“Kita antara negara yang memiliki lunas undang-undang yang terbaik berkaitan pengurusan perhutanan di dunia.

“Bagi memastikan sumber alam ini terus berkekalan sehingga ke anak cucu, laksanakannya dan bertegas,” ujar pakar perhutanan, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor.

Beliau berkata demikian sebagai respon ketika diajukan isu penggunaan tanah dan pembalakan yang semakin berleluasa dalam negara sehingga memberi impak negatif.

Banyak malapetaka berkaitan alam sekitar seperti kejadian banjir besar, tanah runtuh di samping keadaan cuaca yang kian tidak menentu menjadi bukti betapa khazanah alam semakin dipinggirkan.

Ramai dalam kalangan masyarakat amat sedar akan kepentingan hutan namun keadaan sebaliknya berlaku apabila hutan semakin berkurangan dalam negara.

Jelas Dr. Salleh yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), segala prosedur dan tatacara dalam menguruskan sumber hutan di negara ini adalah lengkap namun terdapat berapa ruang yang masih perlu diberi perhatian.

“Kuasa menentukan proses mengambil balak atau penggunaan tanah adalah tertakluk kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah sebagai penasihat.

“Hutan dan minyak umpamanya merupakan sumber ekonomi mudah kepada negeri-negeri yang memilikinya dalam negara, namun sumber itu semakin berkurangan dan perlu dipelihara sebaik mungkin,” ujarnya.

Pengeluaran balak secara sah akan melalui beberapa prosedur yang ketat dan tidak ditebang habis.

Terdapat dirian hutan yang tidak mencukupi saiz, pokok ibu dan pokok-pokok tertentu akan ditinggalkan untuk dituai semula pada pusingan seterusnya iaitu selepas antara 25 hingga 30 tahun bergantung kepada keadaan hutan itu.

Namun, adakah dirian hutan yang ditinggalkan tersebut mencukupi untuk menampung keperluan sesebuah hutan itu untuk pulih semula.

Perkara tersebut turut dibangkitkan oleh Dr. Salleh dan beliau turut menyentuh tentang kesedaran pihak yang terlibat di dalam proses pengeluaran balak.

“Terdapat di sesetengah tempat apabila pembalakan dilakukan secara berleluasa (tebang habis), mereka ini kadang-kala tidak pernah memikirkan kesan dan akibat apabila kawasan hutan itu dibuka.

“Contohnya untuk dijadikan tanah pertanian, sebelum pokok atau tumbuhan yang ingin ditanam, kawasan terbuka akan terdedah dengan begitu lama dan sering berlaku hakisan, tanah runtuh dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya kesan negatif akibat amalan tersebut tidak akan dirasai oleh pemaju dan pembalak yang telah kaya raya namun diterima oleh masyarakat setempat yang mendiami kawasan tersebut.

“Memang pembalakan berlaku di kawasan tanah tinggi, di hulu-hulu sungai dan kawasan pendalaman, namun kesan negatif seperti banjir lumpur, cuaca panas akan diterima mereka yang tinggal sepanjang jajaran sungai dan kawasan berdekatan.

“Bahkan, kesan negatif tersebut kadang-kala lebih teruk berlaku di kawasan hilir yang tiada mengenai langsung dengan kawasan pembalakan di hulu.

“Mereka ini (pemaju dan pembalak) bukan tinggal di kawasan ini dan tidak terkena pun dengan kesan negatif akibat pembukaan kawasan hutan secara berleluasa,” katanya.

Jelasnya, mereka semakin kaya dan hidup selesa namun sebaliknya berlaku kepada orang kampung dan masyarakat sekeliling yang hidup sederhana terpaksa menanggung musibah akibat perbuataan tersebut.

Justeru, Dr. Salleh mencadangkan agar pihak-pihak yang terlibat tersebut perlu dikenakan cukai alam sekitar agar hasil kekayaan yang diperoleh dapat dikembalikan semula kepada alam dan masyarakat setempat yang terkesan akibat pembalakan.

“Contohnya jika berlaku bencana alam segala rumah dana harta benda rosak ini perlu diperbaiki, justeru di sini perlunya dana daripada cukai tersebut digunakan untuk membaik pulih dan membantu mangsa yang terlibat,” katanya.

Katanya, apabila berlaku musibah seperti banjir segala bantuan perlu disediakan oleh kerajaan dan sedikit sebanyak daripada orang ramai yang prihatin.

Di mana pihak-pihak yang terlibat dengan kerja-kerja ‘pembersihan’ hutan yang banyak menyumbang kepada faktor terjadinya bencana alam tersebut?

“Semunya lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab dan berdiam diri, justeru kita kenakan cukai alam sekitar kepada mereka-mereka ini di samping cukai yang sedia ada turut dikekalkan.

“Bahkan bukan sahaja kepada pihak-pihak yang terlibat dalam sektor pembalakan dan pertanian namun perlu diperluaaskan seperti pengeluar dan pengguna yang tidak menggunakan produk tidak mesra alam,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau hasil daripada pembalakan sebenarnya tidak seberapa diterima oleh negara.

Dianggarkan sektor pembalakan hanya menyumbang sekitar RM20 billion berbanding dengan sektor pertanian lain seperti sawit yang menyumbang sebanyak RM600 billion.

Oleh yang demikian hasil Rm20 billion tersebut boleh diperoleh tanpa perlu mengorbankan hutan sedia ada dengan mewujudkan ladang-ladang hutan.

Pengeluaran kayu menerusi ladang hutan juga lebih tinggi berbanding hutan semulajadi.

Untuk mewujudkan ladang hutan, penggunaan tanah terbiar lebih disyorkan berbanding membuka kawasan hutan semulajadi bagi menjamin kelestarian hutan sedia ada.