Usaha gigih dan kentalnya menyedarkan masyarakat dan kerajaan dalam melindungi hutan yang masih berbaki sedikit pada hari ini akhirnya menobatkan beliau sebagai penerima Anugerah Merdeka baru-baru ini.

Menghabiskan hampir seumur hidupnya untuk berjuang mempertahan khazanah hijau negara membuatkan tokoh ini begitu disegani rakan dan taulan.

Dr. Salleh menerima Ijazah Sarjana Perhutanan dari Universiti Adelaide, Australia, sarjana dan doktor falsafah dan pula dari Michigan State University, Amerika Syarikat.

Antara yang bertanggungjawab mewujudkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta mengetuai institut itu selama 10 tahun, Dr. Salleh begitu teguh mempertahan prinsipnya.

Jelasnya, khazanah negara (hutan) itu tidak boleh ditukar ganti dengan apa jua pembangunan kerana potensinya dalam pelbagai bidang dan keperluan manusia terlalu besar.

“Tidak kita lihat antara sumber utama untuk kehidupan seperti air ditadah dan ditapis secara semula jadi oleh hutan.

“Hutan kita merupakan hutan yang tertua di dunia dan memiliki pelbagai potensi seperti perubatan yang masih banyak belum diterokai atau ditemui,” katanya ketika di temui di ibu negara baru-baru ini.

Selain pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah FRIM, Dr. Salleh juga turut aktif dalam Persatuan Pencinta Alam (MNS) iaitu hampir 30 tahun.

Selain menyandang jawatan Presiden MNS, Dr. Salleh juga pernah memegang jawatan Presiden IUFRO (International Union of Forest Research Organizations) dari tahun 1991 hingga 1995, ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan pelbagai lagi.

Usaha Dr. Salleh dalam menyelamatkan kawasan hutan amat besar, antaranya adalah usaha mewartakan Taman Negeri Endau Rompin dan Taman Negeri Royal Belum.

Di FRIM, Dr. Salleh antara mereka yang giat mendokumentasikan pokok-pokok yang belum dikenal pasti dari seluruh negara.

“Usaha ini masih diteruskan oleh FRIM sehingga kini kerana masih banyak spesies pokok yang belum dikenal pasti.

“Hal ini kerana jumlah saintis yang melakukan penyelidikan terhadap tumbuhan hutan amat kurang,” katanya.

Katanya, pakar dalam satu-satu bidang pengkhususan juga dahulu kurang sebelum FRIM ditubuhkan dan kini institut itu boleh berbangga kerana terdapat hampir 80 orang saintis dengan disokong oleh 180 pegawai penyelidik lain.

Dr. Salleh juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab memperkenal kajian sosiologi dalam bidang perhutanan.

Selain itu, Dr. Salleh berjaya mencipta rekod rakyat Malaysia tertua yang mendaki Gunung Everest pada November 2012.

Selain itu, dia juga merupakan antara saintis tempatan yang membuka peluang Malaysia terlibat dalam penyelidikan di Antartika menerusi program ATS (Antartic Treaty System).

Program tersebut dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu iaitu Tuanku Mizan Zainal Abidin yang kemudiannya dinamakan sebagai Program Kajian Antartika Malaysia.

Dr. Salleh kini dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Atas usahanya yang tidak mengenal erti putus asa melindungi khazanah negara diterokai secara berleluasa itu, akhirnya Dr. Salleh dianugerahkan dengan Anugerah Merdeka.

Anugerah Merdeka merupakan satu anugerah khas buat saintis yang telah berjasa kepada negara atau melaksanakan kajian yang boleh memanfaatkan masyarakat secara umumnya.

Dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Pendidikan dan Komuniti, Alam Sekitar serta Kesihatan, Sains dan Teknologi dan disampaikan oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak.