Dengan pengalaman hampir 20 tahun mengusahakan ladang cili, Mohd. Noor Yusof, 61, berasa sangat bertuah apabila peneraju syarikat pemakanan, kesihatan dan kesejahteraan terkenal dunia, Nestle (Malaysia) Berhad menzahirkan penghargaan istimewa kepada setiap usahawan skim perladangan kontrak Kelab Cili Nestle (NCC).

“Saya mula menanam cili pada tahun 1997 apabila diberi peluang untuk membekalkan cili kepada syarikat Nestle bagi menghasilkan sos cili jenama mereka Maggi. Sebelum terlibat dalam tanaman cili, saya seperti kebanyakan petani lain di kawasan ini bermula dengan menanam tembakau.

“Melihatkan peluang tanaman cili yang lebih lumayan dan menguntungkan, saya terus mengusahakan ladang cili di tanah seluas satu ekar bersama isteri dan anak-anak.

“Secara purata, dengan keluasan tanah satu ekar, antara 3,000 hingga 4,000 pohon cili mampu ditanam dan saya boleh menjana pendapatan sehingga RM12,000 pada satu-satu musim,” katanya ketika ditemui di Kampung Gong Kemuning, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Menurutnya lagi, selain tanaman cili daripada jenis kulai, Mohd. Noor akan bergilir-gilir menanam padi setelah habis musim menuai cili bagi menjana pendapatan tambahan.

“Melalui usaha membekalkan cili kepada Nestle, kami sekeluarga mampu mengubah ekonomi keluarga dan merancang untuk memperbesar lagi kawasan tanaman, seterusnya membekalkan cili terbaik buat pengguna sos cili Maggi,” ujarnya.

Bagi Abdullah Said, 68, pula, melihatkan rakan-rakannya yang lain memperoleh keuntungan dengan menanam cili, dia turut melibatkan diri dalam penanaman cili dan menyertai skim perladangan kontrak NCC yang berkerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang.

Katanya, negeri Kelantan mempunyai tanah yang subur selain pancaran matahari dan air yang secukupnya menjadikan benih yang ditanam membuahkan hasil yang baik dan berkualiti.

“Rutin harian saya bermula seawal 7 pagi hingga 12 tengah hari. Pada waktu itu, saya akan memetik cili separuh masak yang mana cilinya separuh merah dan hijau untuk dihantar ke Pusat Pengumpulan Cili.

“Sehingga kini saya menanam 4,000 pokok cili. Kerja-kerja menanam benih bermula pada bulan April dan mengambil masa selama 30 hari untuk membesar, kemudian kerja menuai akan dilakukan pada awal Julai,” ujarnya.

Tambah Abdullah, dia berasa sangat berbangga kerana diberi peluang untuk menjadi usahawan yang membekalkan cili kepada syarikat global seperti Nestle, lebih-lebih lagi apabila pengguna produk Nestle adalah dari seluruh dunia.

Pusat Pengumpulan Hasil di PPK Bukit Awang dibina untuk mengumpul cili-cili yang ditanam peserta NCC.

Proses pemilihan cili dilakukan. Cili yang elok akan dibuang tangkainya dan disimpan dalam bilik sejuk.

Cili dikumpul dalam lima bilik sejuk berkapasiti 50 metrik tan sebelum dihantar kepada Nestle.

Lori akan membawa cili-cili mengikut tempahan dan kuantiti yang dikehendaki Nestle dan bertolak seawal jam lapan malam bagi memastikan is berada dalam suhu nyaman.

Cili-cili berkualiti dipilih sekali lagi dikilang sebelum memulakan proses adunan dan pembotolan.

Sementara itu, menurut Pengurus Besar PPK Bukit Awang, Wan Anuar Wan Ismail, projek Kelab Cili Nestle (NCC) di PPK Bukit Awang bermula pada tahun 1996 dan hanya disertai seramai empat orang peserta sahaja.

“Pada ketika itu, projek ini dimulakan di kawasan seluas 1.6 hektar di Kampung Gong Kulim dengan objektif untuk membawa keluar komuniti di sini daripada masalah kemiskinan.

“Pada awal pelaksanaannya, hasil projek perintis itu berjaya memperoleh pengeluaran kasar sehingga RM25,000 dengan pengeluaran cili sebanyak 8.5 tan metrik.

“Atas kejayaan itu, projek NCC terus berkembang dan telah menarik lebih ramai penyertaan. Sehingga kini, NCC disertai 70 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PPK,” katanya.

Jelasnya lagi, antara faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan projek berkenaan ialah peserta tidak perlu mengeluarkan modal permulaan untuk menanam cili, tetapi hanya perlu menyediakan tanah bagi menjalankan tanaman itu.

Bukan itu sahaja, PPK turut mengambil tanggungjawab untuk menanggung kos seperti membajak membuat batas, menyediakan biji benih, racun dan baja organik serta beberapa kemudahan lain dengan mengguna pakai konsep pemotongan kredit.

“Selain itu, PPK dan Nestle juga akan membantu peserta yang menghadapi masalah dari segi penjagaan tanaman, serangan penyakit dan sebagainya melalui khidmat nasihat secara percuma dan berterusan.

“Kami juga akan sentiasa melakukan pemantauan secara berkala demi memastikan cili dapat dihasilkan secara konsisten dan dapat mengekalkan kualitinya pada tahap terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Khidmat Pertanian Nestle, Abdul Razak Jaarif berkata, Nestle memilih negeri Kelantan untuk mendapatkan bekalan cili kerana petani-petani yang menyertai program NCC di negeri ini sangat amanah dan berdisiplin.

“Walaupun harga cili yang dijual di pasaran luar tinggi, namun mereka masih menjual dengan harga yang tetap iaitu pada harga RM3.50 sekilo.

“Seperti umum tahu, Nestle sangat mementingkan kualiti produknya, maka setiap peserta yang terlibat perlu memenuhi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang boleh dikatakan agak ketat bermula dari ladang sehingga proses pembuatan di kilang,” katanya.

Jelasnya, Nestle memerlukan bekalan cili sekurang-kurangnya 1,000 tan metrik setiap tahun, maka Nestle tidak mengambil bekalan cili dari negeri itu sahaja kerana jumlah yang diperoleh tidak mencukupi.

“Kita juga ada mengambil cili daripada sumber luar, namun negeri ini tetap memberi sumbangan besar dalam membekalkan cili kepada Nestle.

“Oleh itu, pihak Nestle kini giat menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan keberkesanan tanaman cili agar dapat memastikan bekalan cili dapat dihasikan secara berterusan sepanjag tahun,” katanya.

Abdul Razak juga berkata, usaha yang dilakukan syarikat global itu diharapkan dapat memberikan faedah kepada masyarakat dengan menyediakan peluang pendapatan tambahan selain dapat berkongsi Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi meningkatkan kualiti tanaman petani.