Mendengarkan namanya yang agak menggerunkan, cendawan susu harimau dikatakan hanya boleh ditemukan dalam hutan yang mempunyai populasi harimau dan dikisahkan tumbuh di atas titisan susu harimau yang jatuh ke tanah semasa menyusukan anaknya.

Cendawan yang tidak boleh ditemui di mana-mana pasar atau kawasan orang lalu-lalang melainkan di hutan tebal ini hanya terdapat di negara hutan tropika seperti di Malaysia, Indonesia, Thailand, China Selatan, Filipina dan Papua New Guinea.

Khazanah berharga yang menjadi amalan dalam perubatan tradisional sejak 400 tahun dahulu ini dipercayai dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah kesihatan seperti batuk, selesema, demam dan lemah badan.

Selepas beberapa tahun menjalankan kajian ke atas cendawan susu harimau, syarikat LiGNO Biotech Sdn. Bhd. terus mengembangkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk cendawan istimewa itu dan dalam masa yang sama mengkomersialkannya hingga ke peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif LiGNO Biotech Sdn. Bhd., Ng Szu Ting berkata, penggunaan secara tradisional cendawan susu harimau adalah dengan mengasah bahagian ubi cendawan pada pasu yang dibasahkan dan kemudian air asahan tersebut akan diminum.

Katanya, cendawan susu harimau mempunyai tiga bahagian utama iaitu payung (cap), batang (stem) dan ubi (sclerotium). Bahagian yang digunakan adalah bahagian ubi sahaja kerana segala nutrisi tersimpan di situ.

“Menerusi R&D, LiGNO Biotech telah memformulasikan teknologi moden untuk menghasilkan produk cendawan susu harimau agar pengguna dapat mengamalkannya dengan mudah dan dalam masa yang sama masih mengekalkan khasiatnya.

“Penyelidikan yang dijalankan bermula pada tahun 2002 hingga 2009 akhirnya berjaya dibangunkan dan membawa kepada penubuhan syarikat ini, “ katanya ketika ditemui Mega Sains di Balakong, Selangor baru-baru ini.

Menurut Szu Ting, selama menjalankan kajian tersebut, dia banyak dibantu oleh Pegawai Penyelidik Prinsipal, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang juga Penasihat Teknikal LiGNO Biotech, Dr. Tan Chon Seng.

Hasil kerjasama itu, kaedah kultur tisu digunakan untuk meningkatkan hasil tuaian yang tinggi dalam masa singkat dan dengan kos yang lebih rendah.

Jelasnya, kaedah in-vitro juga digunakan untuk mendapatkan hasil berterusan dan lebih berkualiti berbanding cendawan yang hidup meliar, secara tidak langsung dapat memastikan tanaman hidup sihat berpandukan piawaian yang ditetapkan.

“Antara garis piawaian yang ditetapkan ialah cara pengkulturan tanaman yang menggunakan kaedah pensterilan pada tahap maksimum serta memastikan kandungan nutrisi pada media pengkulturan sentiasa berada pada tahap optimum bagi mencapai pertumbuhan maksimum.

“Hal ini kerana jika dibandingkan dengan cendawan yang hidup meliar, kualiti hasil tuaian tidak dapat dipastikan kerana ia berada pada tahap berbeza setiap kali tuaian disebabkan kandungan nutrisi dan kontaminasi pada tanah dan masa yang berbeza,” katanya.

Tambahnya, menerusi teknologi berkenaan, pihaknya berjaya menghasilkan kapasiti pengeluaran cendawan susu harimau sehingga 500 kilogram sebulan dan seterusnya memasarkan tiga produk yang telah dipatenkan dengan jenama Tigerus.

Pencapaian dan khasiat

Produk jenama Tigerus itu telah menjadikan LiGNO Biotech diperakui sebagai pemegang rekod pertama di dalam The Malaysia Book Of Records pengeluar produk cendawan susu harimau.

Ng Szu Ting berkata,  serbuk cendawan susu harimau dan produk yang dihasilkan telah berjaya dieksport ke Singapura, Timur Tengah, China, Jepun dan Amerika Syarikat, selain mendapat pengiktirafan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta beberapa pihak lain.

Hasil kajian saintifik daripada beberapa universiti seperti Universiti Nottingham, Universiti Malaya (UM), Universiti Macau dan Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan bahawa cendawan susu harimau selamat dimakan tanpa kesan sampingan.

Bukan itu sahaja, produk berkenaan juga sesuai dijadikan sebagai makanan tambahan yang berkhasiat untuk menguatkan sistem imun dan menjaga kesihatan.

“Hasil kajian juga menunjukkan cendawan istimewa ini mengandungi ciri-ciri antiradang, antioksidan, antialahan dan antiasma serta mampu melegakan masalah ekzema, sakit sendi, selain mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi pesakit kanser,” katanya.

Sebagai penyelidik pihaknya sedar dan faham mengenai kepentingan memanfaatkan sains dan inovasi menerusi penyelidikan bagi menghasilkan produk berkualiti. Syarikat berkenaan bukan sahaja menumpukan kepada penyelidikan sains secara konsisten, tetapi juga mendidik orang ramai mengenai keunikan cendawan susu harimau sebagai khazanah negara.