Sesiapa juga yang menyertai lawatan berpakej ke Tasik Kenyir, Hulu Terengganu mereka pastinya akan melalui pengalaman yang sama bermain dengan spesies ikan kelah yang begitu banyak seolah-olah menakluki Sungai Petang. Ribuan ikan itu bermain dan menjadikan Lubuk Kejor di Sungai Petang sebagai sarang mereka menanti kunjung pelawat.

Bagi yang menaiki bot laju dari Pangkalan Gawi jarak perjalanan mengambil masa kira-kira sejam setengah dan apabila sampai Pos Kawalan Santuari Kelah satu taklimat ringkas akan diberikan.

Taklimat tersebut menyentuh mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan sepanjang perjalanan dan ketika berada bersama ikan, antaranya dilarang merokok, memusnahkan tumbuhan dan menganggu ikan. Selesai taklimat, pengunjung dibawa menaiki bot ke Hentian 1 yang mengambil masa kurang sepuluh minit.

Letih berjalan kaki sejauh 1.7 kilometer melalui trek khas merentas hutan dengan bunyi air sungai mengalir dan menaiki jambatan gantung pastinya bertukar seronok dan berbaloi apabila tiba di Lubuk Kejor dan disambut meriah.

Bunyinya kedengaran seolah-olah perjalanan agak lama tetapi tidak terasa kepenatannya dengan rimbunan pepohon redup menghiasi pandangan sepanjang perjalanan ke lubuk berkenaan.

Setiap kumpulan pengunjung hanya diberi masa selama 60 minit setiap sesi berada di lubuk tersebut dan pusat pemuliharaan dan rekreasi ini hanya mengehadkan seramai 80 orang pengunjung saja setiap hari.

Menurut salah seorang petugas, Nurul Syazwani Ismail, sebanyak lebih lima ribu ekor ikan kelah dengan lima spesies utama seperti Kelah Merah, Kejor dan Tengas berjaya direkodkan. Bukan sahaja kelah, terdapat beberapa spesies lain seperti lampam dan ikan daun turut kelihatan.

“Kaedah pengepungan dilakukan untuk memerangkap ikan kelah yang berada di sini. Ada yang bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Semasa memberi makan, ikan kelah kelihatan agak agresif menerpa makanan, tetapi kawanan ini tidak menggigit pengunjung hingga mengakibatkan kecederaan teruk,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kehadiran spesies ikan kelah merah paling menarik perhatian. Di pasaran gelap, ikan kelah merah hidup boleh dijual ratusan ringgit dan kadang-kadang mencecah hingga ribuan ringgit sekilogram kerana permintaannya yang tinggi.

Selain terkenal dengan pelbagai aktiviti menarik seperti meneroka gua, berkelah di pergigian air terjun, mandi tasik dan memancing, aktiviti bermain dengan ikan kelah di Santuari Kelah, Sungai Petang merupakan antara aktiviti paling menarik. Harga tiket dijual RM10 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan RM15 untuk warga asing. Waktu operasinya pula dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Terletak kira-kira 21 Kilometer dari Jeti Pengkalan Gawi, kawasan seluas 407 hektar ini dibangunkan dan diselia oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Tujuan utama santuari ini dibangunkan adalah sebagai salah satu usaha pemuliharaan spesies ikan kelah yang semakin terancam selain mempromosi aktiviti rekreasi sebagai galakan tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.

Tasik Kenyir telah lama diketahui sebagai sebuah tasik buatan manusia yang terletak di Hulu Terengganu. Bersempadan dengan bahagian barat negeri Kelantan dan bahagian selatan negeri Pahang dengan keluasan lebih 38 ribu hektar, Tasik Kenyir dikenali sebagai pusat pelancongan akua eko yang kaya dengan Hutan Hujan Tropikanya menjangkau usia 130 juta tahun.