Walau bagaimanapun, pengetahuan masyarakat secara menyeluruh mengenai asal usul madu dan jenis lebah agak terbatas. Dalam masa yang sama, isu lain membelenggu industri madu termasuklah antaranya masalah menentukan ketulenannya.

Berdasarkan kajian yang pernah dijalankan, hampir 80 peratus madu di pasaran adalah madu yang tidak asli. Ini termasuk juga madu sintetik yang bahan asasnya bukan daripada madu. Ini amat berbahaya dan pasti memudaratkan kepada kesihatan.

Lebah terbahagi kepada beberapa jenis iaitu lebah tualang lebih sinonim dengan lebah madu (Apis dorsata), lebah kampung (Apis cerana) selain lebah lalat (Apis florea) dan kelulut (Meliponin).

Terdapat juga lebah import yang dipelihara secara komersial iaitu spesies Apis mellifera.

Lebah kampung atau tualang dan kelulut agak popular dan inilah yang melahirkan ramai pengusaha ketika ini.

Lebah kampung dan lebah tualang memang dikenali sedangkan lebah lalat tidak diusahakan. Lebah tualang agak berbahaya untuk diambil kerana terletak di dahan pokok dan lebahnya jenis menyengat.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan, kelulut semakin mendapat tempat kerana ia mudah diusahakan dan tidak berbahaya, malah menjadi satu industri yang menguntungkan.

Malah, kelulut kian dikenali dan ramai pengusaha kini muncul dengan mengeluarkan madu dengan pelbagai jenama.

Dalam masa yang sama, kajian mengenai industri huluran dan hiliran kelulut sudah mula dijalankan dengan memfokus kepada aspek biologi, kesihatan dan khasiat pemakanan.

Salah seorang penyelidik yang memfokus kepada aspek huluan industri kelulut adalah pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak yang mengumpul koleksi kelulut sejak 2013.

Dr. Shamsul Bahri berkata, beliau pada mulanya menternak lebah kampung dan import tetapi masalah timbul ekoran kesukaran mendapatkan koloni lebah.

“Selepas menternak 10 koloni lebah di Gong Badak dan Setiu, setahun kemudian masalah timbul kerana sukar mendapat bekalan permaisuri lebah. “Ini menjadi satu masalah di Malaysia kerana tidak ada pengusaha lebah madu yang membekal permaisuri lebah manakala kos membeli koloni agak mahal,” ujarnya.

Menurut beliau, jangka hayat permaisuri lebah madu hanya bertahan tiga tahun dan selepas itu tidak lagi bertelur, sekali gus menyebabkan kitaran lebah terputus.

Beliau kemudian mengumpul spesies lebah kelulut dengan kerjasama Jabatan Pertanian Terengganu di kawasan Taman Pertanian Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.

Projek tersebut kata beliau bukan sahaja bagi membolehkan kajian habitat dan biologi mengenai lebah kelulut tetapi boleh menarik golongan muda mempelajari dan mengenali spesies kelulut tempatan.

Antara kelebihan menternak lebah kelulut termasuklah sebagai agen penting untuk proses pendebungaan di kawasan tropika, subtropika dan di bahagian-bahagian tertentu dunia.

Ada kajian menunjukkan bahawa terdapat lebih 500 spesies lebah kelulut seluruh dunia antaranya Heterotrigona itama, Tetragonula laeviceps, Tetrigona apicalis, dan Geniotrigona thorasica.

Antara negara dan gugusan Nusantara yang dikenal pasti mempunyai lebah kelulut ialah Indonesia (37 spesies), Thailand (20), Myanmar (sembilan), Vietnam (lapan), India (tiga), Taiwan (satu) dan di Malaysia kira-kira 35 spesies.

Justeru, jumlah spesies yang banyak di negara ini mendorong Dr. Shamsul Bahri untuk mengumpul koleksi kelulut itu untuk tujuan agropelancongan dan juga penyelidikan.

Usaha beliau itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian dan beliau menjelajah ke seluruh negara menerusi kembara mencari spesies kelulut Nusantara yang juga dikenali sebagai kumpulan kelulut Indo-Malaya.

Menerusi satu memorandum persetujuan (MoA) bakal ditandatangani, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menyediakan prasarana, penyelenggaraan serta kemudahan asas, manakala UMT menjalankan penyelidikan, penyebaran maklumat hasil kajian pencarian koleksi kelulut.

“Kini saya dapat kumpul 24 spesies kelulut di satu kawasan seluas 0.5 ekar dan tubuhkan Repositori Kelulut Indo-Malaya di Sekayu untuk tujuan pelancongan, penyelidikan dan tatapan generasi akan datang Indo-Malaya,” katanya.

Repositori tersebut kata beliau sudah hampir siap dan hanya menunggu kerja-kerja menyempurnakan landskap yang penting sebagai sumber madu daripada nektar, resin, mineral dan keperluan asas lain dari sekitaran dan pokok-pokok yang ditanam.

Repositori tersebut yang dibangunkan dengan kos RM100,000 di satu kawasan kini memiliki lapan stesen yang setiap satu boleh menempatkan empat spesies kelulut

“Apabila siap kelak, repositori tersebut boleh dikatakan yang pertama di negara ini dan mungkin di dunia,” ujar beliau lagi.

Koleksi yang terdapat di repositori tersebut bagaimanapun hanya meliputi spesies di Semenanjung Malaysia sahaja. Dalam kembara menjejak spesies lebah kelulut di beberapa daerah di negeri Sabah, Brunei dan Sarawak baru-baru ini, terdapat tiga lagi spesis kelulut yang belum ditemukan di Semenanjung Malaysia iaitu Geniotrigona lacteifasciata, Tetragonula sirindhornae dan Tetragonula melanochepala.

Kelulut Tetragonula sirindhornae digelar kelulut ‘emas’ kerana warna badannya berkilauan seperti emas.

Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.

Istimewanya lebah kelulut tidak menyengat tetapi menggigit. Dalam genus kelulut ini, ia memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan.

Ramai menganggap lebah kelulut tidak mampu mengeluarkan madu dengan banyak menerusi kaedah penternakan biasa. Justeru, harga madu kelulut di pasaran jauh lebih mahal berbanding harga madu lebah. Pada masa ini, lebah kelulut dijual dengan harga sekitar RM150 dan boleh mencecah RM500 sekilogram manakala harga madu lebah sekitar RM80 sekilogram.

Seni bina sarang lebah kelulut juga berbeza-beza mengikut spesies tertentu iaitu sesetengahnya suka bersarang di dalam tanah, di dalam kayu sehinggalah di celah-celah belahan batu.

Mereka yang menternak kelulut pastinya mengetahui propolis atau sarangnya yang berwarna kehitaman, dikumpulkan oleh kelulut pekerja iaitu resin pokok yang dicampurkan dengan air liur serta makanan seperti debunga dan bunga.

Bahan propolis tersebut digunakan untuk melapisi bahagian dalam sarang bagi mengekalkan keadaan steril kerana anak kelulut amat sensitif dengan virus, kulat dan serangga perosak.

Pengusaha hanya mengambil masa sebulan untuk menuai hasil kelulut dalam bentuk madu, debunga dan propolis. Pengambilan madu pula lebih mudah kerana kelulut tiada sengat.

Madu kelulut boleh diambil setiap bulan apabila kotak sarang telah penuh dan madu berada di dalam kantung-kantung kecil. Musim pengeluaran madu boleh dilihat bermula selepas musim tengkujuh iaitu seawal bulan Februari sehingga bulan Oktober setiap tahun.

Sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi. Bagaimanapun madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah dan cair.

Dalam pada itu, Dr. Shamsul Bahri memberitahu pengumpulan spesies kelulut di satu lokasi di Sekayu itu merupakan projek fasa satu dan fasa kedua akan melibatkan penyelidikan menyeluruh aspek biologi, biodiversiti, taksonomi, ciri madu, pembangunan produk hiliran dan lain-lain. Promosi juga diperhebat bagi menjadikan repositori berkenaan sebagai salah satu tarikan agropelancongan di Terengganu. 
-Gambar Mokhtar Ishak (UMT)

Inovasi kelulut-stevia bantu penduduk

Dalam pada itu, penyelidik berkaitan kelulut terus diberi perhatian dengan menjadikannya sebagai penjana ekonomi kumpulan sasar di kawasan Besut, Terengganu.

Berkongsi lebih lanjut, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak berkata, projek integrasi kelulut dan tanaman stevia itu dimulakan pada hujung tahun 2014.

“Idea ini tercetus apabila saya dibawa melawat projek tanaman stevia yang diusahakan oleh komuniti ibu tunggal di Pusat Tunas Stevia (PTS), Jabi, Besut.

“Ketika itu tidak ada lagi yang menternak kelulut dan secara integrasi dengan satu-satu tanaman (monofloral).

“Lagipun dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Terengganu sedang giat mempromosikan satu program yang dinamakan Program Madu Ole-Ole Terengganu. Jadi madu monofloral (madu kelulut stevia) ini telah dijadikan salah satu produk premium (designer honey) bagi program itu,” ujar beliau.

Beliau berkata, projek tersebut melibatkan tiga peserta ibu tunggal yang juga merupakan ahli Koperasi Ummu Wahidah Terengganu (Kuwat) yang mempunyai 20,000 ahli berdaftar di seluruh negeri Terengganu.

Antara objektif projek tersebut adalah yang pertama, meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penternak setempat melalui hasil madu, propolis, roti lebah (bee bread) dan juga produk hiliran seperti kosmetik dan kesihatan.

Kedua, secara umumnya madu kelulut mempunyai rasa yang agak masam berbanding madu lebah. Ada pengguna masih mempunyai persepsi madu mesti rasa manis. Stevia merupakan pemanis asli yang mempunyai kemanisan 300 kali berbanding gula biasa. Bahan aktif daripada stevia akan mengurangkan tahap kemasaman madu kelulut.

Berkongsi lebih lanjut, Dr. Shamsul Bahri berkata, plot integrasi kelulut bersama tanaman stevia di PTS yang juga merupakan plot eksperimen UMT dilakukan dengan meletakkan 150 koloni kelulut di dalam plot tanaman pokok stevia.

Pokok stevia di negara ini mengeluarkan bunga dan kelulut akan pergi mengambil debunga serta nektar dari pokok stevia yang akhirnya ditukar menjadi madu kelulut. Madu kelulut ini telah terbukti melalui analisis makmal di UMT mengandungi bahan aktif stevioside (pemanis) dari pokok stevia.

Selain itu katanya, inovasi pecah koloni juga dipraktikkan bagi memastikan kelestarian kelulut.

“Proses ini melibatkan penggandaan koloni kelulut daripada satu koloni asal dan ini merupakan teknik yang sememangnya digalakkan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar manakala pokok stevia pula dihasilkan sendiri oleh penternak di PTS melalui nurseri dan gandaan tunas yang diusahakan di situ,” ujar beliau.

Setakat ini, selain madu yang merupakan produk utama industri kelulut Malaysia, propolis serta roti lebah yang berasal dari debunga yang separa hadam oleh kelulut juga merupakan produk yang boleh dikomersialkan serta mendatangkan hasil yang lumayan.

Projek tersebut berjaya meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi peserta yang terlibat.

Kejayaan projek tersebut dijadikan model dan telah dikembangkan kepada beberapa lagi ahli Kuwat yang berminat.

Salah satu tempat yang telah berjaya dikembangkan ialah di kawasan Tok Dor, Besut yang melibatkan lima peserta.

Hasil kerjasama itu, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani di antara UMT dan juga PTS.