Purata jumlah hujan tahunan negara adalah tinggi, iaitu antara 2,000mm dan 4,000mm setahun mengikut kawasan berbanding negara-negara beriklim sederhana dan sejuk yang mempunyai purata hujan kurang daripada 2,000mm. Sementara suhu harian adalah hampir seragam sepanjang tahun dengan purata bacaan maksimum sekitar 32°C. Walau bagaimanapun, saban tahun cuaca kita akan berubah mengikut musim berdasarkan kepada corak aliran angin yang bertiup ke negara kita.

Faktor utama yang mempengaruhi pergerakan angin adalah disebabkan berlakunya pemanasan permukaan tanah yang tidak sekata antara bahagian atau hemisfera di utara dan selatan bumi.

Ini berlaku kerana matahari yang merupakan sumber utama haba kepada bumi sentiasa berubah kedudukan sepanjang tahun berikutan posisi bumi yang condong pada sudut 23.5° di atas paksinya.

Bumi sebenarnya bergerak mengelilingi matahari di atas orbit dan melengkapkan satu pusingan selama 365 hari, iaitu bersamaan setahun.

Selepas 21 Mac, matahari secara beransur-ansur akan berganjak ke bahagian utara bumi menyebabkan waktu siang di negara-negara yang berada di sana akan menjadi lebih panjang berbanding malam. Akibatnya, lebih banyak haba akan tertumpu disitu menjadikan kawasan terbabit lebih panas berbanding bahagian selatan bumi. Pada sekitar 22 Jun, kedudukan matahari adalah tegak di atas Garisan Sartan, iaitu garisan lintang yang berada di 23.5° Utara.

Ini menandakan bermulanya musim panas bagi negara-negara yang berada di Hemisfera Utara. Sebaliknya, pada masa yang sama negara-negara di Hemisfera Selatan akan mengalami waktu malam yang lebih panjang dan menerima haba matahari yang lebih sedikit yang membawa kepada berlakunya musim sejuk di sana.

Keadaan bumi yang panas di utara akan menjurus kepada pembentukan kawasan atmosfera bertekanan rendah (L), sementara di Hemisfera Selatan yang lebih sejuk akan membentuk kawasan bertekanan tinggi (H). Perbezaan tekanan yang ketara antara dua wilayah bumi menyebabkan berlakunya pergerakan angin dari kawasan atmosfera bertekanan tinggi ke rendah, iaitu dari selatan ke utara.

Arah pergerakan angin akan terpesong sedikit kesan daripada pergerakan bumi yang sentiasa berputar mengikut arah melawan jam pada paksinya pada kadar 1,670 kilometer (km) sejam atau bersamaan satu pusingan lengkap untuk tempoh 24 jam. Memandangkan negara kita terletak di pertengahan laluan angin berkenaan, maka antara Mei dan sebahagian September, angin yang bertiup ke negara kita adalah dari arah barat daya, iaitu tempoh dikatakan mengalami musim Monsun Barat Daya.

Sepanjang tempoh musim ini, cuaca di negara ini biasanya agak panas dan menerima sedikit hujan kecuali kawasan pantai negeri-negeri utara Semenanjung dan bahagian pantai barat dan utara Sabah. Negara jiran kita seperti Indonesia dan Thailand juga mengalami cuaca yang sama. Keadaan ini boleh mengundang kepada cuaca kering dan masalah kebakaran hutan yang mungkin dapat menghasilkan asap-asap jerebu rentas sempadan.

Cuaca boleh menjadi lebih ekstrem sekiranya ia berlaku bersekali dengan fenomena El Nino, seperti yang berlaku pada tahun 1998 dan 2005. Semasa musim Monsun Barat Daya ini juga, aktiviti siklon tropika di barat Lautan Pasifik adalah sangat aktif.

Selepas 22 Jun, matahari di lihat akan mula beransur-ansur berganjak pula ke selatan bumi. Dalam perjalanan ini, kita sekali lagi akan mengalami fenomena ekuinoks apabila matahari melintasi dan berada tegak di atas garisan Khatulistiwa bumi yang kebiasaannya jatuh pada tanggal 23 September setiap tahun. Selepas itu, ia akan terus bergerak ke Hemisfera Selatan dan pada 22 Disember, matahari dijangka berada tegak di atas garisan lintang 23.5° Selatan, yang juga dikenali sebagai Garisan Jadi.

Pada ketika ini musim panas secara rasmi bermula di Hemisfera Selatan dengan waktu siang lebih panjang berbanding malam, sebaliknya Hemisfera Utara akan mengalami musim sejuk yang mempunyai waktu malam yang lebih panjang daripada siang.

Kesan daripada penerimaan haba matahari yang lebih banyak di selatan bumi dan kurang di bahagian utara menyebabkan angin akan bergerak pula dari Hemisfera Utara menuju ke Hemisfera Selatan antara November dan sebahagian Mac.

Keadaan ini mengakibatkan negara kita akan menerima angin dari arah timur laut , iaitu tempoh di mana negara mengalami musim Monsun Timur Laut atau tengkujuh.

Keadaan cuaca pada awal dan pertengahan musim ini adalah sangat lembab dengan tiupan angin yang agak kencang, terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung dan sebahagian besar Sarawak.

Musim ini juga sering dikaitkan dengan bencana banjir besar yang boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa.

Hujung tahun cuaca tidak menentu

Pada Disember 2014 , negara telah dikejutkan dengan kejadian banjir ekstrem. Kejadian seumpamanya juga dikatakan pernah berlaku sebelum ini, iaitu pada musim tengkujuh tahun 1926 dan 1967. Selain cuaca lembab, negara juga mengalami suhu yang lebih rendah daripada kelaziman pada musim ini berikutan pergerakan angin musim sejuk dari Tanah Besar China ke negara kita. Namun begitu, keadaan cuaca menjadi lebih kering dan panas pada fasa akhir monsun ini.

Selain cuaca buruk yang berlaku dalam musim Monsun Barat Daya dan Timur Laut, negara turut mengalami cuaca buruk ketika berlakunya peralihan musim antara kedua-dua monsun ini, iaitu pada sebahagian September hingga awal November ketika Monsun Barat Daya beralih ke Timur Laut dan pada sebahagian Mac hingga awal Mei apabila Monsun Timur Laut beralih pula ke Barat Daya.

Sepanjang tempoh peralihan monsun ini, keadaan angin adalah lebih tenang dan bertiup dari pelbagai arah berikutan kedudukan matahari yang berada tegak di atas negara kita. Keadaan ini menyebabkan atmosfera menjadi sangat tidak stabil yang boleh membawa kepada pembentukan awan ribut petir yang juga dikenali sebagai awan kumulunimbus.

Awan jenis ini dikategorikan sebagai awan yang paling berbahaya jika dibanding dengan awan–awan lain. Awan ini lazimnya menghasilkan hujan yang sangat lebat dalam tempoh yang singkat dan selalu dikaitkan dengan kejadian banjir kilat. Selain itu, kehadiran awan ini turut disertai dengan angin ribut yang kencang bersama kilat dan guruh yang boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Kejadian hujan lebat dan ribut petir semasa peralihan monsun ini kebiasaannya tertumpu di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dari Perlis 
hingga ke Johor. Fenomena cuaca buruk lain yang biasa berlaku semasa tempoh peralihan monsun termasuklah kejadian hujan batu dan pembentukan belalai air serta puting beliung.

Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa mengawasi keadaan cuaca yang berlaku di seluruh negara dan akan mengeluarkan nasihat atau amaran kepada orang ramai dan pihak berkuasa sekiranya keadaan memerlukan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Bagi mendapat maklumat lanjut berkaitan cuaca semasa dan ramalan akan datang, hubungi talian bebas tol 1-300-22-1638 atau layari laman portal kami di www.met.gov.my.

Fenomena ribut petir

Ribut petir merupakan fenomena cuaca yang boleh berlaku pada bila-bila masa di negara ini. Secara lazimnya ia lebih mudah berlaku pada waktu petang dan senja, akan muncul dengan lebih kerap ketika tempoh peralihan monsun berlangsung.

Ribut petir terhasil daripada awan kumulunimbus yang secara relatifnya adalah bersaiz kecil, iaitu antara 1 dan 10 kilometer lebar, berbanding dengan fenomena cuaca yang lain, seperti siklon tropika, garis badai dan kemarau.

Namun begitu, ia adalah sangat berbahaya terutama kepada operasi penerbangan dan aktiviti harian manusia.

Fenomena ini kebiasaannya menghasilkan angin kencang, kilat dan guruh dan hujan lebat dalam tempoh masa dari setengah jam sehingga ke beberapa jam, bergantung kepada intensiti ribut terbabit.

Situasi ini mungkin boleh mengakibatkan kejadian banjir kilat, pokok tumbang, tanah runtuh dan kerosakan bumbung rumah.

Ribut petir akan terhasil apabila atmosfera berada dalam keadaan lembab dan tidak stabil.

Jangka hayat ribut petir boleh dibahagiakan kepada 3 peringkat iaitu:

- Bermula dengan pembentukan awan kumulus setelah wap udara lembab naik dari permukaan bumi ke altitud yang lebih tinggi dan berubah fizikal menjadi titisan air .

- Awan kumulus akan terus membesar menjadi awan kumulunimbus yang boleh mencapai ketinggian sehingga 15km.

Pada peringkat ini hujan lebat, kilat dan guruh disertai dengan angin kencang yang bergerak secara menegak ke dalam atau keluar daripada awan tersebut akan berlaku.

Pergolakan udara yang kuat di dalam awan terbabit ketika peringkat ini menyebabkan semua pesawat terbang akan mengelak daripada mendekatinya.

- Hujan lebat, kilat serta guruh mulai reda dan awan kumulunimbus akan beransur-ansur lenyap menjadi awan-awan lain yang lebih kecil dan berlapis-lapis.

Artikel sumbangan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)