Burung botak kecil (Leptoptilos javanicus), daripada famili Ciconiidae yang mudah dilihat bersendirian atau kumpulan kecil. Mereka selalunya berada dalam jarak tertentu antara individu semasa mencari makanan terutama semasa air surut. Semasa air surut, kawasan berhadapan jeti nelayan Parit Jawa kelihatan seperti kawasan lapang dan terdapat banyak burung berhijrah termasuk burung botak kecil.

Kawasan pantai di Parit Jawa dapat menyediakan kawasan yang sesuai untuk burung mencari makan dan berehat.

Apabila cuaca panas burung botak ini terbang dan melayang bersama burung pemangsa lain seperti Helang Merah (Haliastur indus). Semasa terbang burung ini menarik lehernya yang panjang membentuk seperti huruf “S”.

Burung botak dapat dilihat dengan jelas di bahagian atas badan dan sayap berwarna hitam dan perut serta bawah ekornya berwarna putih, paruhnya berbentuk baji yang besar, kepala botak, dan leher yang jelas tidak berbulu. Burung botak biasanya setinggi antara 110 hingga 120 sentimeetr (cm) dengan berat badan lebih kurang lima kilogram (kg). Burung botak ini agak besar daripada burung lain di sekitar kawasan pasang surut Parit Jawa dengan sayapnya bersaiz 210 cm lebar.

Spesies ini tersebar luas dan membiak di selatan Asia dari timur India ke selatan China dan pulau Jawa. Menurut statistik Majlis Pemuliharaan Burung, Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia, di Semenanjung Malaysia terdapat lebih kurang 250 ekor burung botak, dengan 66 ekor terdapat di negeri Johor.

Bilangan ini mungkin berubah mengikut kawasan dan gangguan habitat mereka. Antara gangguan penting adalah penebangan pokok-pokok tinggi kawasan hutan bakau tempat mereka bersarang dan tidur, gangguan kera yang berkongsi habitat dan gangguan manusia. Di samping gangguan fizikal, pencemaran kawasan pasang surut juga menganggu populasi makanan mereka yang terdiri daripada ketam atau ikan dan makrobentos amnya.

Pencemaran bahan kimia seperti logam berat, racun serangga dan bahan berasaskan petroleum sudah pun banyak dibincangkan mempengaruhi populasi makrobentos. Begitu juga kelodak akibat hakisan permukaan tanah yang dibawa ke muara sungai mengganggu kawasan pasang surut habitat burung. Hakisan pantai yang teruk menyebabkan kawasan mencari makan burung hilang terus. Penerokaan hutan bakau untuk kolam udang dan kayu juga mengganggu habitat dan populasi burung.

Secara amnya burung botak membiak di kawasan berpaya di tanah rendah tropika. Ia membina sarang daripada ranting pada pokok yang tinggi. Selalunya burung botak bersarang dalam koloni yang kecil.

Burung botak kecil ini boleh juga dijumpai di tempat lain di Semenanjung Tanah Melayu seperti kawasan rezab hutan bakau Kukup dan Parit Jawa di Johor; Daerah Kerian di Perak; dan pantai-pantai di Selangor. Burung ini selalunya bertumpu di kawasan hutan simpan bakau dan pantai berlumpur. Di pantai timur juga ada direkodkan di Setiu, Terengganu dan hutan paya gambut Pekan-Nenasi.

Seperti di kawasan lain burung ini tidak berada dalam kumpulan yang besar dan selalunya bersendirian mencari makanan seperti ikan dan krustasia.

Kawasan pantai Parit Jawa yang dianggarkan lebih kurang 20 hektar menyediakan kawasan yang sesuai untuk burung berhijrah hinggap dan mencari makan.

Perlindungan dan pemuliharaan kawasan hutan bakau sekitar kawasan ini adalah sangat penting dalam melindungi habitat burung. Selain burung botak kecil yang menjadi simbol kepada Parit Jawa, banyak lagi burung-burung dapat dilihat seperti burung kedidi paruh tegak atau Asian Dowitcher (Limnodromus semipalmatus).

Burung ini yang bersaiz sederhana bagi burung berhijrah pantai, berwarna kelabu, mempunyai kaki gelap dan paruh yang panjang lurus gelap.

Burung lain yang juga mudah kelihatan di kawasan pasang surut Parit Jawa ialah Bangau kerbau (Bubulcus ibis). Ia mudah dilihat dan dikenali kerana warnanya yang putih melepak dan paruhnya yang pendek berwarna kuning dengan kakinya berwarna gelap. Warna pada musim pembiakan berubah kepada warna kekuningan di kepala, dada dan belakangnya. Bangau juga adalah burung migrasi dan mudah beradaptasi dengan keadaan di Semenanjung Tanah Melayu dan ada yang tinggal terus di sini berkembang biak.

Ketam merupahkan organisma penting dalam ekosistem bakau. Selain sebagai makanan kepada burung, ketam memainkan peranan penting seperti menentukan struktur komuniti pokok bakau.

Aktiviti kimia dalam tanah berlaku melalui aktiviti ketam mengorek lobang, membantu dalam kitaran nutrien dalam ekosistem bakau, dan mengurangkan persaingan anak bakau melalui pemangsaan ke atas anak-anak bakau. Fenomena pasang surut menambahkan lagi peranan mereka dalam mengkayakan kepelbagaian makrofauna di kawasan pasang surut yang basah, berair cetek terutama bagi kumpulan cacing, siput dan ketam yang menjadi makanan burung-burung hijrah pantai.