Berkongsi pandangan, Presiden Ekorelawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tassim Zainal berkata, program 3R di negara ini sangat lemah dan semakin suram kerana kempen yang dijalankan bersifat skala serta tidak berterusan.

Katanya, hal ini kerana kurangnya didikan dan promosi berkenaan kepentingan kitar semula kepada umum, tiada kesedaran tentang kepentingan amalan 3R menyebabkan orang awam tidak membuang sampah yang boleh dikitar semula di tempat yang betul.

Lebih parah, masyarakat tidak mengendahkan tentang seruan pengasingan sampah yang boleh dikitar semula dan sebaliknya.

“Kempen telah dijalankan dengan baik, namun ia bersifat berkala. Untuk mewujudkan komuniti lestari yang mapan ia seharusnya bermula dengan kempen yang berterusan.

“Selain itu, strategi kempen juga harus praktikal dan bersifat menyeluruh,” ujarnya.

Tambahnya, kelemahan-kelemahan itu berpunca daripada kurangnya didikan dan promosi berkenaan kepentingan kitar semula.

Di samping itu, kurangnya tong sampah kitar semula di kawasan awam serta penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan masyarakat memandang enteng akan keperluan mengamalkan budaya 3R sekali gus mengabaikannya.

Oleh itu katanya, masyarakat perlu dididik dengan pengetahuan yang baik tentang amalan kehidupan lestari serta perlu lebih interaktif dan bukannya hanya menampal poster konvensional.

Penumpuan pula harus diberikan kepada kanak-kanak dan generasi muda bagi mendidik mereka mengenai amalan dan budaya 3R sejak di bangku sekolah, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persatuan penduduk mahupun pemimpin tempatan perlu mengambil peranan untuk memberikan kesedaran kepada komuniti setempat.

Hal tersebut juga dapat dilakukan dengan mengadakan kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan seperti universiti awam untuk bersama-sama memberi penerangan.

“Tong sampah di tempat awam perlu dijadikan sebagai fasiliti wajib di setiap komuniti, tempat riadah dan premis-premis awam seperti pusat beli belah.

“Penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan oleh PBT agar masyarakat lebih prihatin untuk mengasingkan sampah-sampah domestik,” jelasnya.

Inisiatif Ekorelawan perteguh kitar semula.

SEBAGAI satu inisiatif bagi mendidik orang ramai mengenai kepentingan kehidupan yang lestari, persatuan sukarelawan alam sekitar dan komuniti yang berdaftar di bawah pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Ekorelawan telah diwujudkan.

Ia ditubuhkan pada 2010 sempena pelancaran Program UKM Kampus Lestari dan ahlinya terdiri daripada mahasiswa, Alumni UKM dan komuniti setempat.

Berkongsi lebih lanjut Tassim Zainal berkata, Ekorelawan bergerak aktif dalam pelbagai projek dan program sukarelawan yang melibatkan mahasiswa dan komuniti.

“Kesemua sukarelawan Ekorelawan UKM dibekalkan dengan lima kursus asas iaitu modul air, tanah, hutan, pengurusan sisa dan modul tenaga.

“Kesemua modul ini dinamakan Ecosystem Discovery Journey Module. Menerusi modul ini Ekorelawan mampu mendidik masyarakat ke arah kehidupan lestari sejajar dengan slogan Ekorelawan, With Knowledge, We Serve The Community,” ujarnya.

Antara program yang dijalankan adalah pendidikan alam sekitar kepada masyarakat, pelbagai aktiviti gotong-royong seperti program Selamatkan Sungai Langat, gotong-royong di Bukit Bintang, program pendidikan komuniti lestari, Kem Lestari Rakyat (kerjasama dengan Bank Rakyat), [email protected] (kerjasama Coca-cola) serta Sukarelawan Hijau Sukan SEA 2017.

Tegasnya, tanpa pendidikan yang terancang mengenai alam sekitar, masyarakat tidak akan sedar tentang kepentingan kehidupan lestari.

“Gotong-royong yang bersifat berkala akan menjadi sekadar aktiviti tahunan jika pengetahuan masyarakat terhadap alam sekitar masih rendah.

“Oleh itu, Ekorelawan mengambil pendekatan yang lebih bersifat mendidik dan memberi kesedaran bermula daripada generasi muda,” katanya.

Setakat ini, Ekorelawan mempunyai lebih 3,000 ahli keseluruhan termasuk mahasiswa, alumni dan komuniti yang berdaftar serta mempunyai kira-kira 1,500 ahli aktif yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat.