Ruangan tersebut yang siarkan dalam ruangan sains dan teknologi setiap Isnin memberi peluang kepada orang ramai khususnya pembaca akhbar ini mempelajari kegunaan mesin berkenaan manakala mereka yang berminat boleh memanfaatkannya.

Mereka yang mempunyai syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) juga mengambil peluang daripada mesin yang dihasilkan dengan mencubanya menyelesaikan masalah seharian.

Pelbagai mesin telah dihasilkan dengan pelbagai fungsi dan kegunaan khususnya teknologi makanan, mudah digunakan dan tempahan boleh dibuat berdasarkan kemampuan mereka.

Justeru, penerbitan ruangan tersebut telah menarik ramai pengusaha IKS untuk mencuba mesin yang direka oleh ZDA. Usaha tersebut secara tidak langsung memberi peluang kepada ZDA mengkomersialkan inovasi yang dihasilkan dan akhirnya matlamat untuk membantu orang ramai tercapai.

Pengasas ZDA, Zulkifli Haron berkata, sejak ruangan tersebut diwujudkan, pihaknya menerima banyak tempahan daripada pengusaha IKS untuk mencuba mesin yang dihasilkan.

“Ini peluang kami untuk mengkomersialkan produk inovasi hasil sokongan Utusan Malaysia dan pelbagai agensi yang memberi sokongan,” ujarnya sambil mengakui agensi seperti Mara dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) banyak memberi sokongan kepada usaha beliau.

Zulkifli berkata, kerjasama antara ZDA dengan Mara menerusi anak syarikatnya, GiatMara telah berjaya melahirkan syarikat gabungan Kamazu Sdn. Bhd. (Kamazu) yang akan mengkomersialkan inovasi mesin yang dihasilkan.

Justeru kerjasama tersebut merupakan satu sinergi yang bertujuan mengkomersailkan produk ciptaan pelajar Mara dan juga institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Zulkifli berpendapat, dengan adanya kerjasama antara Mara, KKLW ini serta Kumpulan Utusan, inilah masanya mereka membantu golongan tersebut khususnya golongan muda menghasilkan pelbagai inovasi, sekali gus meningkatkan jumlah pekerja kolar biru yang berkemahiran di negara ini.

“Inilah matlamat kami untuk meningkatkan kepakaran generasi muda ketika ini, sekali gus mengangkat martabat bidang kemahiran yang selama ini dianggap bidang kelas kedua,” ujarnya.

Zulkifli berkata, bidang kemahiran ini wajar diangkat martabatnya sejajar dengan hasrat kerajaaan memperkenal Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), yang selama ini dianggap sebagai kelas kedua atau peluang kedua kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang tidak berjaya ke universiti sehingga menyebabkan kesan pemikirannya masih berlegar hingga ke hari ini.

Negara ketika ini hanya memiliki kira-kira 28 peratus siswazah dalam bidang ber­kenaan, berban­ding ke­perluan melebihi 60 peratus bagi mencapai status negara maju.

Justeru, menurut Zulkifli, selain meningkatkan jumlah tenaga berkemahiran teknikal, pihaknya juga berharap program Projek Tahun Akhir (FYP): Bengkel dan Latihan yang baru diperkenal ini akan memberi dimensi baharu kepada bidang keusahawanan dan teknokrat di negara ini.

Ini kerana silibus program tersebut menekan pembangunan mesin terutama IKS yang dihasilkan pelajar, dan dalam masa sama menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan apabila berjaya kelak. - LAUPA JUNUS