Pada hari ini, banyak golongan menganjurkan pelbagai golongan antaranya mahasiswa universiti. Sebagai contoh, sekumpulan pelajar berkunjung ke Terengganu baru-baru ini atas tujuan menjayakan sebuah program kemasyarakatan yang dinamakan Kembara Sukarelawan 2018. Kumpulan berkenaan mendapat sokongan dan subsidi dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaya.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada sukarelawan mengenai peranan yang boleh dimainkan dalam aspek kelestarian alam, terutama berkaitan pengurusan ekosistem dan biodiversiti pesisiran pantai.

Program anjuran Sekretariat Sukarelawan UM (Sekrum) itu turut bekerjasama dengan Pertubuhan Sukarelawan Siswa Universiti Sultan Zainal Abidin (Persis Unisza), dan Kelab Penyayang Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Mereka terdiri pelajar UM seramai 31 orang, UMT (17 orang) dan Unisza dianggarkan seramai 18 orang.

Seorang sukarelawan program, Nur Syazwani Ezzaty Azman, 21, Kembara Sukarelawan ini merupakan program tahunan Sekrum, dan kali ini kelab berkenaan memilih Terengganu bagi melihat secara dekat aspek berkaitan pengurusan pantai dan pemuliharaan spesies penyu.

Pantai Rantau Abang di Terengganu merupakan salah sebuah lokasi utama pendaratan penyu belimbing di dunia, namun populasinya semakin menurun sejak 1960-an.

“Usaha pemuliharaan yang diuruskan oleh Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) ini membolehkan kami menimba pengalaman yang diperlukan dalam aspek pengurusan dan pentadbiran tugas-tugas sukarelawan yang berkaitan kelestarian alam,” katanya yang merupakan mahasiswa tahun kedua Fakulti Kejuruteraan UM.

Peserta turut mengambil peluang menjalankan kerja-kerja pembersihan sepanjang kira-kira dua kilometer Pantai Rantau Abang, dan berjaya mengutip hampir 10 beg sampah.

“Kebanyakan sampah yang dikutip adalah plastik daripada bekas dan pembalut makanan dan minuman, sama ada yang dibuang di pantai atau dihanyutkan oleh ombak.

Bahan buangan sebegini adalah berbahaya untuk kehidupan marin, terutama penyu, kerana mengganggu habitat dan pemakanan mereka.

“Masalah tersebut bertambah rumit untuk penyu kerana mereka perlu mengambil masa berdekad-dekad lamanya untuk menjadi dewasa dengan sihat, sebelum mampu untuk membiak,” kata Nur Syazwani Ezzaty lagi.

Yang Dipertua Sekrum, Muhammad Irsyad Zaini, 23, berkata, peserta juga berpeluang mendengar taklimat oleh pegawai Tumec mengenai usaha yang dijalankan bagi memulihara populasi penyu belimbing selain membersihkan kawasan kolam yang digunakan bagi menjaga anak-anak penyu sebelum dilepaskan ke laut.

“Walaupun anak-anak penyu yang dilepaskan kelak tetap bakal menempuhi cabaran yang sama dalam usaha mereka untuk membesar di laut yang luas, namun sekurang-kurangnya usaha penetasan dan penjagaan anak penyu itu telah meningkatkan kebarangkalian mereka untuk hidup.

“Antara halangan utama kepada kelangsungan hidup populasi penyu adalah disebabkan oleh kerakusan manusia yang mencuri telur penyu dari sarangnya untuk dijual, dan keadaan persekitaran pantai yang tidak kondusif untuk mereka bertelur,” katanya yang merupakan mahasiswa tahun ketiga Fakulti Bahasa dan Linguistik UM.

Ketiga-tiga pihak yang terlibat sebenarnya telah lama menjalinkan hubungan menerusi program sukarelawan yang dianjurkan sebelum ini.

Sukarelawan daripada pelbagai universiti turut berkumpul dan dari situ mulanya detik perkenalan antara sukarelawan daripada universiti berkenaan.

Bukan itu sahaja, sukarelawan daripada UMT dan Unisza pernah menganjurkan aktiviti sukarelawan di Kuala Lumpur dan menetap seketika di UM.

Oleh itu, Sekrum membuat kunjung balas untuk mengenali aktiviti sukarelawan yang mereka pernah anjurkan dan pada waktu yang sama, menjalankan aktiviti sukarelawan di negeri Terengganu.

Program ini juga bertujuan bagi mengeratkan hubungan antara tiga universiti program tersebut mendapat sokongan dan subsidi dari Bahagian HEPA universiti.

Selain itu, pelajar berkenaan mencari pendapatan sendiri antaranya dengan membuat jualan dan sebagainya bagi memastikan projek yang dianjurkan dapat berjalan dengan lancar dan mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi menampung segala perbelanjaan yang diperlukan.

Tumec terajui pemuliharaan penyu

TUMEC merupakan salah sebuah daripada enam pusat pemuliharaan penyu bawah Jabatan Perikanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Antara lainnya, Tumec bertanggungjawab melabel penyu yang berjaya ditetaskan, menjaga anak penyu sehingga cukup dewasa untuk dilepaskan, dan melakukan penyelidikan-penyelidikan berkaitan kelangsungan kehidupan penyu, termasuk dari aspek perikanan dan pemanasan global.

Penasihat Sekrum, S. Ramlee Shamsuddin berkata, pihaknya berhasrat membantu usaha universiti dalam melahirkan siswazah holistik yang mampu menggalas tanggungjawab dalam memainkan peranan mereka kepada masyarakat.

“Program seperti Kembara Sukarelawan ini akan membekalkan mereka dengan pengalaman praktikal dalam urus tadbir sesebuah organisasi sukarelawan yang melaksanakan tugas berimpak besar.

“Selain itu, program sebegini juga akan membiasakan mereka agar terus berusaha bersungguh-sungguh dalam menjayakan kerja sukarelawan, biar sekecil mana pun usaha itu dilihat,” katanya yang juga Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada Nurul Huda Mohammad A’zlan menerusi e-mel [email protected]