Pisang mengandungi pelbagai gizi (zat makanan) yang baik untuk kesihatan dan kecantikan, antaranya vitamin B6, vitamin C , magnesium, zat besi dan kalsium.

Selain itu, nenek moyang kita juga banyak memanfaatkan kulit pisang sebagai petua misalnya untuk memutihkan gigi, mengatasi gigitan nyamuk, mengubati luka dan sakit kepala dan mengilatkan kasut.

Potensi dan manfaat yang dimiliki kulit pisang itu telah mencetuskan idea kepada sekumpulan pelajar untuk menghasilkan tepung kulit pisang sebagai pengganti kepada tepung gandum yang biasa digunakan di pasaran.

Menurut wakil pelajar tahun akhir, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia, Sofia Nadiah Hashim, 22, idea untuk menghasilkan tepung kulit pisang itu adalah sebagai melengkapi salah satu kursus dalam semester iaitu Pembangunan Produk Makanan Baharu.

“Kursus ini memerlukan kami, pelajar tahun akhir untuk mencipta produk makanan baharu secara berkumpulan bermula dari penjanaan dan penyaringan idea, pemprosesan sehinggalah pemasaran kepada pelanggan.

“Kumpulan kami, SU-8 Corporation menghasilkan produk yang dijenamakan sebagai FyBina, iaitu stik biskut bersalut coklat hitam yang berasaskan tepung kulit pisang,” katanya ketika ditemui di UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelasnya, kulit pisang menjadi pilihan sebagai bahan utama produknya kerana ia mengandungi tinggi serat, protein, vitamin, kalium dan magnesium.

“Antara keistimewaan lain produk yang kami hasilkan adalah tepung kulit pisang dapat memberikan serat yang tinggi serta bebas daripada gluten dan dapat menggantikan tepung gandum.

“Selain itu, bagi mereka yang mementingkan makanan sihat dalam kehidupan seharian yang sibuk, FyBina adalah pilihan tepat kerana ia bersaiz kecil, senang dibawa dan boleh dimakan pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, kumpulan pelajar ini juga mahu menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan mengurangkan pembaziran dan penjagaan alam sekitar apabila kulit pisang adalah antara sisa buangan yang tertinggi di Malaysia.

Selain itu, mereka juga ingin membuka mata masyarakat bahawa serat bukan sahaja dapat diperoleh daripada buah, bijirin atau sayuran, malah boleh juga didapati daripada kulit pisang.

Mengulas lebih lanjut mengenai proses penghasilan tepung daripada kulit pisang tu, Sofia Nadiah berkata, kulit pisang yang terbaik akan dipilih dan diambil daripada pembekal.

Kemudian, proses membasuh kulit pisang akan dimulakan terlebih dahulu bagi membuang segala kotoran dan bendasing yang ada pada kulit pisang.

Seterusnya, kulit pisang yang sudah dibasuh akan direndam dalam air panas bagi menghentikan segala aktiviti enzim. Setelah itu, kulit pisang akan diletakkan dalam mesin pengering dan akhir sekali akan dihaluskan sehingga menjadi tepung dengan menggunakan mesin pengisar.

“Bagi menghasilkan stik biskut pula, prosesnya adalah sama seperti menghasilkan biskut biasa yang terdapat dalam industri.

“Kelainannya adalah dari segi penggunaan tepung dan beberapa bahan tambahan lain sebagai resepi bagi menjadikan biskut yang dihasilkan lebih sedap,” katanya.

FSTM UPM perkenal 10 jenis produk 

Bersempena penganjuran Hari Pengenalan Produk Baharu 2017 yang bertemakan Inovasi Penggerak Industri Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM) UPM telah memperkenal 10 produk makanan baharu yang dihasilkan oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan menerusi kursus Pembangunan Produk Makanan Baharu.

Ketua Jabatan Teknologi Makanan FSTM, Prof. Dr. Tan Chin Ping berkata, penciptaan produk secara berkumpulan itu memerlukan pelajar untuk menjana dan menyaring idea, menghasil dan menguji prototaip di loji pepandu, makmal pemprosesan dan makmal uji deria, seterusnya melancarkan prototaip produk baharu kepada pelanggan.

“Sempena program ini, pihak fakulti telah mengambil inisiatif untuk mengetengahkan 10 produk makanan baharu iaitu SoYa Tart, Oh! My Noodle, ASCO, Mushious Sausage, Haymash Bebola Daging, Ambarella Jam, Chocoring Snack Bar, S’morthies, Cremoso Tempkin dan FyBina.

“Daripada 10 produk, tiga produk telah dipilih sebagai pemenang yang dinilai oleh sekumpulan pengadil yang terdiri daripada wakil industri makanan, agensi kerajaan dan pensyarah fakulti.

“Pemenang utama bagi program ini adalah dari kumpulan SU-8 Corporation yang mengetengahkan produk jenama FyBina iaitu biskut bersalut coklat hitam yang berasaskan tepung kulit pisang.

“Tempat kedua pula adalah kumpulan Snac ‘N Sdn. Bhd. dengan produk Chocoring Snack Bar iaitu bar coklat yang mengandungi beras pulut susu, tempe, serunding ikan bilis dan marshmallow.

“Tempat ketiga jatuh kepada kumpulan Damai Sdn. Bhd. yang memperkenal jenama Haymash Bebola Daging iaitu bergedil yang diolah menjadi bebola daging,” katanya.

Sementara itu, menurut Dekan FSTM, Prof. Dr. Nazamid Saari, kursus tersebut merupakan kemuncak kepada pengajian program berkenaan yang memerlukan pelajar mengaplikasikan semua ilmu pengetahuan yang dipelajari sepanjang pengajian mereka.

“Menerusi projek itu, pelajar didedahkan dengan proses sebenar menghasilkan produk, sama seperti yang dilakukan dalam industri, dari awal sehingga produk boleh dipasarkan.

“Seiring dengan ekonomi semasa yang berkembang ini, diharapkan pelajar dapat mengambil peluang supaya berusaha memanipulasi ilmu yang telah didedahkan serta mengaplikasikan kemahiran yang telah diperoleh sepanjang pengajian agar dapat digunakan untuk pembangunan kerjaya kelak,” katanya.