Sains forensik merupakan satu bidang kajian yang melibatkan ilmu sains seperti kimia, biologi, fizik, teknologi maklumat serta pelbagai lagi.

Bidang itu juga lebih tertumpu kepada kaedah penyiasatan yang berkait rapat dengan makmal, terutamanya pengesanan dan pemadanan asid deoksiribonukliek (DNA).

Kelebihan tersebut membolehkan pihak berkuasa mencari, menangkap serta mendakwa pesalah dengan lebih pantas serta tepat.

Maklumat yang diperolehi merupakan fakta sains yang tidak dapat dinafikan lagi oleh pesalah.

Kini bidang tersebut diperluaskan lagi menggunakan ilmu sains sosial.

Matlamat utama sains forensik adalah untuk mencari bukti di sebalik sesuatu kes.

Bidang ilmu yang sama dimanfaatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam membanteras pelbagai jenayah berkaitan hidupan liar.

Menurut ketua pengarahnya, Datuk Abd. Rasid Samsudin, dalam mendepani cabaran memelihara dan memulihara hidupan liar sehingga kepada aktiviti penguatkuasaan akta, sains forensik dilihat amat penting buat mereka.

Untuk tujuan tersebut, Perhilitan telah menubuhkan Unit Forensik bagi menangani pelbagai isu yang berkaitan.

Antaranya aktiviti penyeludupan, pembiakbakaan tanpa lesen, pengawasan, pemeliharaan, pemuliharaan, penguatkuasaan serta pendakwaan ke atas penjenayah yang terlibat.

“Kita perlu bukti yang kukuh untuk mendakwa penyeludup organ dan bahagian-bahagian haiwan ke dalam mahupun ke luar negara.

“Bagaimana mahu mendakwa mereka jika segala barang bukti (organ, kulit, kuku haiwan dan pelbagai lagi) tidak dapat kita pastikan keasliannya?

“Menerusi unit ini kita akan pastikan produk yang diseludup adalah yang asli agar hukuman yang dikenakan ke atas mereka setimpal dengan kegiatan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.

Jelas Abd. Rashid, buat masa ini unit forensik yang ditubuhkan lebih tertumpu kepada tugas-tugas memantau pemerdagangan hidupan liar sahaja.

“Kita memiliki anggota yang terhad di samping teknologi yang digunakan juga tidak mencukupi bagi menjalankan aktiviti forensik lain.

“Oleh yang demikian kita fokus kepada kes-kes jenayah yang melibatkan hidupan liar, pengecaman dan penentuan spesies yang sah atau tidak sah untuk diperdagangkan terlebih dahulu,” ujarnya.

Tambahnya, unit forensik itu sebenarnya tidak hanya terikat dengan perkhidmatan tersebut sahaja.

Jika terdapat kelapangan, anggota yang terlibat boleh membantu dalam apa jua perkhidmatan berkaitan forensik hidupan liar.

Diketuai oleh Pegawai Penyelidik, Perhilitan, Dr. Jefferine Rovie Ryan Japping sebagai pakar forensik, beliau turut dibantu oleh seorang lagi anggota yang juga pakar di bidang yang sama.

Kedua-dua pakar hidupan liar tersebut kemudiannya bekerjasama dengan 11 lagi anggota lain.

Tujuh anggota daripadanya melibatkan kerja-kerja penyelidikan dan analisis di makmal manakala lima lagi sebagai anggota penguatkuasaan.

Ujar Jefferine, terdapat dua konteks dalam penyiasatan di unit forensik tersebut, pertama pengecaman berbentuk fizikal bagi hidupan liar yang masih hidup, atau masih di dalam bentuk yang sempurna.

“Di sini kita akan meneliti bentuk fizikal dan ciri-ciri yang menjadikan hidupan liar itu berbeza mengikut spesies asal di negara ini atau dari luar negara yang berhampiran.

“Kedua, bukti bukan lagi dalam bentuk asal seperti rampasan yang dilakukan hanya menemukan bahagian-bahagian tubuh badan seperti tanduk, pundi hempedu atau mana-mana bahagian yang berbentuk serbuk mahupun cecair.

“Untuk mendakwa pesalah bagi aktiviti sebegini, bukti yang dikemukakan perlu kukuh dan tepat kerana mahkamah tidak akan menerima bukti yang diragui kesahihannya,” katanya.

Ditubuhkan pada 2008, unit tersebut telah melaksanakan tugasan mereka dengan jayanya sehingga diperakui berkesan dalam membantu membanteras jenayah berkaitan hidupan liar.

Kejayaan demi kejayaan memerlukan pasukan tersebut diperhebat dan kini sebuah makmal khas telah dibina bagi tujuan itu.

Dikenali sebagai Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (NWFL), kemudahan itu bakal memperluaskan skop pasukan dan tidak lagi tertumpu kepada tugas-tugas penyiasatan berkaitan pemerdagangan sahaja.

“Buat masa ini pihak kami memang fokus kepada tugas-tugas tersebut, namun pada masa akan datang kami perlu melaksanakan pelbagai tugas lain berkaitan pengumpulan data DNA haiwan liar tempatan, pengecaman baka tempatan, penentuan asal hidupan liar dan pelbagai lagi.

“Sebelum ini, segala proses penentuan DNA hidupan liar perlu dihantar ke Jabatan Kimia namun memerlukan jangka masa yang agak lama kerana jabatan tersebut memiliki komitmen tugas yang lain.

“Oleh yang demikian Perhilitan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan pasukan forensiknya sendiri untuk melaksanakan tugas-tugas khas tersebut,” katanya.

Tambah Jefferine, pasukannya telah mengumpulkan beratus spesimen sebagai koleksi DNA bagi membantu siasatan.

Data yang diperoleh daripada spesimen tersebut akan digunakan untuk proses pengecaman hidupan liar daripada spesies tempatan atau luar negara.

Sebagai contoh, Malaysia seringkali dijadikan sebagai negara transit dalam pemerdangan haiwan liar seperti biawak dan tenggiling yang diseludup masuk dari negara jiran sebelum dipasarkan ke seluruh dunia.

Kemudahan pengangkutan serta jalan raya yang baik di negara ini menyebabkan penyeludup gemar melakukan aktiviti jenayah tersebut di negara ini kerana lebih pantas untuk bergerak.

Bagaimanapun, bagi menangani masalah jenayah merentasi sempadan tersebut, Perhilitan terutama Unit Forensik turut bekerja sama dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura serta negara-negara Asia lainnya.

Makmal forensik yang dijangka beroperasi bermula tahun hadapan tersebut itu merupakan kemudahan yang terbesar dan pertama di rantau Asia seumpamanya.

Dicatatkan bahawa unit tersebut menganalisis hampir 1,000 sampel setahun untuk pelbagai tujuan dan kes.

Untuk tujuan penting dan kecemasan, unit tersebut mampu mendapatkan keputusan analisis sepantas tujuh hari daripada tarikh penyerahan sampel.

“Kebiasaannya untuk analisis biasa, kami mengambil masa selama sebulan mahupun kurang untuk mendapatkan keputusan,” katanya.

Di masa akan datang, unit tersebut akan melaksanakan pelbagai lagi kajian serta penyelidikan berkaitan pengecaman dan analisis DNA haiwan liar.

Kajian yang dilakukan turut memfokus kepada pengecaman spesies hibrid sehingga kepada individual, terutamanya bagi spesies harimau belang.

Sebagai contoh, terdapat dua ekor harimau yang disimpan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak dikenalpasti merupakan harimau kacuk daripada dua spesies berbeza.

Meskipun ciri ciri fizikal harimau tersebut yang dipercayai kacukan bengal dan siberia, berbeza dengan spesies asli seperti warna bulu yang agak pudar, kaedah sains forensik akan digunakan untuk tujuan pengesahan.

Analisis forensik juga digunakan untuk menentukan keaslian sesuatu spesies untuk tujuan pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan liar.

Seterusnya, proses menyimpan baka hidupan liar yang terdiri daripada sampel semen daripada induk jantan.

Sehingga kini, hanya 24 peratus persampelan yang terdiri daripada tisu, kulit, darah, tulang, bulu, gading dan lain-lain diambil bagi keseluruhan spesies hidupan liar di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Perhilitan Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tanpa kemudahan forensik, pengawalan terhadap penyeludup agak sukar dilakukan.

Ujarnya, penyeludup kini berani menjual produk berasaskan hidupan liar secara terang-terangan kerana merasakan mudah terlepas daripada hukuman kerana bukti-bukti yang tidak jelas.

Katanya, pelbagai kaedah dicipta penjenayah bagi mengeliru dan mengaburi mata pihak berkuasa dalam negara.

Aktiviti tersebut jika tidak dibendung lambat laun hidupan liar yang merupakan khazanah negara pasti akan pupus. Kekerapan operasi yang dilaksanakan Perhilitan memaksa penyeludup dan pengedar kulit serta hasil hidupan liar mula mengubah modus operandi mereka dengan mengimport barangan tersebut dari negara luar.

Dalam satu operasi rampasan sebelum ini, Perhilitan berjaya menumpaskan satu sindiket membekal dan menjual kulit dan hasil hidupan liar di sekitar ibu negara.

Tambah Abdul Kadir, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis hasil hidupan liar antaranya kulit, kuku, gigi dan tapak kaki yang disyaki milik harimau belang.

Selain itu mereka turut menemukan bulu yang disyaki sebagai bulu gajah dan aksesori perhiasan dibuat daripada bahan tersebut.

“Kesemua barangan ini disyaki dibawa masuk dari India, namun sesetengahnya didapati palsu atau disyaki merupakan kulit haiwan lain yang diwarnakan,” katanya.

Terdapat sesetengahnya yang didakwa sebagaikulit harimau disyaki adalah kulit anak lembu yang telah dikering dan diwarnakan.

Bagaimanapun kesahihan barangan tersebut akan ditentukan oleh Unit Forensik Perhilitan.