Apabila terkait dengan usaha mencintai alam semula jadi, antara pendekatan terbaik untuk memupuknya dalam kalangan generasi muda adalah dengan memberikan pengalaman sebenar di lapangan.

Usaha ini bukan sahaja mendedahkan mereka dengan pelbagai teknik kajian lapangan dan asas penyelidikan berkaitan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, malah mungkin akan mencambah minat mereka untuk menjadi saintis dalam bidang ekologi dan biodiversiti.

Sehubungan itu, Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares) telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah kursus semasa cuti, khusus untuk kanak-kanak sekolah rendah dan menengah yang dinamakan Kem Tropika UM, bagi mendidik remaja mengenali dan memelihara alam semula jadi di luar bilik darjah.

Kursus ini menawarkan modul pembelajaran luar kelas selama tiga hari dua malam bertempat di kampus UM dan juga Pusat Pengajian Luar UM yang terletak di Ulu Gombak, Selangor.

Pelbagai aktiviti yang memberi pendedahan peserta secara langsung kepada kaedah penyelidikan alam sekitar ini telah diatur, termasuklah lawatan pembelajaran plot ekologi, kaedah persampelan serangga air dan darat, pengukuran kualiti air, pemerhatian haiwan dan serangga nokturnal pada waktu malam, dan lawatan ke pelbagai muzium di kampus UM.

“Saya sangat gembira kerana kem ini memberikan saya satu pengalaman baharu yang sangat berguna dan amat membantu untuk pembelajaran saya, terutamanya bagi subjek sains, dan penjagaan alam semula jadi,” kata Sam Lee Yu Seong, 11, pelajar Seri Insan Borneo School, Sabah yang mengikuti Kem Tropika UM baru-baru ini.

Menariknya, perjalanan kem dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan terlatih yang terdiri dari mahasiswa UM.

Seorang sukarelawan yang terlibat, Muhamad Redhza Rasidi, yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan sains dan teknologi UM berkata, kem tersebut memberi peluang kepadanya mempraktikkan apa yang dipelajari di bilik kuliah, dan membantu secara langsung dalam proses pendidikan masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kualiti flora dan fauna.

Katanya, peserta telah bermalam di dalam khemah semasa berada di Ulu Gombak, dan berpeluang meninjau dan memerhati secara dekat beberapa spesies serangga akuatik, termasuklah labah-labah air (water striders dari keluarga gerridae), dan serangga Mayfly (yang kelihatan seakan-akan pepatung).

Peserta turut diminta merekodkan pelbagai maklumat mengenai pokok secara berkumpulan, termasuk nama spesies, saiz, dan habitat persekitaran. Kebanyakan pokok yang ditemui adalah dari keluarga Dipterocarpaceae seperti kapur dan keruing.

Setakat ini, kem ini telah dilaksanakan sebanyak enam kali, dengan jumlah penyertaan seramai 200 orang pelajar sekolah dan para pelajar pertukaran UM dari Korea, Indonesia, Filipina, Turki, Pakistan, Thailand dan Jepun.

Peserta dikenakan yuran yang berpatutan, bagi menampung kos penginapan, pengangkutan, makan minum dan aktiviti lasak.

Maklumat lanjut mengenai Kem Tropika UM ini boleh didapati dengan melayari www.umcares.edu.my atau dengan menghantar emel ke [email protected]