Antaranya adalah penggondolan dan penebangan hutan bagi tujuan pembangunan perumahan, tempat rekreasi, bangunan pejabat dan sebagainya.

Kesan ketara daripada aktiviti itu yang dapat dilihat pada ketika ini adalah suhu semakin meningkat dan kejadian banjir kilat kerap berlaku tidak kira di kawasan pedalaman mahu pun bandar.

Peka dengan keadaan itu, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. meneruskan lagi kesungguhan dan komitmennya dalam membentuk persekitaran yang lebih hijau dengan menyumbang ke arah alam sekitar lebih mapan melalui program One Canon One Tree.’

Memasuki tahun ketiga, program kali ini memiliih Kawasan Hijau Seksyen 4, Taman Tasik Shah Alam sebagai lokasi penanaman pokok dan pepohon renek.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Andrew Koh, program kali ini menyaksikan penanaman sebanyak 2,000 pokok di sekitar taman tasik tersebut.

Hal ini menjadikan jumlah pokok yang ditanam lebih daripada 6,000 berikutan lebih 4,000 pokok telah ditanam dalam jangka masa dua tahun di sekitar kejiranan Shah Alam iaitu di Setia Alam pada 2016 dan diikuti Bukit Jelutong pada 2017.

“Tujuannya adalah untuk memulihara alam sekitar dan mahu menambah baik landskap hijau. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah memberi peluang kepada komuniti di kawasan sekitarnya untuk menikmati dan hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.

“Sebagai pakar peneraju dalam pengimejan digital, tanggungjawab kami kepada pengguna dan komuniti bukan hanya menghasilkan produk pengimejan yang berkualiti dan berteknologi tinggi, namun kami juga melabur untuk memastikan alam sekitar kekal terpelihara demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Program hijau berkenaan diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang selari dengan inisiatif MBSA iaitu Shah Alam Trees Life 2018.

Acara tersebut menyaksikan lebih 300 orang menyertainya termasuk kakitangan dan keluarga kumpulan syarikat Canon seperti Canon Opto, Canon Machinery, Canon Mailcom, Canon Medical dan Canon Marketing bersama-sama sukarelawan, pekerja MBSA, pelajar MAHSA University dan murid Sekolah Kebangsaan Subang Bestari 2.

Antara pokok yang ditanam termasuk durian belanda, manggis, Acalypha Wilkisiana Red dan barometer bush (Leucophyllum frutescens)

Tambah Andrew, anak-anak pokok yang ditanam itu terdiri daripada jenis teduhan, pokok buah-buahan serta pokok bunga renek yang pastinya memberi keceriaan untuk orang ramai berehat, melakukan aktiviti riadah dan mencantikkan lagi kawasan terbabit.

“Kita tahu bahawa tindakan kita pada hari ini akan memberi kesan pada masa depan.

“Canon berhasrat menghidupkan falsafah Kyosei dengan memastikan inovasi-inovasi kami lebih mesra alam sekitar dan menggalakkan kelestarian,” ujarnya lagi.