata beliau, sistem pelekatan yang bertindak seperti gam semestinya unik kerana keupayaannya untuk melekatkan larva pada sesuatu substrat dan tetap pada satu-satu posisi walaupun berada dalam arus air sungai yang sangat deras.

Kajian mengenai kandungan bahan pelekatan ini merupakan satu inisiatif yang amat digalakkan untuk para penyelidik dan pada masa sama untuk mencari inovasi terkini yang boleh dicungkil daripada bahan semulajadi tersebut.

Larva lalat hitam juga merupakan antara organisme penting dalam menstabilkan ekosistem sungai. Dalam persekitaran habitat yang optimum, jumlah kepadatan larva lalat hitam boleh mencecah sehingga jutaan individu untuk setiap kaki persegi. Keadaan ini menyediakan sumber makanan yang berterusan kepada hidupan sungai yang lain seperti nimfa pepatung dan ikan.