Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kepelbagaian biologi khazanah kita

Masa hadapan burung upeh juga belum tentu sekiranya kajian tentang 2
Masa hadapan burung upeh juga belum tentu sekiranya kajian tentang burung ini tidak dilakukan segera sebab burung ini diancam kepupusan.

Malaysia adalah salah satu negara yang diiktiraf antarabangsa sebagai negara mega kepelbagaian biologi (biodiversiti) dunia berdasarkan kepada bilangan spesies kehidupan yang ada di Malaysia. Negara-negara lain di hadapan Malaysia ialah Australia, Brazil, China, Colombia, Republik Democratik Congo, Ecuador, India, Indonesia dan Madagascar. Kepelbagaian biologi yang tinggi di negara berkaitan adalah kerana habitat semulajadi yang dilindungi, aktiviti pemuliharaan yang sistematik dan kajian saintifik tentang flora dan fauna.

Malaysia juga melindungi habitat semulajadi dengan mengadakan undang-undang yang mantap dan bersepadu serta mendapat pengiktirafan antarabangsa. Dasar kerajaan Malaysia tentang kepelbagaian biologi memastikan kepelbagaian biologi dijaga, mapan dan memberikan faedah kepada negara. Rakyat Malaysia secara umum mestilah mempunyai pengetahuan tentang kepelbagaian biologi negara, kepentingannya kepada manusia serta ekonomi negara dan bersama-sama menyokong aktiviti perlindungan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi negara.

Malaysia beruntung kerana terletak di kawasan tropika yang mempunyai iklim yang sesuai untuk habitat flora dan fauna. Keadaan suhu dan kelembapan sesuai untuk kehidupan di pelbagai habitat marin, air tawar, tanah lembab, dan tanah tinggi. Keadaan banyak tempat yang tidak tercemar menyediakan habitat terbaik bagi flora dan fauna. Bilangan spesies ini boleh berkurang atau bertambah bergantung kepada bagaimana kita menguruskannya. Kerajaan sudah merancang dengan pelbagai cara daripada polisi, undang-undang dan perancangan pelaksanaan. Peringkat pelaksanaan mungkin terhad sekiranya bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata. Semua rakyat Malaysia mesti mempunyai pengetahuan asas tentang kepelbagaian biologi. Dengan pengetahuan dan kesedaran yang tinggi akan dapat membantu melindungi dan memulihara habitat dan spesies flora dan fauna.

Di Malaysia pada umumnya mungkin sudah ada pendedahan awal di peringkat sekolah namun penghayatan masih belum mantap. Sebab itulah kita masih mendapati cabaran tentang perlindungan habitat dan pemuliharaannya. Masih ada lagi soalan tentang apa kepentingannya kepada negara dan rakyat setempat sekiranya habitat yang dilindungi disimpan. Apa faedahnya hidupan liar seperti gajah, harimau, seladang, tapir dan badak kepada manusia? Cabaran makin kuat apabila negara membangun dengan cepat, persaingan sengit dalam membangunkan tanah untuk perumahan, perindustrian, pertanian dan peluang pekerjaan. Pembangunan aktif yang tidak terancang akan memberi kesan kepada kemusnahan habitat flora dan fauna. Tanpa kajian, pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia seluruhnya tentang kepelbagaian biologi dan kepentingannya, sukar untuk menerangkan dengan jelas kepada semua pihak.

Untuk mendapat sokongan yang lebih daripada rakyat program pendidikan alam semula jadi mestilah lebih agresif lagi sama ada secara formal dantidak formal, melibatkan pelajar sekolah, belia dan orang awam, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penggunaan modul yang sistematik, dan penglibatan semua pihak agensi kerajaan dan swasta. Kurikulum sekolah perlu memberikan penekanan kepada perlindungan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi sebagai warisan negara, mempunyai kepentingan kepada ekonomi negara dalam bidang pertanian, perubatan, sumber air dan udara bersih, kesihatan alam sekitar dan ekopelancongan. Pendidikan tentang kepelbagaian biologi perlulah berterusan diintegrasikan dalam mata pelajaran daripada sekolah rendah hingga sekolah menengah. Di peringkat sekolah menengah mungkin boleh diterapkan lebih maklumat saintifik untuk difahami dan dihayati kenapa kepelbagaian biologi perlu dilindungi dan dipulihara. Aktiviti luar bilik darjah akan lebih menarik minat pelajar dan meninggalkan ingatan yang lama. Modul yang menarik boleh dibangunkan khas bagi setiap sekolah dan guru yang mengendalikan bidang ini juga mestilah dilatih khas agar mempunyai berkemahiran secukupnya. Guru yang mahir dan kreatif dapat menarik minat pelajar dan memberikan kefahaman tentang kepelbagaian biologi.

Bagi menyokong pendidikan yang berkesan, maklumat saintifik terkini terutamanya berkaitan ekologi setempat mestilah lengkap. Maklumat lengkap dapat membantu pendidikan yang berkesan menarik minat pelajar dan memberikan kefahaman yang lebih. Untuk mendapatkan maklumat saintifik di sesuatu kawasan atau habitat, penyelidikan saintifik perlu diadakan secara berkala. Di sesetengah kawasan di Malaysia, agensi kerajaan dan NGO ada menjalankan ekspedisi melibatkan saintis tempatan dan luar negara bagi menyediakan data asas atau menambah data sedia ada. Kita perlukan lebih banyak ahli sains dalam bidang kepelbagaian biologi untuk membuat kajian tentang kehidupan dan habitatnya serta kepentingan ekonomi negara. Untuk menjalankan kajian kita memerlukan penyelidik yang berwibawa, peruntukan kewangan yang mencukupi, kemudahan penyelidikan, sokongan semua pihak. Isu besar untuk menarik minat generasi muda dalam bidang kepelbagaian biologi ialah peruntukan kewangan. Dengan peruntukan kewangan yang mencukupi kita dapat membayar elaun yang kompetitif kepada penyelidik dan kemudahan kerja lapangan. Tanpa bayaran yang kompetitif kita sukar melatih rakyat tempatan yang baik dalam bidang ini.

Kita lihat bidang berkaitan bioteknologi, perubatan, sains sosial dan kejuruteraan menjadi tarikan utama berbanding dengan bidang kepelbagaian biologi kerana bidang berkenaan mempunyai geran yang banyak dan suasana kerja yang berlainan. Mungkin kerajaan tidak mampu membantu sepenuhnya. Pihak swasta boleh terlibat dalam menaja bidang-bidang khusus tentang kepelbagaian biologi. Maklumat kajian tidak boleh berakhir dalam kertas, buku atau laporan sahaja. Maklumat ini mestilah sentiasa dirujuk bagi membantu dalam pihak berkaitan membuat keputusan untuk aktiviti pembangunan.

Pembukaan hutan, pembangunan yang tidak terancang, maklumat tentang kepelbagaian biologi, kesedaran masyarakat dan perhatian pihak berkuasa tentang perlindungan dan pemuliharaan biologi menjadi cabaran berterusan kepada dasar yang kerajaan sediakan. Dasar Kepelbagaian Biologi yang di bangunkan pada tahun 1998 dan di lancar semula pada 2016 akan menjadi sia-sia sekiranya tidak ditangani dengan baik. Dasar Kepelbagaian Biologi (2016-2025) telah menyediakan satu panduan terbaik bagi pemuliharaan kepelbagaian biologi dan kelestariannya. Gabungan antara maklumat penyelidikan, pendidikan, kesedaran awam, perlaksanaan polisi dan penguatkuasaan undang-undang boleh menjamin kelestarian kepelbagaian biologi negara.

 

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain