Terdapat lebih 1,000 spesies kelawar yang terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk di dunia. Secara dasarnya, keluarga ini dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan saiz tubuh kelawar, iaitu megachiroptera (kelawar bersaiz besar atau keluang) dan microchiroptera (kelawar biasa). Kebanyakan keluang memakan buah-buahan, manakala kelawar memakan serangga kecil. Menariknya, terdapat tiga spesies kelawar di benua Amerika yang menjadikan darah haiwan lain sebagai sumber makanan.

Kebanyakan spesies kelawar tinggal di kawasan tropika, namun turut dijumpai di kebanyakan kawasan lain di dunia, kecuali di kawasan kutub, pulau yang terpencil, dan di kawasan pergunungan yang tinggi.

Bagi negara beriklim Khatulistiwa seperti Malaysia, hampir 50 peratus spesies mamalia adalah terdiri daripada keluarga kelawar.

Jumlah sebesar ini menjadikannya salah sebuah agen terpenting dalam pengekalan biodiversiti yang sihat dan seimbang. Atas kesedaran itu, sekumpulan penyelidik dari Institut Sains Biologi, Universiti Malaya (UM) yang diketuai Prof. Madya Dr. Rosli Ramli bekerjasama dengan rakan penyelidik dari Universiti Pertanian China, Beijing, China untuk merekodkan keseluruhan spesies kelawar yang ada di Semenanjung Malaysia.

“Usaha ini merupakan yang pertama seumpamanya, dan bakal memberi impak yang besar, terutama dari aspek pemuliharaan dan kelestarian biodiversiti negara untuk jangka masa panjang,” kata Lim Voon Ching, penyelidik UM yang menjelajah ke pelbagai kawasan di seluruh pelosok Semenanjung Malaysia bagi menjejak kesemua spesies kelawar yang ada.

Menurut Voon Ching, senarai spesies kelawar yang disediakan sebelum ini hanyalah terhad kepada kawasan tertentu seperti Pusat Perlindungan Hidupan Liar Krau, Pahang dan Hutan Simpan Ulu Gombak, Selangor atau menjangkaui kawasan yang lebih luas, seperti Indochina.

“Senarai yang lengkap dan khusus untuk Semenanjung Malaysia, terutama kehadiran spesies di lokasi tertentu, amat diperlukan jika sebarang usaha pemuliharaan kelawar ingin dijalankan pada masa hadapan,” katanya.

Selain penelitian rekod sejak kurun ke-19 hingga kini, penyelidik juga menghabiskan masa mendapatkan sampel dan contoh spesies kelawar di pelbagai lokasi.

Hasilnya, kumpulan penyelidik ini telah berjaya menyenaraikan sekurang-kurangnya 110 spesies kelawar yang boleh didapati di Semenanjung Malaysia.

Terdapat tujuh spesies yang dijumpai hanya sekali dalam keseluruhan rekod, termasuklah kelawar kupu-kupu (Kerivoula picta) dan Marshall’s horseshoe bat (Rhinolophus marshalli), yang kemungkinan besar menunjukkan kepupusan spesies tersebut, atau keperluan kepada usaha pemuliharaan yang segera. Terdapat juga 18 spesies kelawar yang rekodnya hanya dijumpai sebelum tahun 2000, menandakan pengurangan jumlah populasi yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.

Penyelidikan ini juga membuktikan sesetengah spesies kelawar hanya mendiami beberapa kawasan yang khusus sahaja, seperti gua, bukit batu kapur, pulau, gunung, dan hutan simpan. Proses urbanisasi, pertanian moden, dan pembangunan yang drastik dilaporkan sebagai faktor-faktor utama pengurangan habitat yang sesuai untuk keluarga kelawar ini.

Kelawar lekagul (Hipposideros lekaguli) contohnya, direkodkan untuk kali terakhir di Gunung Keriang, Kedah pada 1982, sebelum gua tempat spesies kelawar ini bersarang musnah disebabkan aktiviti perlombongan batu kapur bagi industri pembinaan dan hartanah.

“Selain penyenaraian rekod spesies, kumpulan kami juga menyumbang kepada usaha penyelidik sedunia dalam melengkapkan maklumat untuk sistem Barcode of Life Datasystems (BOLD).

Sistem ini merupakan pangkalan data untuk kod bar asid deosiribonukleik (DNA) ke semua hidupan yang ada di dunia.

“Menerusi penyelidikan yang kami jalankan, lebih 60 spesies kelawar belum lagi dimasukkan kod barnya ke dalam sistem BOLD.

“Ini menunjukkan keluasan kepelbagaian biodiversiti yang ada di negara kita,” kata Dr. Rosli.

Secara keseluruhannya penyelidikan ini membuktikan kepentingan usaha yang berterusan dalam menentukan kewujudan atau kepupusan spesies kelawar yang lain di Semenanjung Malaysia, selain pengenalpastian kawasan tertentu untuk kerja-kerja pemuliharaan yang mungkin diperlukan untuk spesies kelawar di kawasan tersebut.

Maklumat lanjut boleh didapati daripada Lim Voon Ching melalui e-mel [email protected]