Keadaan tersebut merupakan salah satu kelebihan yang membolehkan hujan hutan kekal selama berjuta tahun sejak awal kewujudan bumi.

Bagaimanapun jika tidak dibantu, proses pemulihan sesebuah kawasan hijau itu memerlukan jangka masa yang panjang.

Manusia merupakan antara penyebab berlakunya kemusnahan hutan, justeru manusia jugalah seharusnya bertanggungjawab memulihkannya.

Kesedaran tersebut telah lama tersemat dalam kalangan warga Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan salah seorang daripada pendidik tersebut, Prof. Datuk Dr. Nik Muhamad Nik Abd. Majid telah berusaha menghijaukan semula kawasan yang tandus dengan pokok.

Menurut pensyarah kanan Fakulti Perhutanan itu, antara projek yang diusahakan adalah aktiviti penanaman semula pokok tropika di UPM dan kawasan sekitarnya.

“Program ini telah lama kita laksanakan, iaitu sejak 25 tahun dulu apabila UPM menandatangani perjanjian bersama Universiti Kebangsaan Yokohama (YNU) dengan tajaan Mitsubishi Corporation.

“Projek pertama yang dilaksanakan adalah Projek Ujian Regenerasi Hutan Tropika di Bintulu Sarawak dan projek tersebut menunjukkan kejayaan apabila kawasan hutan yang ditanam semula kembali menghijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Penanaman Pokok Mitsubishi Corporation sempena Jubli Perak ke 25 UPM baru-baru ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut adalah Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris dan Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Aini menjelaskan kerjasama selama 25 tahun di antara UPM dan Mitshubishi Corporation sejak tahun 1991 dalam projek-projek rehabilitasi hutan merupakan usaha serta komitmen kedua-duanya dalam memastikan alam sekitar lebih menghijau.

“Majlis penanaman pokok yang diadakan pada tahun ini juga adalah bersempena dengan sambutan Hari Hutan Sedunia iaitu pada 21 Mac setiap tahun.

“Tema bagi tahun ini adalah Hutan dan Air dan apa yang diharapkan dengan mewujudkan semula kawasan berhutan ini akan kita juga dapat membina semula fungsi ekologi dan perkhidmatannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, menerusi projek-projek penanaman semula itu, aliran anak sungai juga akan tercipta secara semula jadi malah flora dan fauna juga akan kembali memeriahkan kawasan tanah yang tandus selama ini.

Pada majlis itu, sebanyak 5,000 anak benih pokok yang diancam kepupusan ditanam oleh hampir 400 peserta yang terdiri daripada petugas Mitsubishi Corporation dan Pusat Kajian dan Konservasi Hutan Hujan Tropika, Biodiversiti Antarabangsa, pelajar dan juga petugas UPM.

Sebanyak 5,000 anak benih pokok yang ditanam tersebut mewakili hampir 20 spesies yang telah disenaraikan di bawah IUCN (International Union for Conservation of Nature).

Lebih menarik, lokasi penanaman tersebut merupakan satu-satunya lokasi yang memiliki pelbagai spesies terancam ditanam dalam satu kawasan.

Projek yang telah dilaksanakan sepanjang 25 tahun itu juga mencatatkan penglibatan hampir 10,000 peserta dan telah menaikan kedudukan UPM sebagai universiti terkemuka di negara ini.

Usaha itu juga berjaya menempatkan UPM di kedudukan 17 antara 407 universiti di seluruh dunia dalam Green Metric World University Ranking bagi mempromosi kemampanan menerusi teknologi hijau dan konservasi alam sekitar.

Penerusan projek tersebut juga adalah berdasarkan kejayaan projek mengembalikan semula hutan semulajadi di Jepun dan menerusi maklumat yang diperoleh dalam kajian dan pemerhatian yang dilakukan ke atas hutan-hutan sekitar Asia Tenggara sejak tahun 1978.

Sejak projek itu dilaksanakan, sekurang-kurangnya hampir setengah juta anak benih daripada 130 spesies pokok tempatan dari Sarawak telah ditanam di Kampus UPM Bintulu, Sarawak.

Kini, kawasan penanaman tersebut telah berubah menjadi satu ekosistem hujan yang matang dan telah menjadi tapak contoh kejayaan proses rehabilitasi hutan ke atas kawasan terbiar dan tandus.

Dalam pada itu, projek penanaman semula tersebut merupakan salah satu proses menyedarkan orang awam tentang kepentingan alam sekitar perlu dipelihara sebaik-baiknya.