Pengisytiharan IYOR adalah suatu usaha global bagi meningkatkan kesedaran awam tentang nilai dan ancaman terhadap ekosistem batu karang ke arah perlindungan dan pemuliharaannya.

Sebanyak 225 pertubuhan dari 50 negara terlibat. Banyak artikel dan tinjauan saintifik telah dilaksanakan.

Setelah lebih 20 tahun pengisytiharan IYOR, usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat diteruskan bagi mencapai matlamat berkenaan.

Sepuluh tahun dahulu, kira-kira 1,000 aktiviti dijalankan yang melibatkan 65 negara di dunia. Menerusi media baharu isu-isu berkaitan ekosistem batu karang boleh dikongsi dengan mudah.

Jaringan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan juga boleh menggerakkan masyarakat setempat terlibat dalam promosi perlindungan dan pemuliharaan ekosistem batu karang.

Promosi boleh dibuat sempena sambutan hari-hari tertentu atau sepanjang masa bersama-sama penduduk tempatan, pihak berkepentingan seperti majlis kerajaan tempatan dan operator pelancongan.

Masyarakat dan aktivis perlu mempunyai pengetahuan asas tentang batu karang seperti biologi, ekologi, kepentingan kepada manusia dan ancaman terhadapnya.

Batu karang terdiri daripada berjuta-juta polips yang membina struktur kalsium karbonat. Batu karang menyerap kalsium daripada air laut untuk membina struktur keras bagi perlindungan dan pertumbuhannya. Struktur kalsium karbonat yang keras sebagai kerangka asas untuk ekosistem batu karang menjadi habitat beribu-ribu spesies hidupan laut.

Fenomena pembiakan batu karang sangat menarik dalam kalangan penyelam. Apabila gamet jantan dan betina terhasil dalam air bertemu membentuk larva planula yang seterusnya tumbuh pada substrat menjadi koloni batu karang baharu.

Umumnya kitaran hidup batu karang melibatkan fasa plantonik dan bentik (dasar laut). Sepanjang proses pembiakan ini menarik banyak ikan pemangsa. Secara amnya, habitat batu karang didiami hampir satu hingga sembilan juta spesies hidupan laut.

Pembiakan spesies batu karang berbeza daripada satu spesies ke satu spesies. Pertumbuhan batu karang keras sangat perlahan.

Batu karang mempunyai pelbagai bentuk dan saiz seperti bercabang, bulat, separuh bulat atau kubah.

Saiz batu karang boleh sebesar telur hinggalah sebesar sebuah rumah. Secara umum pertumbuhan batu karang daripada 0.5 sentimeter (sm) hingga 2 sm setahun dalam keadaan yang baik seperti masa pendedahan kepada cahaya, suhu yang tetap dan keadaan ombak yang sederhana.

Bagi batu karang yang bercabang menegak, dalam keadaan yang baik boleh tumbuh 10 sm setahun. Banyak kajian perlu dijalankan bagi mengetahui sistem biologi dan ekologi batu karang di tempat-tempat tertentu.

Batu karang boleh dijumpai di seluruh dunia di kawasan tropika dari kawasan 30 darjah utara hingga 30 darjah selatan garisan khatulistiwa. Selalunya pada kedalaman kira-kira 30 meter (m) iaitu julat suhu sekitar 16 hingga 32 darjah Celsius dengan cahaya yang tinggi. Kawasan Atlantik, Australia, Lautan Hindi , Lautan Pasifik dan perairan Asia Tenggara merupakan kawasan penting batu karang. Setakat ini batu karang air cetek dijangka mewakili antara 284,000 dan 512,000 kilometer persegi daripada keseluruhan planet bumi.

Lebih luas lagi adalah batu karang di kawasan lautan dalam.

Di Malaysia juga terdapat kawasan batu karang yang penting dan kebanyakan kawasan kini diwartakan sebagai taman laut.

Taman laut adalah kawasan perairan yang dizonkan sejauh dua batu nautika dari kawasan air surut terendah kecuali Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan yang dizonkan sejauh satu batu nautika dari air surut terendah. Taman laut ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik..

Taman laut juga adalah untuk pemuliharaan dan pengurusan perikanan pesisiran pantai dan habitatnya. Sebahagian daripada taman laut di Malaysia telah wujud sejak 20 tahun dahulu tetapi masih tidak mempunyai data-data biologi dan ekologi yang cukup tentang ekosistem berkenaan.

Kajian yang dilaporkan oleh Malaysian Fisheries Journal 2010 banyak menerangkan tentang status dan isu-isu yang dihadapi oleh taman laut di Malaysia terutama tentang pemuliharaan dan kelestarian perikanan. Taman laut masih memerlukan banyak perhatian dan kesedaran awam dalam pemuliharaanya, mengekalkan kepelbagaian biologi dan perkara-perkara yang menyebabkan pengurangan spesies dan populasi ikan.

Sektor pelancongan merupakan pendapatan negara kedua selepas minyak dan gas dengan pendapatan 30 bilion pada 2006. Permintaan ekopelancongan berkaitan taman laut semakin meningkat.

Bilangan pengunjung ke taman laut pada tahun 2000 hingga 2006 dianggarkan kira-kira 400,000 hingga 550,000 orang.

Cabaran-cabaran semula jadi utama kepada ekosistem batu karang adalah perubahan iklim, kelunturan batu karang akibat peningkatan suhu laut dan keasidan air laut.

Kenaikan suhu air laut pada 1998, 2002 dan 2006 menunjukkan kesan yang buruk ke atas batu karang di Great Barrier Reef, Australia.

Adalah dijangkakan peristiwa tersebut akan menjadi ancaman tahunan ke atas batu karang.

Perubahan iklim juga dijangka menyebabkan keasidan lautan yang boleh memberikan kesan kepada hidupan laut. Kelunturan menyebabkan struktur batu karang berubah dan memberi kesan kepada spesies penting seperti dugong, penyu, burung laut dan ikan yu.

Keadaan ekologi yang tidak seimbang menyebabkan peningkatan populasi crown of thorn (mahkota duri) yang mendadak dan jangkitan cyanobacteria.

Kajian di Great Barrier Reef itu menunjukkan paras kepekatan karbon dioksida (CO2) di atmosfera sekitar 40 bahagian perjuta (ppm) dan dijangka berlaku pertambahan sebanyak 2ppm setahun.

Sekiranya ini berlaku, pada 2050 dijangka paras CO2 di atmosfera meningkat kepada 500 ppm.

Pada masa itu populasi burung laut, ikan, hidupan laut termasuk plankton akan terancam. Hakisan permukaan akibat pembangunan dan perladangan, penggunaan racun perosak dan pembangunan pantai juga memberi kesan langsung kepada ekosistem batu karang. Pokok-pokok bakau yang sudah tiada pesisiran pantai tidak dapat menapis kelodak yang dibawa air hujan ke laut.

Selain faktor semula jadi, ancaman tangkapan hasil perikanan dan kehadiran pelancong yang berlebihan juga mengganggu keseimbangan ekologi terumbu karang.

Semua pihak mesti memahami dan bersama-sama melindungi dan memulihara ekosistem batu karang. Antara cara yang boleh membantu pemuliharaan ekosistem batu karang ialah dengan menjaga alam sekitar, menguruskan plastik agar tidak sampai ke terumbu karang dan elakkan kelodak akibat hakisan permukaan.