Daging segar tempatan dihasilkan daripada lembu atau kerbau, namun masih tidak mencukupi.

Untuk tujuan tersebut, pengusaha mempertingkatkan kadar sembelihan terutamanya lembu, daripada 102,623 ekor pada 2009 kepada 125,183 ekor pada tahun 2014.

Penggunaan daging lembu sangat tinggi dan kadang kala tidak mencukupi terutamanya ketika musim perayaan, menyebabkan daging merah seperti kerbau dipinggirkan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Azmi Mohd. Lila, budaya masyarakat Malaysia yang lebih cenderung memilih daging lembu kini mengancam populasi kerbau.

Jelasnya, penumpuan yang diberikan kepada ternakan lembu akhirnya menyebabkan populasi kerbau semakin menurun.

“Secara mudahnya, masyarakat kita tidak lagi memilih daging kerbau, walhal ia adalah lebih baik dari segi tekstur, kandungan protein dan jumlah daging.

“Keadaan tersebut juga menyebabkan ramai dalam kalangan penternak lebih memilih lembu yang mendapat permintaan tinggi berbanding kerbau,” katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Dr. Azmi, masyarakat hari ini perlu mula merubah semula pemikiran mereka untuk mengambil daging kerbau semula sebagai penyelesaian kepada ketidakcukupan daging merah di pasaran tempatan.

Jika tidak, kata beliau, Malaysia akan terus menerus mengambil daging sejuk beku yang diimport, terutamanya dari India.

Malah katanya, ada sesetengah daging sejuk beku merupakan daging kerbau dan bukannya lembu. Ia hanya didaftarkan sebagai daging merah,” katanya.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan kemerosotan ternakan kerbau tempatan.

Antaranya, penambah baik kaedah penanaman padi yang kini boleh dilakukan dua kali setahun, kegiatan tanaman kontan dan penggunaan jentera untuk membajak atau mengusahakan tanah.

Seterusnya, kekurangan masa untuk memelihara kerbau, kekurangan padang ragut dan kesukaran dan kelemahan kerbau untuk membiak.

Populasi kerbau kini telah menurun sebanyak 21.3 peratus dalam masa 14 tahun, terutama kerbau sawah yang selalunya digunakan untuk membajak.

Tambahan pula , ujar Dr. Azmi, kerbau juga telah ditukarkan kepada lembu untuk pengeluaran daging disebabkan tiada pilihan baka yang sempurna dan lambat matang.

Selain itu, tempoh bunting dan jarak masa beranak yang panjang, perlukan kawasan berteduh serta tempat berkubang dan terdapat pandangan bahawa kualiti daging kerbau lebih rendah berbanding lembu.

Walau bagaimanapun, hasil penelitian menunjukkan sektor ternakan kerbau adalah sedikit berbanding kajian ke atas lembu.

“Hal ini terbukti kerana kita kekurangan data mengenai pengurusan ladang, profil peserta industri yang lengkap serta kekurangan maklumat lengkap seperti paras harga, kuantiti, kualiti dan hasil produk kerbau yang terperinci,” katanya.

Pun begitu, sektor ternakan kerbau sebenarnya telah bertapak lebih daripada lima dekad, namun status ekonominya masih di tahap primer. Profil sektor ternakan kerbau masih di tahap lama dan kebanyakan penternak memiliki saiz ladang dan kerbau yang kecil, amalan pengurusan ternakan yang masih jauh ketinggalan berbanding ternakan lembu.

“Pengeluaran daging dan susu tempatan adalah sangat rendah dan tidak mencukupi.

“Daging kerbau dilihat sebagai sumber tambahan untuk meningkatkan tahap sekuriti makanan negara,” katanya.

Daging kerbau bukan sahaja sumber protein, selain daging lembu dan ayam, malah berpotensi untuk meningkatkan pengeluaran daging dan susu alternatif bagi mengatasi kekurangan pengeluaran daging yang serius.

Negara terlalu banyak bergantung kepada import bagi kebanyakan produk makanan, input pertanian dan makanan ternakan.

Tidak hanya untuk mengelakkan kepupusan dan penurunan populasi, pembangunan industri kerbau itu sendiri akan membawa faedah tiga serampang kepada negara iaitu ekonomi, sosial dan persekitaran.

Berbeza dengan ternakan lembu, kos ternakan kerbau adalah rendah kerana ternakan tersebut lebih lasak dan boleh membantu manusia untuk melakukan tugas-tugas berat seperti membajak dan pengangkutan bahan mentah.

Penjagaan kerbau adalah lestari kerana makanan yang diperlukan adalah seperti jerami padi, bahan buangan nanas dan pelbagai lagi.

Kerbau berupaya menghadam serat dan selulosa lebih cekap berbanding lembu, dalam erti kata lain bahan buangan tersebut boleh digunakan untuk makanan kerbau.

Selain tidak begitu cerewet dalam pemakanan, kerbau juga tahan lasak dan rintang kepada penyakit yang sering menyerang ternakan ruminan.

Mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), kerajaan bercadang untuk mengimport sebanyak 32,000 ekor baka kerbau dalam jangka masa 10 tahun bernilai RM166 juta bertujuan mengumpul bahan ladang.

“Kita memiliki kapasiti penyelidik kerbau dari segi kajian baka, alternatif makanan ternakan, perubatan dan kesihatan kerbau serta pelbagai lagi.

“Walau bagaimanapun, teknologi yang dikeluarkan masih belum dapat diterjemahkan ke ladang ternakan dengan sepenuhnya kerana masalah tadbir urus,” katanya.

Oleh yang demikian, satu kajian yang menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengumpulkan maklumat terbaharu yang lebih terperinci dari penternak-penternak kerbau dalam negara. Ini kerana data yang sedia ada merupakan data kajian yang dilakukan pada 1950 hingga 1970.

Data yang diperoleh akan dijadikan sebagai maklumat 
asas minimum yang perlu ada bagi industri kerbau untuk rujukan penternak, peniaga, pengguna, pelabur dan penggubal polisi.